Saturday, July 31, 2021

Kondom ‘Rahsia’ Pingat Emas Fox

TOKYO: Atlet kanu Australia, Jessica Fox berterima kasih kepada ‘kondom’ yang telah membantunya memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Fox mengakui kondom mempunyai banyak kegunaan dan bukan untuk hubungan seks semata-mata apabila menggunakannya untuk memperbaiki kayak yang berlubang.

Atlet berusia 27 tahun itu yang memenangi emas dalam perlumbaan slalom individu wanita kelmarin mendedahkan, dia menggunakan kondom bagi menampal bahagian kayaknya yang berlubang.

“Mungkin ramai tidak tahu kondom boleh digunakan untuk membaiki kayak,” katanya yang menunjukkan demonstrasi memasukkan kondom di muncung kayak dalam satu video ringkas di media sosial sebelum beraksi pada ­Olimpik Tokyo 2020.

Pada mulanya Fox menggunakan campuran karbon untuk menampal bahagian kayak yang berlubang.

Selepas itu dia menggunakan kondom yang dianggap lebih kuat untuk memampatkan campuran karbon sebelum memulakan perlumbaan.

Penganjur menyediakan 150,000 kondom untuk atlet dengan mengesyorkan supaya ia dibawa pulang daripada digunakan di Perkampungan ­Olimpik. – AGENSI

Friday, July 30, 2021

Kenapa Tidak Lawan Virus Dengan Doa?

NAMPAKNYA jumlah jangkitan baharu Covid-19 masih banyak walaupun kerajaan telah mencuba pelbagai langkah untuk mengatasinya.

Keadaan menjadi meruncing kerana terdapat virus varian Delta melanda negara kita yang didapati mudah merebak dan terlalu cepat menyerang paru-paru dan jantung sehingga boleh membawa maut.

Walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat telah diperkenalkan tetapi kes masih juga tidak dapat dikawal seperti mana yang diharapkan. Saya cadangkan kerajaan menjalankan kajian secara terperinci punca sebenar perkara ini berlaku.

Berdasarkan pemerhatian saya di Seremban, penularan virus itu berpunca daripada sikap penduduk yang tidak berdisiplin. Mereka tidak mengendahkan nasihat kerajaan supaya duduk di rumah.

Dalam pada itu, saya merayu kepada kerajaan supaya melonggarkan SOP untuk sembahyang berjemaah di masjid terutama sekali solat Jumaat. Tidak perlu had kehadiran kepada 12 jemaah sebaliknya biarlah jumlah yang ramai hingga ke pekarangan luar masjid asalkan mematuhi SOP penjarakan fizikal.

Kita kena yakin senjata umat Islam yang sangat berkesan untuk melawan virus adalah dengan berdoa. Doa yang dilakukan beramai-ramai selepas solat Jumaat menjadi ikhtiar terakhir kita setelah bermacam-macam kaedah untuk mengekang pandemik yang dicuba tidak berjaya.

Kita ikhtiar pula untuk berdoa dengan penglibatan jutaan umat Islam di seluruh dunia selepas solat Jumaat kerana lazimnya doa orang yang sembahyang Jumaat mudah diterima oleh Allah SWT.

Buat solat Jumaat ringkas sahaja dengan khutbah singkat tidak melebihi lima minit sebagai mengikut syarat wajib. Baca hanya surah-surah pendek semasa solat serta doa pun dipendekkan juga tetapi biar padat dan berkesan.

Elok disyaratkan jemaah hanya boleh masuk masjid 15 minit sebelum azan dan setelah selesai mengerjakan solat Jumaat, kena beredar segera dan kosongkan masjid.

Kita ikhtiar dengan berdoa mengadu kepada Allah SWT serta galakkan umat berselawat sepanjang solat Jumaat itu untuk mendapatkan keberkatan Rasulullah SAW dan mana tahu ada dalam kalangan kita walaupun seorang yang Allah SWT terima doanya.

Oleh: SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Taman Zaiton, Seremban.

Thursday, July 29, 2021

Adakah Jaminan Pengganti Yang Akan Datang Lebih Baik Dari Yang Sekarang....

“Artis, selebriti lebih baik jaga diri” – Amin Idris
KUALA LUMPUR: Pengacara program Islamik, Amin Idris tampil menegur orang ramai termasuk selebriti yang mendesak Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah untuk letak jawatan.

Amin menerusi Instagram berpesan supaya mana-mana pihak untuk sekurang-kurangnya berfikir terlebih dahulu mengenai tiga perkara sebelum menyatakan sesuatu.

“Pertama, jika letak jawatan, terjamin ada pengganti yang boleh buat kerja lebih baik, silakan mendesak. Realitinya, satu dunia mengalami kes mencanak kerana Varian Delta. Dan jika makin teruk, awak nak tanggung segala dosa?

“Kedua, jangan semudah-mudahnya tuduh orang ejen Yahudi. Kalau tidak setuju, silakan mengkritik. Tapi kalau sampai tuduh ejen Yahudi, itu tuduhan berat. Dengan hanya bersandarkan gambar semata, belum cukup sebagai bukti utama nak tuduh orang.

“Mohon rajin membaca. Ini bukan drama waktu petang. Realitinya, Rasulullah SAW pernah menerima hadiah daripada wanita Yahudi bernama Zainab Al Harith. Nak kata nabi ejen Yahudi?

“Ketiga, artis-artis dan selebriti lebih baik jaga diri elok-elok. Awak belum kena Covid-19, awak belum rasa derita sakit sengsara. Bantulah negara beri kesedaran tentang prosedur operasi standard (SOP) dan vaksin. Dekatkan diri dengan Tuhan. Bukan menghasut untuk tambah lagi masalah yang ada. Jangan main-main soal nyawa!

“Ingat! ‘Kebebasan bersuara tidak menghalalkan kebebasan menghina,” ujar Amin dengan menyuntik petikan Riwayat Imam Muslim.

Dalam perkembangan lain Amin sedang menjalani hari terakhir kuarantin dan masih menunggu giliran temu janji vaksinasi. - UTUSAN

Wednesday, July 28, 2021

Awak Kat Mana.....Awak...Awak Kat Mana....

Masuk hari ketiga, Hadi Awang tidak muncul?

KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Rakyat masuk hari ketiga membincangkan isu perihal Covid-19, namun mungkin ramai terleka akan ketidakhadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengesahkan perkara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari berkata, pemimpin itu tiada di dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Ya, tidak datang. Saya tidak pasti kenapa,” katanya ringkas.

Semakan Utusan Malaysia dengan salah seorang pegawai di Parlimen juga menjelaskan yang Presiden Pas itu tidak hadir ke Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dilihat aktif dengan kenyataan minda Presidennya menerusi laman sosial Facebook di mana beliau mengulas tindakan beberapa ahli Parlimen yang dilihat mengganggu Perdana Menteri ketika menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sempurna.

“Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sempurna, maka kedengaran suara ejekan riuh rendah pihak yang menandakan tahap kefahaman mereka tanpa disedari dirinya bersifat sangat jahil.

“Inilah akibat apabila politik dipisahkan daripada agama sehingga menjadikannya tidak berakhlak, tanpa menyedari sikap yang terlanjur sehingga melupakan bahawa tiada yang sempurna melainkan Allah SWT sahaja,” tulisnya. - UTUSAN

Pentingnya Kewangan Islam Tatkala Pandemik

Covid-19 adalah satu pandemik yang membawa impak besar kepada pelbagai aspek termasuk ekonomi dan sosial melibatkan masyarakat di seluruh dunia. Pengangguran mencecah jutaan orang di seluruh dunia dan banyak perniagaan ditutup atau berada di ambang kemuflisan. Jurang ekonomi antara kumpulan kaya dan miskin kelihatan semakin besar.

Sehingga Mac lalu, Jabatan Statistik Malaysia merekodkan jumlah pengangguran sebanyak 753,200 atau bersamaan 4.7 peratus daripada jumlah tenaga kerja di negara ini. Pertumbuhan produktiviti tenaga kerja mencatatkan nilai negatif sejak tahun lalu. Berbanding suku pertama tahun ini, Malaysia mengalami penurunan produktiviti buruh per pekerja sebanyak 0.4 peratus.

Kesan susulan adalah jelas apabila unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Bank Dunia dikurangkan bermula daripada anggaran asal sebanyak 6.7 peratus pada Disember 2020 kepada enam peratus pada Mac 2021 dan unjuran terkini adalah sebanyak 4.5 peratus sahaja. Penurunan unjuran ini adalah disebabkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan proses vaksinasi yang agak perlahan daripada jangkaan.

Segelintir pakar ekonomi berpendapat, ekonomi global yang berteraskan sistem kapitalis dan sosialis mempunyai banyak kekurangan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, ada keperluan untuk perincian fatwa-fatwa dan hala tuju kewangan Islam bagi menghadapi situasi dan seterusnya pemulihan Covid-19. Antara usaha yang dilaksanakan adalah beberapa inisiatif produk muamalat seperti Inisiatif Waqaf dan Tabung Musaadah Covid 1.0 dan 2.0. Sistem kewangan Islam mendapat perhatian ramai terutamanya di negara-negara Islam.

Objektif utama sistem kewangan Islam adalah pembentukan masyarakat yang adil dan saksama melalui pengagihan pendapatan yang setara dan keadilan sosioekonomi. Sistem kewangan Islam menunjukkan perkembangan yang stabil dan konsisten sejak dekad lalu selepas berakhirnya krisis kewangan global.

Secara dasarnya, sistem kewangan Islam menitikberatkan prinsip pembahagian risiko, etika dan moral dan memastikan perlindungan ke atas orang yang mengalami kesusahan disebabkan sesuatu krisis yang berlaku. Kewangan Islam berasaskan pembahagian kekayaan dan bukan pengumpulan kekayaan. Antara kaedah kewangan Islam yang sesuai diguna pakai bagi membantu proses pemulihan pasca Covid-19 adalah musharaka, mudaraba, marabaha, ijarah, qardh-al-hasan, zakat dan awqaf.

