Hamidah akan jumpa penasihat undang-undang negeri
IPOH: Dakwaan tanah rizab Melayu di negeri ini berpindah milik kepada bukan Melayu akhirnya mendapat perhatian kerajaan negeri apabila pegawai penasihat undang-undang negeri sedia mendengar penjelasan mengenai dakwaan tersebut.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang membuat dakwaan mengenai tanah rizab tersebut berkata, pegawai penasihat undang-undang tersebut telah memberi persetujuan untuk berjumpa dengan beliau.
Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini belum ada tarikh pertemuan ditetapkan dan beliau menunggu maklum balas mengenai perjumpaan yang akan diadakan.
“Saya lega apabila pegawai penasihat undang-undang negeri sedia untuk berjumpa dengan saya untuk saya menjelaskan dakwaan saya ini.
“Saya menaruh harapan agar pertemuan itu nanti akan menghasilkan jalan penyelesaian yang saya harap-harapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Namun, Hamidah berkata, jika pertemuan itu gagal menghasilkan penyelesaian beliau akan meneruskan tindakan untuk memfailkan dakwaannya ke mahkamah.
“Sebelum ini memang saya mahu memfailkan kes ini ke mahkamah, namun atas nasihat pasukan peguam, saya berjumpa dahulu dengan pegawai penasihat undang-undang negeri.
“Jika pertemuan itu nanti membuahkan jalan penyelesaian, maka saya tidak akan membawa dakwaan ini ke mahkamah namun jika tiada (penyelesaian), saya akan failkannya di mahkamah selewat-lewatnya hujung bulan ini.
“Kalau boleh saya nak selesaikan kes ini tanpa perlu ke mahkamah, itu yang terbaik namun perlu ada penyelesaian,” katanya.
Hamidah sebelum ini mendakwa seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di negeri ini dipindah milik kepada bukan Melayu namun Menteri Besar, Datuk Saarani kemudian menyatakan perkara itu sudah selesai.
Hamidah bagaimanapun menafikan kenyataan Saarani kerana kes berkenaan sedang dalam siasatan pihak berkuasa. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment