nuffnang

Saturday, March 31, 2012

Mitos Negara Berkebajikan Pas

Seperti Dokumen Negara Islam terbitan Pas sedekad lalu dan dikecam kerana terlalu ringkas dan kabur untuk menerangkan konsep dan pelaksanaan sebuah sistem pemerintahan negara, buku Pas mengenai negara berkebajikan juga bagaikan melepas batuk di tangga.


Buku ini tidak komprehensif, tiada kajian mendalam dan tidak praktikal. Banyak kenyataan bersifat umum dan abstrak. Ada bab hanya tiga atau empat perenggan sahaja. Tiada contoh spesifik atau data sokong hujah berhubung dasar ekonomi dalam negara berkebajikannya. Malah, banyak bahagian dalam buku ini adalah pernyataan dasar dan langkah yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan BN, seolah-olah Pas tidak nampak apa yang berlaku di negara ini sejak 56 tahun lalu.

Sebahagian besar buku adalah himpunan ayat-ayat Quran dan penjelasan cetek mengenai istilah asas. Diketengahkan usul al-Fiqh seperti maqasid al-syariah dan siyasah al-shar’iyyah tetapi tidak digariskan apakah cabaran strategik yang akan dihadapi negara, atau kaedah penjanaan sumber pendapatan negara untuk berbuat kebajikan kepada rakyat.
Pas membezakan konsep negara berkebajikan mereka daripada welfare state seperti yang wujud di Barat dan kebajikan dilaksanakan kerajaan BN. Bezanya ialah pada penambahan imbuhan ‘ber’ merujuk pemimpin yang baik dan amalan kebajikan. Antara ciri pemimpin baik disebut dalam buku ini ialah alim, bertaqwa dan berintegriti, menegakkan amal makruf dan nahi mungkar.

Tapi malangnya, seperti juga kes-kes lain ‘ikut saya cakap, jangan ikut saya buat’, ramai pemimpin Pas sendiri tidak memiliki ciri-ciri yang mereka gariskan.

Dalam bukunya, Pas menyatakan untuk menjadikan orang Melayu teras dalam pembangunan negara. Kenyataan ini mengelirukan kerana pendirian Pas sebelum ini ialah tidak bangga menjadi Melayu, mahu menghapuskan hak keistimewaan Melayu dan menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berjaya membangunkan kelas menengah Melayu dan membantu membasmi kemiskinan tegar.

Jika kedudukan sosioekonomi orang Melayu-Islam di Kelantan hendak dijadikan ukuran, konsep berkebajikan seperti yang disebut boleh dikatakan tidak wujud. Masalah asas seperti bekalan air bersih, kemiskinan, kurang kemasukan pelaburan asing serta protes rakyat mengenai hal tanah masih berlarutan walaupun Pas memerintah 22 tahun. Inilah juga negeri yang mencatat kes cerai yang tinggi dan pengidap HIV paling ramai di Malaysia. Sepatutnya, konsep berkebajikan ini dipraktikkan di Kelantan dahulu. Namun, bilangan orang Kelantan yang meninggalkan negeri itu untuk mencari rezeki di negeri-negeri lain melebihi 700,000. Ini hakikat.

Pas juga lahirkan hasrat ganti Umno. Ini mustahil berlaku selagi Pas tidak mampu letak bilangan calon yang lebih ramai daripada PKR atau DAP dalam pilihan raya umum. Manakala Umno memimpin BN, Pas menjadi pengikut dalam Pakatan Rakyat. Manakala Umno adalah parti terbesar dalam BN, Pas adalah parti terkecil dalam pakatan pembangkang.

Pas hanya kuat di Kelantan, tidak di negeri lain. Kerana itulah, kebajikan orang Melayu-Islam di Pulau Pinang tidak dapat dibela oleh Pas. Kerajaan negeri pimpinan DAP telah hentikan sambutan Maulidur Rasul, menghalau peniaga Melayu, mengeluarkan kenyataan hina umat Islam, malah mahu menjual tapak masjid namun pemimpin Pas bersikap diam. Di Selangor, pemimpin Pas yang mahu menegakkan kedaulatan agama, menentang Exco DAP dalam urusan penjualan arak dan mempertikai pengeluaran lesen rumah urut dipecat oleh parti itu. Jika begini, bolehkah Pas diharap memerintah negara yang menjaga kebajikan orang Melayu-Islam?

Rakan politik Pas ialah DAP yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia berorientasi sosialis-demokrat, bukan negara berkebajikan. Konsep DAP menolak hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika konsep DAP dilaksanakan, jurang sosial dan kekayaan antara kaum akan melebar dan menjejaskan perpaduan nasional. Adakah negara berkebajikan Pas menerima pakai konsep Malaysian Malaysia anjuran DAP ini? Jika tidak, beranikah Pas mengisytiharkan pendirian ini.

Satu lagi rakan kongsi politik Pas ialah PKR, yang memperjuangkan faham liberal dan pluralis. PKR mahu jadi parti pelbagai kaum, dan tidak bertunjang kepada Melayu-Islam sebagai teras. PKR dan DAP anggap perjuangan Pas adalah rigid, sempit dan tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam realiti politik Malaysia lalu mengembangkan fahaman liberalisme dan pluralisme ke dalam Pas sehingga meminggirkan pengaruh ulama. Dalam konteks negara berkebajikan Pas, adakah fahaman liberalisme dan pluralisme juga diterima pakai?

Nampaknya, konsep negara berkebajikan Pas satu lagi janji pembangkang. Umum tafsir ia strategi Pas sesuaikan diri dengan pakatan menjelang PRU13.
 
Oleh : Dr. Mashitah Ibrahim

No comments:

Post a Comment