Pertama, kontrak musharaka membolehkan perkongsian risiko dan sumbangan modal diberikan oleh bank-bank Islam kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Umum mengetahui, semangat dan keyakinan para pelabur dan peniaga semestinya rendah semasa krisis dan bantuan sangat diperlukan daripada institusi-institusi kewangan Islam yang ada.

Kedua, mudaraba yang secara asasnya sama seperti musharaka di mana kedua-duanya adalah kontrak pembiayaan berasaskan perkongsian keuntungan dan kerugian. Bagaimanapun, mudaraba melibatkan risiko yang lebih tinggi berbanding musharaka.

Pemulihan pasca Covid-19 memerlukan kontrak seperti musharaka dan mudaraba yang dapat membantu mengurangkan jurang ekonomi dan sosial di antara yang kaya dan miskin. Bantuan sebegini juga dapat memberi peluang kepada golongan miskin serta mereka yang hilang punca pendapatan untuk memulakan perniagaan sendiri.

Ketiga, pembiayaan murabaha juga dapat meringankan beban mereka yang mengalami masalah kewangan disebabkan Covid-19. Sebagai contoh, kontrak bai-bitamin ajil murabaha adalah penjualan dalam kewangan Islam yang membenarkan penangguhan pembayaran seperti kewangan peribadi atau kewangan automatik di mana barang menjadi hak milik bank sebagai pembiaya.

Keempat, ijarah yang bermaksud pemberian kepada seseorang dengan caj, sewa atau bayaran. Dalam erti kata lain, ia adalah pajakan berlandaskan syariah.

Kelima, qardh al-hasan adalah satu kaedah pembiayaan dengan kos paling rendah bagi menggalakkan permintaan dan pengeluaran, seterusnya menurunkan paras harga dalam ekonomi. Qardh-al-hasan dapat meringankan beban mereka di mana peminjam tidak perlu membayar faedah dan ansuran juga boleh dibayar mengikut keselesaan peminjam.

Keenam, kaedah zakat sesuai untuk pembasmian kemiskinan dalam kalangan mereka yang terjejas akibat Covid-19, terutama orang miskin di mana mereka diberikan bantuan barangan keperluan dan wang tunai.

Ketujuh, awqaf memainkan peranan penting dalam pembiayaan program pembasmian kemiskinan seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan bencana. Pengumpulan dana daripada golongan kaya dan berkemampuan di bawah awqaf digunakan untuk memberi bantuan kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Kelapan, sadaqa merupakan pemberian sukarela mengikut kesanggupan pemberi untuk disalurkan kepada golongan yang layak. Seperti kaedah-kaedah pembiayaan yang dijelaskan sebelumnya, sadaqa dapat membantu meringankan mereka yang mengalami kesusahan hidup akibat Covid-19.

Pandemik Covid-19 memperlihatkan kepentingan peranan kewangan Islam dalam mengharungi isu dan cabaran dihadapi. Pemerkasaan sistem kewangan Islam dengan meluaskan penggunaannya adalah wajar terutama bagi membantu masyarakat yang ditimpa kesusahan. Selain itu, keperluan untuk pembinaan kekuatan dan keteguhan institusi-institusi kewangan Islam, penyelarasan usaha reformasi dengan pengawalseliaan kewangan global dan pengoptimuman penggunaan teknologi kewangan (fintech) adalah antara perkara penting yang perlu dilihat dan dititikberatkan oleh penggubal dasar negara.

Oleh: Dr. Nur Syazwani Mazlan

SPRM Tidak Terlepas Undang-Undang

Negara memerlukan sebuah badan pencegahan rasuah dan salah guna kuasa yang berwibawa, berintegriti, berakauntabiliti dan berani. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melalui pelbagai proses transformasi sejak ia ditubuhkan. 

Proses penambahbaikan berterusan khususnya mewujudkan badan-badan bebas di dalam dan di luar Parlimen untuk menjalankan proses semak dan imbang terhadap SPRM berjaya menaikkan imej suruhanjaya itu sebagai sebuah badan bebas dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan atau parti politik.

Dalam memastikan SPRM menjalankan kuasa mereka selaras prinsip kedaulatan undang-undang, undang-undang yang mengawal selia SPRM amat jelas dalam hal-ehwal penyiasatan, kewajipan am dan khas serta ruang lingkup bidang kuasa suruhanjaya itu sendiri.

SPRM tidak boleh lari daripada pemantauan mahkamah bagi setiap tindakan yang diambil. Lantas, SPRM juga tertakluk kepada semakan kehakiman dan tindakan penguatkuasaan mereka juga tertakluk pemerhatian mahkamah dari aspek undang-undang substantif dan undang-undang prosedur.

Apabila Majlis Presiden Pakatan Harapan menyatakan wujud pendakwaan terpilih serta SPRM dijadikan alat oleh kerajaan, ia perlu dilihat dengan lebih kritikal. Berdasarkan kedudukan dan struktur SPRM, beberapa karakter yang dimiliki oleh SPRM menafikan wujud elemen pendakwaan terpilih atau pun SPRM diperalatkan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Pertama, SPRM berdiri sebagai sebuah badan bebas yang tidak ada agenda politik dalam menyiasat kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin atau tokoh tertentu. Undang-undang kawal selia SPRM amat jelas memastikan ia sebuah badan yang tidak terikat kepada mana-mana kepentingan.

Kedua, daripada senarai kes-kes berprofil tinggi dibawa oleh SPRM, jelas terbukti tokoh-tokoh politik dari kedua-dua pihak, pembangkang dan kerajaan telah disiasat semasa dalam tempoh parti mereka memerintah. Antaranya Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Dr, Xavier Jayakumar dan Lim Guan Eng.

Ketiga, kes-kes yang dibawa ke mahkamah menunjukkan pertuduhan tidak diambil secara sembrono dan terburu-buru. Misalnya, kes terhadap Lim Guan Eng berkaitan projek terowong di Pulau Pinang mengambil masa tiga tahun bermula 2017 dan dituduh di mahkamah pada tahun lalu.

Keempat, fungsi pendakwaan SPRM masih lagi tertakluk kepada keputusan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara. Difahamkan, kes-kes hanya akan dibawa ke mahkamah jika terdapat lebih 90 peratus kemungkinan sabitan di mana bukti yang diperlukan mencukupi serta proses penyiasatan yang profesional dan tidak pernah berpandukan kepada fitnah atau tohmahan semata-mata.

Kelima, wujud sistem semak dan imbang yang mantap antara tugas siasatan dibuat oleh SPRM dan tugas pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara. SPRM hanya terbatas kepada penyiasatan, manakala pendakwaan terletak di tangan Pejabat Peguam Negara berdasarkan kepada kertas siasatan yang diberikan oleh SPRM. Itulah pengasingan kuasa yang negara kita amalkan.

NIAT BURUK

Keenam, SPRM dipantau oleh lima badan bebas yang terdiri daripada ahli-ahli profesional, akademik, perniagaan dan industri serta mereka yang terkenal, berintegriti dan dihormati dalam masyarakat.

Ketujuh, undang-undang negara memastikan sesiapa pun yang menghadapi pertuduhan rasuah berhak mempertahankan diri di mahkamah dan tidak seharusnya menuduh SPRM mempunyai agenda politik. Malah, mereka yang dituduh boleh menzahirkan apa-apa bukti di mahkamah untuk menunjukkan SPRM mempunyai niat buruk (mala fide) dan tidak suci hati dalam mendakwa mereka.

Kelapan, sekiranya disabitkan, mempunyai ruang untuk merayu di mahkamah yang lebih tinggi. Proses keadilan yang wujud di negara ini ternyata berwibawa, adil, saksama dan amat diyakini oleh semua. Tiada siapa akan teraniaya dalam sistem keadilan yang mementingkan akauntabiliti, integriti serta sistem semak dan imbang yang jelas.

Dalam konteks mewujudkan suasana dan amalan integriti yang tinggi dan juga sebuah negara yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa, SPRM akan sentiasa melalui proses penambahbaikan berterusan untuk memastikan ia teguh sebagai benteng penghalang kepada apa jua bentuk penyelewengan di negara ini.

Oleh : Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod

Aston Martin Reka Kereta Bertemakan JDT

PETALING JAYA : Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendapat perhatian penaja apabila giliran jenama terkemuka dunia, Aston Martin Racing Asia mengumumkan kerjasama, hari ini.

Kerjasama itu juga akan menyaksikan Aston Martin mengeluarkan rekaan edisi terhad bertema JDT untuk rangkaian kereta mereka yang akan dijual oleh kelab tersebut.

“Kami berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan Ibu Pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom dan pejabat Asia.

“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata kelab itu menerusi satu kenyataan media.

Kerjasama ini juga boleh digambarkan sebagai kerjasama antara juara dalam bidang masing-masing dengan JDT selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut manakala Aston Martin pula adalah juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020.

JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan.

Aston Martin Racing pula merupakan salah satu jenama antarabangsa yang bekerjasama dengan Harimau Selatan. Antara jenama terkemuka antarabangsa lain yang menjadi penaja dan rakan strategik termasuk UNICEF, Nike, Hublot, Subway, F&N, SWAG EV dan banyak lagi.

Kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa ini juga menunjukkan meningkatkan jenama JDT di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak kelab itu diterajui oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2013. - UTUSAN

Kebun Durian Haram Di Hutan Simpan Bukit Cerakah?

PETALING JAYA: ‘Sikit-sikit lama-lama jadi bukit’.

Itu perumpamaan terhadap aktiviti penanaman durian dipercayai secara haram di Hutan Simpan Bukit Cerakah, Selangor berhampiran Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama Sungai Buloh yang dilakukan secara senyap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Walaupun aktiviti itu mungkin tidak seluas penerokaan Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub, Pahang, ia juga bakal memberi implikasi terhadap ekosistem di kawasan itu untuk jangka masa panjang.

