Friday, March 2, 2012

Apakah MAS Terpaksa gulung Tikar?

Tiada Erti Lapangan Terbang Taraf Dunia Jika MAS Terpaksa gulung Tikar 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan melakukan sesuatu bagi mengelakkan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) terus mengalami kerugian. Dalam laporan terbaru menunjukkan MAS mencatat kerugian untuk tahun 2011 sebanyak RM2.52 bilion.

DPPM mempersoalkan mengapa syarikat tersebut mengalami kerugian begitui banyak untuk tahun lepas. Apakah ia berpunca dari kelemahan dari segi urus tadbir dan strategi perniagaan yang tidak berkesan. Keadaan ekonomi global yang tidak berkembang dengan sihat tidak boleh dijadikan alasan mengapa MAS rugi kerana banyak lagi syarikat penerbangan negara serantau mencatat keuntungan yang baik.

Bagi DPPM, MAS perlu dipulihkan bagi menyelamatkannya dari terus mengalami kerugian. MAS adalah sistem penerbangan utama negara, justeru ia tidak patut dibiarkan gulung tikar. Mungkin pihak pengurusan MAS belajar dengan syarikat penerbangan seperti Air Asia yang terus cemerlang dengan keuntungan. Air Asia yang baru ditubuhkan beberapa tahun lepas dan hanya mempunyai operasi perniagaan yang lebih kecil mampu membina empayar kejayaan mereka. Apakah rahsia kejayaan ini sehingga mampu melakar kejayaan bermakna sebaliknya MAS pula menanggung kerugian.

MAS adalah identiti penerbangan utama negara, kegagalan MAS bererti kegagalan negara dalam melahirkan syarikat penerbangan bertaraf dunia. Imej negara pula akan jatuh di peringkat antarabangsa kerana gagal mengurus syarikat penerbangannya setanding dengan syarikat penerbangan negara-negara lainnya.

Tidak ada ertinya kehebatan lapangan terbang negara ini bertaraf dunia dan mendapat pengiktirafan antarabangsa sekiranya syarikat yang menguruskan sistem penerbangan utama negara pula gagal menempatkan kedudukannya. Rakyat Malaysia pastinya malu apabila mendengar MAS terus mencatat kerugian buat beberapa tahun lagi dan akhirnya terpaksa menggulung tikar dan menyerah kalah. Apakah lagi kebanggan rakyat Malaysia pada industri penerbangan negara?

Oleh : Riduan Mohd Nor

No comments:

Post a Comment