Malah jika dibiarkan, tidak mustahil kawasan hutan simpan merangkumi keluasan beberapa ribu hektar musnah dan kemudian menjejaskan kawasan tadahan air utama Selangor.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati banyak pokok durian yang dipercayai berusia kira-kira empat minggu sudah ditanam selain terdapat kesan penerokaan lain termasuk penebangan pokok.

Kerja-kerja penerokaan dI hutan simpan berkenaan melibatkan tanah seluas 0.8 hektar.

Selain itu, struktur paip dan tangki dipercayai untuk tujuan penanaman durian dan beberapa pokok buah-buahan lain turut kelihatan.

Malah sebuah bangsal untuk kegunaan kerja-kerja berkaitan telah dibina di kawasan hutan berkenaan dan disita pihak Jabatan Perhutanan.

Bagaimanapun, yang menimbulkan persoalan, tanaman pokok durian masih dibiarkan tanpa tindakan termasuk dimusnahkan.

Bangsal dan beberapa struktur binaan yang telah disita dengan tali turut ditanggalkan pihak tertentu.

Difahamkan aduan telah dibuat kepada Jabatan Perhutanan sebelum ini menerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun jawapan yang diterima agak mendukacitakan.

Menurut sumber, jawapan yang disertakan hanya kepada kewujudan dan tindakan terhadap bangsal berkenaan semata-mata tanpa memperincikan status sebenar termasuk anak pokok durian di kawasan itu.

“Mengapa Jabatan Perhutanan hanya bertindak terhadap pondok yang mereka temui sahaja dan membiarkan anak pokok durian,” ujarnya.

Sementara itu, ketika tinjauan mendapati terdapat sebuah bangsal di pintu masuk utama Tanah Perkuburan Saujana Utama yang dihuni individu tertentu.

Apa yang pasti pihak berkenaan bukanlah Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan berkenaan.

Perkara itu menimbulkan tanda tanya berhubung status individu berkenaan dan keperluan untuk tinggal di kawasan perkuburan berkenaan, sedangkan ia tidak berlaku di kawasan tanah perkuburan lain.- UTUSAN

Tuesday, July 27, 2021

Berlatih Di Malaysia...Pingat Emas Untuk Filipina

Berlatih belakang rumah di Jasin, Melaka, Hidilyn Diaz sumbang emas pertama Olimpik untuk Filipina

PETALING JAYA: Siapa sangka dengan hanya berlatih ‘di belakang; rumah di sebuah perkampungan di Jasin, Melaka, Hidilyn Diaz mampu mencipta sejarah untuk negaranya apabila menyumbangkan pingat emas Olimpik pertama untuk Filipina melalui acara angkat berat wanita kategori 55kg.

Tersangkut di Malaysia sejak Februari tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19, Diaz pada mulanya agak resah terpaksa berlatih di gimnasium sementara yang dikelilingi pokok pisang dan rambutan – tempat latihan yang mustahil mampu memberikan emas kepadanya di Olimpik Tokyo.

Diaz, 30, pemenang pingat di Olimpik Rio 2016, walaupun tersangkut di Malaysia tetapi tetap bertekad untuk merealisasikan impiannya menjadi pemenang pingat emas Olimpik pertama dari Filipina.

“Saya sudah bersedia. Saya tidak dapat mengatakan berapa peratus, tetapi saya berada di sana – fikiran saya ada, hati saya ada, secara fizikalnya ada,” kata Diaz kepada AFP dalam satu temu bual pada Mei lalu ketika dia berehat dari persiapan terakhirnya untuk menyertai Sukan Olimpik keempat buat dirinya, dan mungkin terakhir.

Nama Diaz sememangnya sudah terpahat dan menjadi buah mulut rakyat negaranya, di samping ikon tinju Manny Pacquiao, sebagai satu-satunya wanita dari kepulauan di selatan negara itu – Mindanao – yang pernah memenangi pingat Olimpik – perak di Rio yang memecahkan kemarau pingat 20 tahun untuk Filipina.

Perawakannya meningkat dua tahun kemudian ketika dia meraih emas di Sukan Asia di Indonesia dan mengulangi prestasi di Sukan SEA di tanah air pada bulan Disember 2019.

Diaz berada di landasan yang baik untuk muncul juara di Olimpik, tetapi Covid-19 mengubah segala-galanya apabila temasya sukan itu ditunda setahun.

“Sukar untuk meletakkan sasaran apabila ia dilanjutkan beberapa bulan dan pada masa yang sama anda tahu anda mempunyai rancangan setelah Olimpik,” kata Diaz, yang bertugas sebagai anggota Tentera Udara Filipina.

Anak perempuan seorang pengayuh beca itu berasal dari sebuah kampung miskin berhampiran pelabuhan Zamboanga di Mindanao, Diaz tidak bertemu keluarganya sejak Disember 2019.

“Saya harus mengorbankan masa bersama keluarga, mengorbankan masa dengan rakan, mengorbankan masa dengan belajar … kerja saya di Tentera Udara Filipina,” katanya.

Dia awalnya datang berlatih di Malaysia pada Februari 2020 kerana jurulatihnya dari Cina, Gao Kaiwen, berpendapat itu lebih baik untuk dirinya jika mahu memberi tumpuan untuk layak ke Tokyo.

Tetapi dalam beberapa minggu berlaku sekatan pergerakan akibat Covid-19 yang menyebabkan Diaz berhadapan dengan situasi di mana gimnasium ditutup, tidak ada akses kepada peralatan angkat berat dan ketidakpastian sama ada sukan itu akan diadakan atau tidak.

“Pada mulanya ada banyak kegelisahan, ketakutan, dan kebimbangan kerana kami berada di Malaysia – kami tidak tahu di mana harus tinggal, kami tidak tahu di mana untuk berlatih,” kata Diaz.

Selama berbulan-bulan Diaz dan jurulatihnya – “Team HD” – ‘terperangkap’ di sebuah blok pangsapuri di ibu kota Kuala Lumpur di mana mereka harus berhati-hati agar tidak memecahkan lantai berjubin ketika berlatih dengan angkat berat.

Tetapi Diaz yang tidak pernah menyerah kalah berjaya mencari masa untuk mengumpulkan wang melalui sesi latihan dalam talian untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada keluarga miskin di kampung halamannya yang menderita akibat pandemik Covid-19.

Pada bulan Oktober tahun lalu, Diaz dan pasukannya berpindah ke kawasan perkampungan di Jasin, Melaka di mana mereka tinggal di rumah yang dimiliki oleh seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia.

Diaz menggunakan gimnasium yang terletak berdekatan rumah yang ditumpangnya itu, tetapi apabila sekatan pergerakan diperketat memaksanya untuk bersenam di tempat letak kereta di rumah tersebut dan terpaksa bertarung dengan cuaca panas di tempat terbuka berbanding latihan di gimnasium yang ada pendingin hawa.

“Setiap kali ada sekatan perjalanan, dunia kami benar-benar terhenti dan anda tidak tahu apa yang harus dilakukan dan anda terkejut,” katanya.

“Sekiranya saya tidak mempunyai Team HD, saya mengaku tidak akan berada di sini, saya akan pulang ke Filipina.”

Masalah itu memberi kesan kepada Diaz, yang hanya meraih di tempat keempat di Kejohanan Asia di Tashkent pada April, pertandingan pertamanya selepas lebih dari satu tahun. Itu cukup untuk mendapatkannya tempat di Olimpiknya, tetapi jauh dari yang terbaik, akuinya.

Diaz menjalani kuarantin 10 hari lagi setelah kembali, enam hari dikurung di bilik hotel dengan empat hari terakhir di rumah, menggunakan basikal senaman, dumbbell dan gelang getah untuk mengekalkan kecergasan dan kekuatannya.

Dia bertekad supaya berada dalam keadaan terbaik untuk Olimpik, yang dibuka dalam masa dua bulan iaitu pada 23 Julai.

“Sudah tentu tekanan sangat tinggi… semua orang mengharapkan saya memenangi pingat emas di Tokyo,” katanya.

“Saya terima keadaan ini. Saya hanya memberitahu diri saya untuk fokus pada teknik, fokus pada kerja yang akan datang.

“Saya tidak mahu berjanji untuk menang emas, saya hanya mahu melakukannya.”

Berlatih di sepanjang jalan yang sibuk, Diaz sering disertai oleh anak-anak tempatan yang ingin belajar bagaimana mengangkat berat.

“Saya gembira apabila anak-anak bergabung dengan angkat berat dan mereka menjadi terpesona, begitulah juga saya memulainya,” kata Diaz, yang memulakan dengan mengangkat balang air l18 liter untuk keluarganya semasa kecil.

“Mereka kata saya langsung tidak senyum. Tetapi saya perlu fokus. Kita perlu berlatih,” katanya.

Hasil daripada kerja keras itu, Diaz akhir menyumbangkan emas pertama dalam sejarah negaranya hari ini apabila mengetepikan cabaran penyandang juara yang juga peserta pilihan dari China, Liao Qiuyun. – AFP

Monday, July 26, 2021

Kenapa Bukan Pelbagai Kaum?

Syukur alhamdulillah, setelah melalui pelbagai rintangan serta turun naik mahkamah, akhirnya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diluluskan pada 8 Julai lalu. Maka bertambah rancaklah ahli-ahli Pejuang menjalankan semua aktiviti yang telah dirancang sejak sekian lama. Bertambah meriah jugalah dunia politik tanah air dengan kemunculan parti baharu ini.

Namun, masih lagi kedengaran ramai yang mempersoalkan kenapa Pejuang tidak ditubuhkan sebagai sebuah parti pelbagai kaum, sebaliknya masih berasaskan satu bangsa, iaitu Melayu dan bumiputera sahaja?

Berkali-kali soalan ini diajukan kepada Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada pandangan saya, Malaysia masih belum bersedia untuk betul-betul mempunyai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum. Bukan waktu terdekat ini tetapi mungkin akan datang apabila Malaysia hanya mempunyai satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia.

Secara demografi, komposisi kaum terbesar di Malaysia adalah Melayu, Cina dan India, mempunyai perbezaan yang amat ketara dari segi bahasa, budaya dan identiti. Ditambah kecenderungan memperkenalkan diri sebagai satu bangsa negara. Umpamanya, seseorang yang mengakui dirinya sebagai orang Cina atau orang India, yang merujuk kepada negara asal mereka. Tidaklah diminta melupakan negara asal atau bahasa ibunda serta budaya mereka, tetapi ini menunjukkan ikatan yang kuat kepada negara-negara tersebut. Sepatutnya mereka lebih sesuai memperkenalkan diri sebagai keturunan Teo Chew atau Hakka, Tamil atau Malayalam.

Agak sukar juga berubah, sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang bersekolah di sekolah rendah kebangsaan Cina, memakai lencana di dada yang bertulis ‘Negara Cina’, dari umur tujuh sehingga 12 tahun, kemudian menyambung pelajaran ke sekolah menengah persendirian Cina sehingga umur 18 tahun. Bayangkanlah.

Diharapkan sampai suatu ketika nanti, kita boleh memperkenalkan diri kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia. Tetapi untuk menjadi satu bangsa, perlulah mempraktikkan satu bahasa dan satu budaya. Seperti mana bangsa Indonesia, bangsa Thai atau bangsa Amerika.

Antara tujuan penubuhan Pejuang adalah kerana sekumpulan daripada kami merasakan negara ini perlu diselamatkan daripada segala penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Pada masa sama, Pejuang berharap dapat membantu kumpulan rakyat yang masih ketinggalan dari segi pendidikan dan ekonomi. Majoritinya Melayu dan bumiputera, iaitu hampir 70 peratus daripada jumlah seluruh rakyat (mengikut statistik suku pertama 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara.)

Oleh kerana majoriti rakyat adalah Melayu dan bumiputera, dan Melayu itu juga beragama Islam, maka untuk memperjuangkan nasib mereka, sebuah parti Melayu amat diperlukan. Kerana banyak isu orang Melayu yang selalunya melibatkan agama hanya sesuai ditangani oleh parti Melayu. Tidak dinafikan memang sudah sedia ada parti Melayu yang memperjuangkan orang Melayu tetapi mereka dilihat telah terpesong jauh daripada tujuan asal. Maka, Pejuang menampilkan diri untuk memulihkan keadaan, mengembalikan maruah orang Melayu dan berjuang bagi pihak mereka.

Pada masa sama Pejuang juga perlu mendapatkan sokongan daripada semua rakyat tidak mengira kaum yang memahami dan bersetuju dengan aspirasi parti ini. Sebagai sebuah parti politik Melayu yang berprinsip, perjuangan Pejuang adalah jelas. Pejuang tidak akan mengabaikan hak kaum-kaum dan menjadi tanggungjawab Pejuang untuk mempertahankan hak-hak mereka seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pejuang juga akur, seandainya diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negara, ia perlu dikongsi dengan yang lain. Tidak mungkin Pejuang akan memegang kuasa seratus peratus.

Parti pelbagai kaum terbesar di Malaysia ialah PKR dan DAP tetapi rakyat umum melihat DAP adalah parti politik yang didominasi oleh kaum Cina. Ini jelas kerana 80 peratus kepimpinan tertinggi DAP adalah orang Cina. Sama juga dengan PKR, sebuah parti yang didominasi orang Melayu yang mana 70 peratus kepimpinan tertingginya adalah Melayu. Sebagai sebuah parti pelbagai kaum, sudah tentu ahli DAP ada orang Melayu. Persoalannya, adakah masalah orang Melayu yang perlu dibantu ekonominya, pendidikannya dan sosialnya dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi DAP? Masalah tanah rezab Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu dibincangkan juga bagaimana cara untuk mempertahankannya?

Pada Jun lalu, PKR mengumumkan penubuhan Biro Agama yang diketuai oleh orang Melayu. Besar kemungkinan beliau beragama Islam. Jadi, Biro Agama ini adakah untuk Islam sahaja atau juga Kristian, Hindu dan Sikh memandangkan parti ini pelbagai kaum? Adakah akan dibincangkan masalah gereja, kuil Hindu, tokong Cina atau gurdwara dan juga masalah jirat Cina?

Jadi, adakah kedua-dua parti politik pelbagai kaum ini benar-benar jujur ingin mewakili semua kaum atau sekadar strategi politik? Sebuah parti politik yang dominannya kaum Cina, memerlukan juga sokongan kaum-kaum lain. Parti Melayu juga amat memerlukan sokongan kaum Cina dan India.

Kembali kepada soalan yang berkali-kali ditanya kepada Dr. Mahathir, jawaban beliau, “Malaysia sebenarnya tidak perlu parti pelbagai bangsa, hanya perlu ada satu parti pemerintah dan satu lagi parti pembangkang, seperti di Amerika. Tetapi di Amerika ada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa Amerika.”

Oleh: Azman Mohd. Hashim
Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Setahun Hagia Sophia Kembali Menjadi Masjid, Langkah Berani Erdogan

ISTANBUL: Setahun lalu (24 Julai 2020), merupakan momen penuh bersejarah bagi Turki ketika Hagia Sophia ‘memudarkan’ statusnya sebagai muzium dan dikembalikan fungsinya menjadi Masjid Besar Hagia Sophia.

Daily Sabah melaporkan, biarpun ‘dikekang’ dengan penularan Covid-19, Hagia Sophia tetap popular sebagai destinasi pelancongan, dari penduduk tempatan mahupun pengunjung luar dan telah menerima lebih daripada tiga juta pengunjung sepanjang tahun lalu.

Pemangku Mufti Istanbul, Mustafa Yavuz berkata, sama seperti Masjid Biru, jumlah pengunjung ke Hagia Sophia dijangka meningkat selepas larangan penerbangan dari beberapa negara berakhir.

Monumen ikonik itu berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul. Ia kemudian menjadi masjid dari 1453 hingga 1934 – hampir 500 tahun – dan terakhir sebagai muzium selama 86 tahun.

Salah satu bangunan bersejarah yang paling banyak dikunjungi di Turki oleh pelancong domestik dan antarabangsa, Hagia Sophia telah dimasukkan ke dalam senarai Warisan Dunia UNESCO pada 1985.

Pada 10 Julai 2020, mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang telah menjadikan Hagia Sophia menjadi muzium, membuka jalan untuk berfungsi sebagai masjid setelah 86 tahun.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dianggap sebagai pemimpin paling berani apabila bertegas mahukan Hagia Sophia kembali dihidupkan sebagai masjid.

Hagia Sophia menerima kira-kira 5,000 pengunjung pada hari kerja dan kira-kira 12,000 pada hujung minggu, sepanjang 2020 dan tahun ini dan jumlah itu meningkat ketika waktu solat.

Mustafa berkata, semasa solat Jumaat, jumlah jemaah tiga kali ganda dan kadang-kadang lebih banyak lagi, dengan jemaah yang besar menunaikan solat di halamannya dan di seberang Dataran Sultanahmet di mana Hagia Sophia berada. Selain solat, masjid juga mengadakan kelas hadis dan tafsir atau tafsiran al-Quran. - UTUSAN

Sunday, July 25, 2021

Ekonomi Gelap Didalangi Kartel Yang Mencengkam......

Sambungan wawancara....

EKONOMI GELAP
Dalam perbincangan kita baru-baru ini, Datuk sebut tentang bahaya ekonomi gelap (black economy) terhadap kedaulatan negara. Boleh ulas?
Ekonomi gelap ini bermaksud semua jenis aktiviti ekonomi yang tak didaftar dan tak menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia adalah aktiviti haram. Ini zaman kolonial British lagi sudah ada, malah kalau tengok sejarah, kolonialis menggunakan mereka.

Gunakan macam mana?
Umpamanya bila nak seludup pekerja dari China untuk melombong di Malaysia, mereka gunakan rangkaian ini. Dicandukan orang itu dulu, masuk dalam kapal bawa ke mari. Itulah titik tolak British mula bekerja dengan rangkaian bawah tanah ini. British jugalah yang dulu membela kartel dan oligarki bawah tanah ini, sampai mereka subur membiak ke hari ini.

Bagaimana MPM boleh tahu soal kumpulan bawah tanah ini, siapa sumbernya?
Kalau kamu tanya bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, yang juga ahli Lembaga Penasihat MPM, dia dengan jelas menyebut ekonomi bawah tanah ini ada empat kepala besar. Mereka sangat tersusun, sangat berstruktur yang sistematik dan masing-masing jaga bidang dan wilayah masing-masing.

Bidang dan wilayah apa?
Pertama, kumpulan yang pakar dalam penyeludupan. Jadi yang polis cekup di sempadan misalnya, penyeludupan termasuk import haram dan sebagainya, ia semua di bawah kumpulan pertama ini. Kedua, ini oligarki yang kawal pusat judi, rumah urut semua, ini kumpulan kedua. Kemudian sindiket wang haram, macam yang baru ini Ketua Polis Johor tangkap. Ada pula budak muda, Datuk Seri pangkatnya, sangat berpengaruh. Mereka dah tak bermain dalam hutan sekarang, sebaliknya pegang pihak atasan, the powerhouse. Di mana sumber kuasa, di situlah ada mereka. Kumpulan keempat pula, jenis yang bekalkan sekuriti seperti kumpulan tarik kereta (tonto) dan sebagainya.

BAHAYA KALAU DEDAH
Datuk boleh naming the names? Boleh namakan kumpulan dan individu yang kuasai dunia ekonomi gelap ini?
Yang ini kena tanya Tun Hanif, sebab saya fikir ia membabitkan soal keselamatan. Jadi, eloklah untuk sekadar tahu bahawa inilah kumpulan-kumpulan itu, tetapi untuk menamakan mereka, atas sebab keselamatan saya fikir kita kena berhati-hati.

Modus operandi mereka?
Mereka ini sangat sistematik, perkara pertama yang dipegang ialah sumber kuasa (the powerhouse). Itu sebab kita tengok kajian oleh pakar bernama Dr. Ismail Abdullah dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), siapa orang yang dianggap korup di Malaysia ini? Pegawai polis 57 peratus, pemungut hasil 48 peratus, ahli Majlis Tempatan 48 peratus, pejawat awam 45 peratus, penggubal undang-undang 41 peratus, hakim 33 peratus dan pemimpin agama 31 peratus.

Ada sumber lain yang menyokong dapatan ini?
Malah, kenyataan ini disokong pakar kriminologi, Shahul Hamid Rahim dalam rencana sebuah akhbar tempatan bertarikh 5 Februari 2021, dan Ivlynn Yap, yang masing-masing berkata Malaysia kehilangan RM47 bilion pada 2017 akibat rasuah terutama berkaitan politik. Ini merangkumi empat peratus dari kita punya KDNK, bukan sedikit.
Malah, dapatan lain turut menyokong iaitu oleh Dr. Ahmad Razman Latif dari Universiti Putra Malaysia (UPM), yang menganggarkan nilai ekonomi hitam ini dianggarkan berjumlah RM300 bilion setahun, atau bersamaan 21 peratus KDNK.

Apa ancaman mereka terhadap kedaulatan negara?
Kumpulan ekonomi hitam ini, kalau kita tengok peratusan tadi, mengawal anggota masyarakat dalam kalangan mazmumah, iaitu pemimpin dan penjawat awam yang mengamalkan sifat yang dikeji Allah SWT. Mereka ini ada penyakit sosial, gila kuasa, gila rasuah dan salah guna kuasa. Itu penyakitnya.

Mungkinkah kumpulan ini turut kawal ahli politik?
Itu sebab kalau kita lihat, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesyorkan akta dana politik. - Mingguan Malaysia

Isu Tabung Haji: Jangan Cuba Rampas Kuasa Parlimen

Bergegar sebentar tanah air susulan isu Tabung Haji (TH) baru-baru ini, sehingga menenggelamkan sedikit borak-borak pasal pandemik.

Soalnya, di mana titik permulaan polemik babitkan institusi Islam yang unggul itu, sampai terpaksa ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat, malah ingin diletakkan pula di bawah Bank Negara? Apakah yang hendak disiasat sebenarnya?

Soalan lagi menyeluruh, bercakap soal TH juga, adakah isu ini hanya cebisan daripada kerangka permasalahan Melayu-Islam yang lebih besar? Bagaimana pula institusi bumiputera lain, adakah bermasalah juga?

Mendepani persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ menemu bual Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), DATUK DR. HASSAN MAD serta ahli MPM lain, semalam secara atas talian.

Ikuti wawancara ini, yang turut membincangkan soal ekonomi hitam didalangi kartel yang didakwa mencengkam bukan sahaja anggota kerajaan termasuk penguat kuasa, malah juga sistem politik negara.

MINGGUAN MALAYSIA: Apakah fungsi Majlis Perundingan Melayu (MPM)?
HASSAN: MPM ini secara asasnya adalah kaukus (kumpulan perundingan). Kami ditubuhkan pada akhir 2009 selepas Pilihan Raya Umum ke-8 (PRU-8), apabila kedudukan politik Melayu tergugat. Maka ramai cendekiawan Melayu memikirkan perlu ada satu badan yang menghimpunkan semua pertubuhan Melayu-Islam.

Apa peranan MPM bagi memelihara institusi Tabung Haji (TH)?
Kes ini bermula apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu mempersoalkan isu pengiraan hibah TH. Jadi apa yang berlaku, ia adalah permainan orang dalam. Jadi isu politiking dalam TH ini bukan membabitkan Ahli Lembaga Pengarah saja, tapi juga dalam kalangan pengurusan kanan. Berselindung di sebalik tanggungjawab, ini boleh diistilahkan sebagai ‘thin line syndrome’.

Apa maksudnya?
Berselindung atas nama tanggung­jawab, tapi oportunis. Jadi apa yang berlaku, mereka inilah yang kononnya meyakinkan PH mengatakan pengiraan hibah itu salah dan sebagainya. Sebenar­nya pada masa itu, ahli kaukus MPM telah sediakan satu kertas penjelasan yang sangat terperinci mengenai various accounting options untuk hibah ini.

SUMBER YANG KUAT
Siapa sumber MPM dapatkan maklumat dalaman TH, dan apa jadi selepas itu?

Jadi apabila PH tidak dapat bertahan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH pada masa itupun tak dapat bertahan, kerana sebelum 18 Januari 2019 itu kami sudah buat konsultasi dengan dua bekas CEO TH. Mereka ini sangat rapat dengan MPM. Jadi kami dapatkan pandangan mereka. Selepas itu pada 18 Januari itu kami panggil (bekas) CEO TH, Datuk Seri Zukri Samat ke Wisma MPM. Kita tanya beliau, petang itu kita panggil semua pakar MPM untuk bincang balik apa yang kita dapat daripada beliau. Jadi ia sangat jelas, bahawa sebenarnya tiada langsung salah tadbir (malpractice), tiada isu mengenai pengiraan hibah, jadi PH pun tak boleh nak teruskan dan terhenti begitu sahaja (isu TH pada waktu itu).

Apa agenda mereka?
Agenda mereka mahu pindahkan apa yang disebut sebagai non-performing assets, itu mereka mahu lakukan. Padahal dalam manifesto PH, mereka kata (nak buat) pendedahan skandal 1MDB, Tabung Haji, Mara dan Felda. Soalnya, kenapa bila pegang saja kerajaan PH (waktu itu), mereka tak buat pun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Tabung Haji? Sebab tiada isu pun sebenarnya. Jadi apa yang mereka buat, ditubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk pindahkan non-performing assets ini. Yang pengiraan hibah semua, lepas itu langsung mereka tak sebut. Jadi di situ kita nampak, ini 100 peratus permainan politik.

RAMAI BUTA HATI
Di mana silapnya sampai jadi macam itu?

Ini silap kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu, kerana mereka letak terla­lu ramai orang politik dalam TH. Perdana Menteri dah orang politik, men­teri aga­ma orang politik, bila Penge­rusi dan ramai Ahli Lembaga Penga­rah terdiri dalam kalangan orang poli­tik, jadi musuh politik BN melihat TH ini telah dipolitikkan. Kerana TH mempunyai angka.

Angka apa yang dimaksudkan?
Ada tiga perkara mengenai TH yang kita kena faham. Pertama, TH ada angka, lapan juta lebih pendeposit. Dari sudut politik, kalau sesiapa dapat kuasai TH, mereka kuasai angka ini, lapan juta pendeposit yang juga lapan juta pengundi. Itu lapan juta pengundi dari segi pendeposit, kalau campur ahli keluarga mereka lagi?

Yang kedua, dari sudut ekonomi, siapa yang kuasai TH akan kuasai liquidity. Kerana nilai tabungan TH lebih daripada RM80 bilion. Nampak tak? Itu sahaja sudah cukup menunjukkan kekuatan liquidity. Itu sebab kenapa Kementerian Kewangan sekarang ini mahu pindahkan TH di bawah Bank Negara Malaysia (BNM). Kerana jika buat begitu, BNM boleh kuasai liquidity Tabung Haji. Jadi soal angka dan liquidity ini sangat penting.

Maksudnya, TH disasarkan sebab politik?
Sekitar 2014 lagi isu TH dimainkan oleh pembangkang, untuk alihkan sokongan lebih lapan juta pendeposit dari sokong kerajaan BN. Bila pembangkang membentuk PH dan hasilkan manifesto, TH adalah salah satu dari tiga institusi kepentingan Bumiputera-Islam mereka sasarkan termasuk 1MDB, Felda dan Mara. Jelas sekali perbalahan politik sesama kita menyebabkan ramai di antara kita buta hati, lantas memusuhi sesama sendiri, amat mudah untuk dimanipulasi atas permusuhan politiknya itu.

MODEL PERTAMA, TERBAIK DUNIA
Ada lagi faktor lain mengakibatkan TH disasarkan?

Ya, sebab ini adalah soal agenda ekonomi Islam kerana kita telah buktikan bahawa TH ini yang terbaik antara semua model perusahaan sosial (social enterprise) seluruh dunia. Kita bercakap tentang perusahaan sosial baru-baru ini sahaja, tapi di Malaysia kita sudah bercerita mengenainya sejak 1970-an lagi (sewaktu penubuhan Tabung Haji).
Kita sebenarnya melangkaui masa berbanding seluruh dunia apabila menyentuh aspek perusahaan sosial melalui institusi Tabung Haji yang kita ada ini. Malah ini sebenarnya lagi unik, sebab ia adalah model perusahaan sosial berlandaskan Islam. Belum ada lagi model sebegini, Arab Saudi tiada, Turki tiada, kita pula antara semua negara Islam lain, kita berjaya bangunkan. Jadi ketiga-tiga ini menyebabkan kita disasarkan.

SOAL BANK NEGARA MALAYSIA
Macam mana pula dalam konteks kerajaan sekarang? Kenapa Kementerian Kewangan mahu pindahkan Tabung Haji ini kepada BNM?

Sebenarnya ia salah dan tak relevan (untuk bertindak demikian), kenapa? Sebab di BNM itu sendiri masa zaman Tan Sri Zeti Aziz telah ditubuhkan satu jawatankuasa dinamakan Financial Stability Executive Committee atau FSEC. Jawatankuasa ini sangat berkuasa, lima orang saja ahlinya; Gabenor sebagai Pengerusi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, seorang lagi CEO Malaysia Deposit Insurance Corporation dan seorang ahli bebas, jadi lima orang semuanya.

Apa fungsi suruhanjaya ini?
Mereka memantau semua institusi yang mengambil deposit dari segi pengurusan kewangan mereka. Jadi sudah ada FSEC, kenapa perlunya hendak pindahkan pula bawah BNM? Sedangkan BNM sudah memang ada suruhanjaya sendiri untuk memantau (Tabung Haji). Suruhanjaya ini sampai sekarang wujud, sebab selepas satu kenyataan pada 26 Januari 2016, tiada kenyataan baru dikeluarkan oleh BNM yang mengatakan TH punya sistem kewangan diragui, tiada.

Apa antara isi kenyataan 26 Januari 2016 itu?
Kenyataan BNM pada tarikh itu mengesahkan dapatan FSEC bahawa tiada irregularities dalam tadbir urus kewangan TH. Laporan Tahunan Audit oleh Jabatan Audit Negara juga jelas menyatakan tiada penyelewengan (irregularities) ketara. Laporan Tahunan 2018 tak dapat dibentang di penghujung sidang Parlimen 2019, sebab kesuntukan masa, bukan sebab TH tak siap siaga. Sepanjang 2020 pula, tiada sidang Parlimen. Jadi maknanya sejak 2016 sampai hari ini, tak berlaku pun sebarang persoalan mengenai cara TH uruskan kewangan.

Apa lagi faktor Kementerian Kewangan mahu letakkan TH bawah BNM?
Liquidity, macam saya sebut tadi. Kalau boleh diletakkan bawah BNM, maknanya angka itu tadi dipindahkan ke bawah seliaan BNM. TH tak boleh buat keputusan sendiri dah, kerana ia sudah jatuh bawah kategori institusi kewangan. Bukan itu sahaja, BNM juga akan tentukan siapa yang boleh jadi pengerusi, nampak tak?

Apa masalah kalau pengerusi dilantik BNM?
Itu soal kedua, soal utamanya sekarang adalah TH satu-satunya institusi yang diperuntukkan oleh akta sendiri, yang mana badan kawal selianya adalah Parlimen. Itu sebabnya penyata kewangannya wajib dibentangkan di Parlimen. Jika Parlimen sudah berperanan sebagai badan kawal selia TH, apa perlunya ia diletakkan di bawah BNM? Adakah Kementerian Kewangan hendak rampas kuasa itu dari Parlimen dan berikan kepada BNM? Satu-satunya badan yang boleh ambil alih kuasa Parlimen ini hanyalah Majlis Raja-Raja, bukan BNM, Kementerian Kewangan atau Kabinet. Sepatutnya semua menteri dalam Kabinet tahu akan tatacara ini.

Tapi bukankah kerajaan telah keluarkan kenyataan, letak bawah BNM secara interim sampai ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)?
Yang ini saya rasa alasan saja, sebab bila kita tekan mereka, kita letakkan semua hujah ini, mereka menggelabah. Sebab bila mereka buat kenyataan pada 14 Julai lalu, kenyataan itu sendiri tergesa-gesa. Kabinet buat keputusan sebelum RCI bersidang. Kabinet dah buat keputusan sebelum Jawatankuasa Bersama Kementerian Kewangan – Pejabat Perdana Menteri – Tabung Haji belum berjumpa pun. Jadi belum ada recommendation pun, tapi Kementerian Kewangan dah dapat meyakinkan Kabinet untuk cepat-cepat pindahkan TH.

Jadi bila kita tekan mereka, “kenapa buat macam ini sedangkan RCI pun belum bersidang?”, itu yang mereka keluarkan kenyataan interim. Apa perlunya interim, adakah dalam masa dua bulan ini ada salah laku dalam urus tadbir kewangan TH, sampai segera mahu pindahkan bawah BNM? Tiada. Malah kita nak tanya, interim untuk apa?

RCI TAK PERLU!
Bagaimana pula soal penubuhan RCI yang diusulkan kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Ilham penubuhan RCI ini dari PH dan DAP. Hairan mengapa kerajaan PN juga tertarik mahu tubuhkan RCI bagi menyiasat TH. Nak siasat apa?

Jadi, RCI tak perlu?
RCI tak perlu. Yang perlu perkukuhkan kredibiliti kepimpinan dalam TH, dari Menteri sehingga semua Ahli Lembaga Pengarah dan seterusnya pengurusan kanan dalam TH, wajib semua golongan profesional bertauliah dalam pengurusan institusi kepentingan ummah, berintegriti dan kompeten. - Mingguan Malaysia

Disuruh Buat Kerja Rumah, Kanak-Kanak Buat Laporan Polis

BEIJING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun membuat laporan polis mendakwa bapanya melakukan ‘kegiatan buruh paksa kanak-kanak’ selepas dia disuruh melakukan kerja rumah.

Insiden itu berlaku di Ma’anshan di wilayah Anhui selepas bapa kanak-kanak itu ‘berasa rimas’ kerana anaknya asyik bermain telefon pintar sehingga malas membuat kerja rumah dan kerja sekolah.
Sehubungan itu, dia mengambil telefon anaknya dan memaksa kanak-kanak lelaki itu melakukan kerja rumah.

Berang dengan tindakan bapanya, kanak-kanak itu pergi ke balai polis dan membuat laporan terhadap bapanya.

Polis yang terkejut dengan laporan tersebut kemudiannya membawa kanak-kanak itu pulang ke rumahnya dan keadaan selesai selepas ibu bapanya memberi keterangan.

Di bawah undang-undang China, menyuruh kanak-kanak melakukan kerja rumah termasuk mengemas tidak dianggap sebagai melakukan buruh paksa.

Sementara itu, anggota polis berkenaan ‘menyokong’ tindakan ibu bapa kanak-kanak lelaki tersebut dan menasihatkannya supaya mendengar cakap dan jangan menjadi budak degil. 

Saturday, July 24, 2021

Kesukaran Masuk Gaza, OIC Digesa Main Peranan

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru agar kerajaan menggunakan saluran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membantu semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara Islam untuk masuk ke Gaza.

Menurut Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid, kerjasama dengan OIC amat penting bagi membantu rakyat Palestin di Gaza yang dilanda krisis kemanusiaan ekoran ketegangan yang berlaku.

“Dalam masa yang sama, suatu prosedur jelas antara dua negara, Malaysia dan Mesir perlu digariskan sebagai panduan kepada NGO Malaysia bagi merencana bantuan kemanusiaan dan masuk ke Gaza.

“Oleh itu jalan terbaik untuk menyalurkan bantuan dengan telus dan lancar harus dibincangkan antara kedua-dua negara, Malaysia dan Mesir. Faktor keselamatan adalah perkara paling utama dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, banyak NGO Malaysia yang dapat masuk ke Gaza sejak 2009 dan melaksanakan pelbagai projek kemanusiaan sangat bergantung kepada pihak berkuasa Mesir.

Jelas Mohd. Azmi, NGO kemanusiaan dari banyak negara lain memasuki Gaza hanya setelah dibenarkan oleh Mesir.

“Kami mengambil maklum mengenai kesukaran buat masa ini untuk NGO Malaysia memasuki Gaza. Kami menyeru agar Wisma Putra menggunakan hubungan diplomatik yang terbaik untuk mendapat kerjasama dengan pihak Mesir bagi usaha kemanusiaan NGO Malaysia berjalan lancar di Gaza.

“Usaha beberapa pihak NGO Malaysia untuk masuk ke Gaza tetapi tidak mendapat kelulusan, menandakan suatu koordinasi rasmi antara dua kerajaan Mesir dan Malaysia perlu diadakan,” jelasnya.

Katanya, pihak berkuasa Mesir mempunyai banyak pertimbangan untuk membenarkan mana-mana NGO atau individu dari luar Mesir masuk ke Gaza.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Misi Humanitarian Mission (HM4P) anjuran Biro Kebajikan UMNO yang dipengerusikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim diminta untuk tidak meneruskan misi ke Gaza dan pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, sejak berlepas ke Mesir pada 16 Jun lalu, rombongan itu masih belum mendapat kebenaran untuk memasuki Gaza untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan ke wilayah itu dan kawasan al-Quds.

Selain itu, rombongan misi kemanusiaan ke Gaza oleh pendakwah dan penceramah bebas, Ebit Liew dibenarkan masuk ke wilayah bergolak itu selepas mendapat kebenaran daripada Kerajaan Mesir.

Namun, rombongan itu dilanda kontroversi apabila pelbagai tuduhan dan dakwaan dilemparkan kepada pendakwah terkenal itu melibatkan beberapa selebriti terkemuka tanah air. - UTUSAN

Misi Ke Gaza Diketuai Azeez Rahim Diminta Pulang

PETALING JAYA: Misi Humanitarian Mission (HM4P) anjuran Biro Kebajikan UMNO yang dipengerusikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim diminta untuk tidak meneruskan misi ke Gaza dan pulang ke Malaysia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kerajaan Mesir memaklumkan bahawa tiada jaminan keselamatan untuk HM4P di Gaza.

Justeru katanya, rombongan misi itu perlu pulang ke Malaysia atas faktor keselamatan.

“Kerajaan Mesir telah memberikan pertimbangan bahawa keadaan keselamatan mereka (HM4P) di sana tidak dapat dijamin,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Tambah Kamarudin, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Kaherah telah cuba membantu sedaya upaya namun semua keputusan tertakluk kepada pertimbangan keselamatan.

“Saya sealiran dengan pandangan Timbalan Perdana Menteri untuk menasihatkan supaya rombongan itu pulang ke Malaysia atas pertimbangan keadaan keselamatan khususnya di Gaza, adalah tidak dijamin,” katanya.

Misi kemanusiaan HM4P anjuran Biro Kebajikan UMNO yang dipengerusikan Abdul Azeez, berlepas ke Jordan pada 16 Jun lalu untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan ke al-Quds dan Gaza.

Namun sehingga kini rombongan itu masih belum dibenarkan memasuki Gaza. - UTUSAN

Sumbangan Ustaz Ebit Lew Berjaya Masuk Ke Gaza: Nadir

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan, sumbangan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang dibeli di Kaherah, Mesir berjaya memasuki Gaza, Palestin pada hari pertama Aidiladha.

Dalam laman Telegramnya, Muhammad Nadir berkata, barangan tersebut tiba bersama-sama dengan 300 tan bantuan lain.

“Wah, alhamdulillah! Ada kawan kongsikan post yang sumbangan EL yang dibeli di Cairo telah masuk pada hari raya pertama bersama 300 tan bantuan lain.


“Alhamdulillah dan tahniah. Ini yang kita mahukan, maklumat tentang bantuan yang disampaikan,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Nadir menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa beliau berasa dengki terhadap misi bantuan kemanusiaan Ustaz Ebit di Gaza.

“Buat apa nak dengki dan iri hati sebab bantuan ini akan sampai kepada jiran saya, malah mungkin kaum kerabat saya sendiri di sini.

“Satu persoalan dah terjawab, lepas ni kita tunggu jawapan kepada persoalan lain juga. Tahniah sekali lagi!,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai kontroversi tercetus selepas penyanyi rap, Caprice membuat beberapa dakwaan berhubung cara Ustaz Ebit mendapatkan kebenaran untuk masuk ke Gaza.

Isu membabitkan misi kemanusiaan Ustaz Ebit itu kemudian memasuki episod baharu selepas pendedahan Muhammad Nadir menerusi Telegram, Selasa lalu.

Antara lain, Muhammad Nadir menegur cara pasukan Ustaz Ebit mengendalikan misi kemanusiaan mereka, yang didakwa tidak melalui proses dan prosedur yang biasa dilakukan oleh kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negara untuk masuk ke Gaza.

Susulan itu, Ustaz Ebit bertindak melaporkan dakwaan-dakwaan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam. - ismaweb.net

Friday, July 23, 2021

Kenapa Mereka Semakin Berani?

“MEREKA ber­tengkar ramai dalam bahasa yang bagiku sama asingnya dengan bahasa nasib manusia.”
– Pramoedya Ananta Toer.

Bahasa adalah suatu komoditi yang unik dalam interaksi sosial, bukan sekadar untuk kelangsungan hidup seharian tetapi lebih utama lagi bagi menjaga kesepaduan sosial dalam sesebuah masyarakat. Apabila bahasa yang jelas digunakan dengan telus, interaksi menjadi mudah tetapi apabila bahasa dimanipulasi untuk melindungi motif tersembunyi, sudah tentu interaksi menjadi tersekat dan terbantut. Begitu jugalah dengan polemik di antara mereka yang menggelarkan diri sebagai konservatif menentang mereka yang meyakini diri sebagai liberal di Malaysia.

Sebagai contoh mudah, sudah berulang kali sehingga berbuih mulut berbicara – Malaysia adalah negara yang bernilai Islamik. Bukan hanya kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang berdiri tegak dan teguh mengikat jati diri negara ini, bahkan lebih daripada itu dalam setiap sendi negara nilai Islamik itu terserlah. Baik daripada jata negara yang melambangkan identiti Islamik sehinggalah kepada dasar negara yang memelihara kesejahteraan masyarakat berdasarkan prinsip Islamik, terseri jelas agama ini terlipat kemas dalam tenunan yang membentuk negara Malaysia.

Maka amatlah aneh, ajaib malah mengejutkan apabila nilai Islamik ini dipandang rendah sehingga diperlecehkan puak liberal bagai kinantan hilang taji. Pada banyak waktu, jati diri negara ini diperbodohkan dengan mudah tanpa pembelaan yang efektif kerana penguat kuasa undang-undang seolah-olah terlalu bacul untuk bertindak membela. Sedangkan golongan liberal semakin berani dan tebal muka dengan propaganda mereka.

Baru-baru ini gegak-gempita negara apabila institusi hak asasi yang ditubuhkan berdasarkan suatu akta Parlimen dengan bangga mengiklankan kajian mengenai kemasukan gender ketiga dalam kerangka perundangan negara. Melatah tok lebai di rumah yang sudah berhari-hari tidak bersolat di masjid. Hilang alur pemikiran sejenak memikirkan apalah yang sudah menggila dalam negara sehingga benda yang jelas bertentangan dengan fitrah Islamik dalam kerangka negara sanggup dibesar-besarkan.

Dalam terma rujukan yang disiarkan, kajian itu dibingkaikan berlandas kepada keperluan mengiktiraf hak-hak asasi golongan transgender. Amatlah ajaib mengapa gender ketiga dilihat dalam konteks perjuangan transgender walhal negara ini telah pun selesai mendebatkan keabsahan undang-undang syariah yang menentang perlakuan transgender. Adakah kajian ini menidakkan hak setiap badan perundangan negeri-negeri yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi untuk memaktubkan undang-undang berdasarkan ajaran Islam yang mereka yakini?

LGBTQ
Skandal kajian gender ketiga hadir dalam pada negara sudahpun dikejutkan lebih awal lagi dengan beberapa paparan tidak senonoh, jelik dan pelik dalam media sosial. Perkongsian bagi menyemarakkan tema bulan Jun yang dikenali sebagai Pride Month oleh pejuang lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) banyak menjentik sensitiviti masyarakat Malaysia, malah ada yang dengan jelas mengejek prinsip Islam yang dijunjungi negara. Frasa Allah is Gay dilekatkan dengan logo Atheist Republic, dihiasi pula paparan kaabah yang dibaluti warna pelangi dan disiarkan melalui laman media sosial.

Golongan liberal bukan hanya gemar membentak-bentakkan bahasa aneh mereka dalam soal melibatkan isu ‘dalam kain.’ Lebih daripada itu, golongan liberal tidak langsung segan untuk juga mengolah bahasa aneh mereka untuk membantah dasar tradisional seperti keperluan memelihara kesucian agama. Setiap agama dipermainkan dan dipukul sama rata untuk dibuat jenaka jalanan. Tiada tujuan lain selain daripada untuk berbangga dalam menghina nilai agama yang dipandang tinggi oleh masyarakat Malaysia.

Apa yang menarik pada pandangan saya, bukanlah keberanian golongan liberal ini mengejek sensitiviti majoriti rakyat Malaysia tetapi ketumpulan tindak balas pihak berkuasa dalam mengambil sebarang tindakan. Laporan polis sudahpun dibuat sejak awal Jun lagi, namun sehingga kini tiada kemas kini yang diberikan. Tidakkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat kepentingan dan kemustahakan mengambil tindakan tegas ke atas puak liberal yang biadab ini?

Biarpun mereka sering berdegar-degar melaungkan kebebasan bersuara yang dibenarkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun hak ini tidaklah sehingga membolehkan golongan liberal melangkaui had yang ditetapkan undang-undang. Tambahan pula, masyarakat sudah lebih cakna tentang hak serta had yang ditetapkan dan akan segera melaporkan mana-mana perkongsian di media sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam. Namun, masyarakat peri ilmu yang cakna tidak akan mampu berfungsi dengan baik apabila PDRM masih mengambil sikap berlengah-lengah, malah memilih dalam membanteras jenayah yang dilaporkan.

Jika selama ini ahli akademik dan pengkaji sosial banyak memberikan tunjuk ajar kepada rakyat, mungkin kini sudah tiba masa untuk advokasi ditegaskan buat perhatian kerajaan yang tidak peduli dan pihak penguat kuasa yang tidak berani.

Ambil Pesanan Nasi Ganja Guna Helikopter

IPOH: Sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini difahamkan untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya ini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid yang mengulas pendaratan helikopter itu berkata, setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

“Helikopter tersebut didapati mendarat di Padang Ipoh pada pukul 9.55 hingga 10.15 pagi ini.

“Helikopter tersebut tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh. Kita sudah salurkan info ini kepada pihak CAAM Ipoh,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Terdahulu orang ramai dikejutkan dengan kehadiran sebuah helikopter yang mendarat di Padang Ipoh di sini dipercayai milik syarikat swasta.

Helikopter yang dinaiki dua lelaki itu dikatakan bertujuan untuk mengambil tempahan nasi kandar dari sebuah restoran popular di bandar raya ini yang dikenali sebagai nasi ganja.

Sementara itu, jurucakap restoran nasi ganja itu yang enggan namanya disiarkan mengesahkan dia menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan helikopter.

“Saya agak ragu-ragu juga kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.

“Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan memang benar diambil menggunakan helikopter.

“Ini pertama kali tempahan diambil oleh pelanggan menggunakan helikopter. Ia saya sifatkan tempahan yang diambil dengan cara paling mewah yang pernah saya terima tetapi harga jualan tetap sama iaitu RM10 setiap bungkus,” katanya. - UTUSAN

Kemakmuran Bersama....Singkirkan Sekolah Vernakular Dari Sistem Pendidikan Negara

Mahu kemakmuran bersama? Singkir dasar berasaskan kaum, kata ahli ekonomi
PETALING JAYA: Jika kerajaan benar-benar berniat mahu mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, ia mesti dimulakan dengan menyingkirkan dasar berasaskan kaum, kata seorang ahli ekonomi dan bekas penjawat awam.

Ramon Navaratnam, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata, dasar perlindungan berasaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan mengakibatkan banyak penghijrahan cendekiawan, malah ramai orang telah meninggalkan Malaysia untuk mencari peluang lebih baik.

Katanya kepada FMT, bakat tempatan tiada insentif untuk bekerja di sini dan ini menunjukkan kelemahan struktur.

“Layan semua orang dengan adil, itu pengajaran kita dapat daripada Covid-19. Tolong orang miskin tanpa mengira kaum. Tetapi apabila anda lihat jiran anda yang hanya punyai separuh kelayakan anda diberi keutamaan mendapat pekerjaan, mana insentif untuk bersaing?
Ramon Navaratnam.

“Di mana insentif untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran dan seterusnya pertumbuhan ekonomi dan kapasiti untuk mengagihkan kekayaan?” soal beliau.

Sektor perkhidmatan awam katanya, terdiri daripada 90% orang Melayu, sementara hanya dua daripada 25 ketua setiausaha kementerian adalah orang bukan Melayu.

Beliau berkata, pada zaman beliau berada dalam sektor berkenaan, terdapat empat penjawat awam Melayu bagi setiap penjawat awam bukan Melayu.

Kuota kaum pada ketika itu pada kadar minimum tambahnya, dan ini membantu menarik bakat-bakat besar.

“Tak perlu banding dengan negara seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, United Kingdom atau Amerika Syarikat. Banding sahaja dengan jiran kita seperti Thailand, Vietnam dan Singapura.

“Jika bersikap jujur, kita akan lihat kelemahan yang kita cipta untuk diri kita sendiri dan lebih teruk lagi, kita tak bersedia untuk berubah. Kita negara yang mempunyai banyak sumber, disebabkan itu, walaupun kita banyak kelemahan, kita masih boleh bertahan.

“Tetapi akan sampai waktu di mana, jika kita tidak berubah, kita takkan dapat kekal begitu. Kita bukan negara yang gagal, tetapi kita menuju ke arah itu,” kata Ramon.

Beliau menegaskan, DEB berguna ketika ia diwujudkan, namun manipulasi dan “penyelewangan” oleh pihak-pihak tertentu lambat laun menyebabkan perpecahan dan memperlahankan kemajuan negara.

Kata beliau lagi, pendidikan menjadi kunci kepada kemajuan atau kemerosotan Malaysia, sambil menambah bahawa kemakmuran bersama bukan hanya tentang mengenakan cukai melampau ke atas orang kaya untuk memberi kepada orang miskin.

Semua orang perlu mendapat peluang dan akses yang sama kepada pendidikan untuk membolehkan mereka maju dalam kehidupan, katanya.

Malaysia pernah mendapat pencapaian tinggi dalam PISA dan terkenal dengan kemampuan Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris, tambahnya.

“Ia perlu menjadi tentang peluang setara, bukan hasil setara. Kemakmuran bersama bagi saya, hanya slogan yang gah. DEB turut diasaskan atas dasar kemakmuran bersama.

“Ia mesti dibahagikan mengikut kemampuan, mengikut pemberian peluang. Anda tidak beri ikan kepada seseorang selama-lamanya, anda berikan dia joran.

“Tetapi perlu pastikan sesiapa yang boleh guna joran akan mendapatnya. Jangan hanya beri joran kepada segelintir tetapi nafikan hak yang lain,” katanya. - freemalaysiatoday

Pelajar Lelaki Protes Pakai Skirt Kerana Cuaca Panas

LONDON: Sekumpulan pelajar lelaki yang dilarang memakai seluar pendek semasa gelombang panas melanda Eropah telah melakukan tunjuk perasaan dengan memakai skirt.

Dailymail melaporkan, Adrian Copp, 15, mengetuai rakan-rakannya di Sekolah Poltair di St. Austell, Cornwall untuk membuat keputusan menentang ‘dasar seragam ketinggalan zaman’ sekolah dengan memakai skirt ke kelas.

Walaupun suhu melambung tinggi di atas 30 darjah Celsius minggu ini, peraturan sekolah menengah tidak membenarkan murid memakai seluar pendek.

Adrian dan dua rakannya, Connor Humphries dan Scott Penman merancang untuk terus memakai skirt untuk minggu ini dan mengatakan bahawa mereka mahu lelaki dan perempuan mempunyai pilihan untuk memakai seluar pendek.

“Saya pasti merasa lebih sejuk. Benar-benar tidak selesa memakai seluar panjang dalam keadaan panas ini.

“Kami hanya mahu semua orang mempunyai pilihan untuk memakai seluar pendek dalam keadaan panas ini dan itu juga berlaku untuk para gadis,” kata Adrian.

Panduan pakaian seragam sekolah menengah berbunyi: ‘Pelajar mesti memakai seluar panjang berwarna hitam’. - UTUSAN

Thursday, July 22, 2021

Apabila Pemimpin Kita begitu Bodoh Tentang Jatidiri Dan Perpaduan Di Negara Ini...

Pengiktirafan terhad UEC pengkhianatan terhadap anak bangsa

Umpama kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, demikian perumpamaan sesuai dengan pengiktirafan terhad Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Pengiktirafan itu jelas satu pengkhianatan kepada anak bangsa yang sanggup bersama-sama kurikulum dan sukatan pelajaran ditawarkan di institusi pendidikan kerajaan, yang tidak mahupun diyakini sesetengah ibu bapa.

Bagi Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, pengiktirafan itu jelas memberi kesan sistem pendidikan negara kerana tidak konsisten dengan prinsip asas yang tidak boleh mencampuradukkan kategori institusi pendidikan.

Malah tidak mustahil, dengan pengiktirafan ini – pada penghujung entiti yang dikategorikan sebagai institusi pendidikan swasta – ia boleh pula menyilang masuk ke dalam insititusi pendidikan kerajaan.

Atas dasar itu, beliau menegaskan isu pengiktirafan sijil UEC untuk PISMP sepatutnya diambil kira dengan serius.

Ini memandangkan etnik Cina bukan sahaja rata-ratanya rakus, tetapi sentiasa mahu untung pada setiap masa untuk tujuan sempit bagi kepentingan diri sendiri, tanpa menghiraukan pertimbangan luas kepada etnik lain dan negara, katanya.

“Tidak dapat dinafikan pengiktirafan terhad sijil UEC untuk PISMP inilah yang menyebabkannya mahu terus dituntut untuk pengiktirafan yang lebih luas, bagi merangkumi kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam.

“Ini kerana sudah ada duluan, iaitu tindakan lampau yang boleh dijadilkan contoh untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, ia juga amat tidak adil kepada mereka yang setia dalam aliran pendidikan kebangsaan dari awal sehingga akhir kerana mahu menjunjung aspirasi negara.

Lebih membimbangkan, katanya lagi, ia akan memberi laluan bagi pelbagai sijil lain yang bukan entiti awam dalam sistem pendidikan negara, untuk ikut menuntut pengiktirafan.

“Ini sudah tentu akan mengkesampingkan sijil kita sendiri yang sepatutnya dilindungi sepenuhnya dalam sistem yang kerajaan sendiri bina dalam kategori institusi pendidikan kerajaan.

“Walaupun sebagai negara demokrasi yang membenarkan liberalisme dalam bidang pendidikan, kerajaan hendaklah pertamanya mengutamakan aliran perdana negara yang dikategorikan sebagai institusi pendidikan kerajaan dalam sebarang ehwal pendidikan negara.

“Justeru tiada pengiktirafan dalam apa-apa jua bentuk untuk sijil daripada institusi pendidikan swasta, termasuk yang antarabangsa sifatnya, dalam sistem pendidikan negara,” katanya. - ismaweb.net

Komunikasi Sexting Membimbangkan

DAPATAN Kajian Pengguna Internet 2020 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati 88.7 peratus rakyat Malaysia menggunakan internet atas pelbagai urusan harian.

Kajian itu mendapati lima aktiviti utama dilakukan rakyat Malaysia adalah komunikasi teks dan kemudian diikuti media sosial, menonton video, komunikasi video/suara dan mencari maklumat.

Penglibatan meluas pengguna dalam aktiviti dalam talian pastinya mendedahkan pengguna kepada sexting (hantaran seks).

Istilah sexting ini berasal daripada perkataan akar sext, iaitu kombinasi dua perkataan sex dan text yang membawa maksud komunikasi atau interaksi yang mengandungi mesej berunsur seksual atau lucah sama ada dari segi teks, gambar atau video. Sexting ini boleh berlaku dalam apa jua jenis peranti.

Komunikasi sexting ini boleh berlaku dengan kebenaran kedua-dua pihak iaitu penghantar dan penerima atau secara sehala, sebelah pihak sahaja iaitu penghantar tanpa mendapat persetujuan pihak penerima.

Komunikasi sexting dengan kebenaran dan persetujuan bersama biasanya melibatkan individu yang saling mengenali seperti suami isteri atau pasangan kekasih dan tidak terkecuali melibatkan kenalan sekolah atau rakan sekerja.

Manakala komunikasi sehala berlaku dalam kalangan mereka yang saling tidak mengenali, bahkan ada penerima tidak memberi tindak balas langsung terhadap mesej berunsur seksual yang diterima sekali gus menjadikannya sebagai mangsa kepada perlakuan tidak bermoral ini.

Isu komunikasi sexting ini sering diperdebat dan diperbincangkan dalam kalangan ilmuwan Barat, namun atas faktor budaya dan ketamadunan, mereka mengangkat komunikasi ini suatu yang positif dan melihat sebagai bentuk manifestasi bagi menggambarkan keinginan seksual kepada seseorang bagi yang kurang keyakinan diri.

Namun, mereka sependapat menolak budaya itu jika melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Malaysia yang menjunjung tinggi rukun kesopanan dan kesusilaan tidak menganggap budaya komunikasi sexting ini sebagai norma, tidak boleh diterima malah ia dianggap tabu.

Perlakuan komunikasi sexting ini menjurus kepada lebih banyak kemudaratan antaranya menyumbang kepada perhubungan seksual sebelum berkahwin. Lebih membimbangkan apabila ia berlaku dalam kalangan remaja atau kanak-kanak. Ini kerana, bermula dengan komunikasi sexting dalam media sosial dikhuatiri akan membawa kepada hubungan seksual sebenar di luar.

Data SKMM dalam Kajian Pengguna Internet 2020 menunjukkan penggunaan internet tertinggi adalah dari kumpulan umur 15 hingga 24 tahun yang mana golongan remaja dan belia ini dilihat lebih cenderung untuk terlibat dalam komunikasi sexting kerana pada usia begini rata-rata mereka masih di alam penerokaan mencari diri, suka mencuba dan mudah terpengaruh.

Justeru, usaha membendung masalah ini memerlukan penglibatan serius semua pihak kerana ia bukan sekadar penularan budaya komunikasi tidak sihat tetapi ia soal masa depan negara.

Memetik kata-kata tokoh ulama dunia, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihat pada golongan belianya, jika baik akhlaknya, maka akan baiklah masa depan negara itu, tetapi jika sebaliknya, maka negara tersebut akan lenyap.

Oleh: SITI NASARAH ISMAIL
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau.