Ia dikatakan senjata kegemaran golongan samseng, kaki gaduh atau 'gedebe' di Kelantan suatu masa dahulu.
"DULU-DULU lazimnya orang berpesan, kalau pergi ke Kelantan, jaga kelakuan, takut kena kapak siam."
Sebaris kata-kata yang meluncur keluar daripada seorang rakan berusia lebih separuh abad itu saat ditanya tentang kapak siam membuat penulis terpegun. Rakan dari Johor itu yang tentunya lebih banyak makan garam menggambarkan populariti kapak siam yang digeruni terutamanya pada tahun 1960-an.
Cerita kapak siam pernah menjadi berita hangat pada tahun 1967 berikutan pembunuhan kejam seorang ahli politik di Kota Bharu yang dipercayai ditetak dengan senjata tersebut.
Ia merupakan senjata kegemaran golongan samseng, kaki gaduh atau 'gedebe' kerana saiznya yang kecil memudahkannya diselit pada lilitan kain di pinggang atau semutar iaitu kain lilitan kepala lelaki.
Namun, ada yang mengaitkannya sebagai cara untuk mengajar orang yang berkelakuan biadap apabila masuk ke kampung, misalnya mengganggu anak gadis atau mencuri.
Sasterawan Negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pernah menyebut tentang senjata ini semasa mentakrifkan negeri kelahiran sasterawan tersohor dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, S. Othman Kelantan. Kamal menyifatkan rakyat Kelantan kuat mempertahankan nilai tradisi manakala harga diri dipandang tinggi.
Sejengkal
SENJATA yang mudah digenggam ini terkenal dalam kalangan samseng Kelantan pada tahun 1960-an."Tanpa mempertahankannya apabila tercabar, individu itu tak bererti, nah tunggulah bicara pembunuhan yang menyerang apabila tiba malam gelap dengan senjata yang bernama kapak siam, kapak kecil yang amat tajam dan membunuh," katanya seperti yang disampaikan pada Pesta Penyair Nusantara di Universiti Kadiri, Surabaya, Indonesia pada tahun 2008.
Apa sebenarnya kapak siam dan mengapa ia disandarkan dengan Siam (Thailand)? Menurut individu yang ditemu bual, ia cuma nama jolokan yang diberikan oleh orang luar Kelantan sedangkan ia tidak dinamakan sedemikian oleh masyarakat di negeri yang bersempadan dengan Negara Gajah Putih itu.
Secara umumnya, kapak siam adalah kapak kecil yang bersaiz kira-kira sejengkal yang dicipta khusus untuk genggaman tangan. Ini dapat dilihat pada hulunya yang melengkung sedikit berbanding kapak biasa.
Bagi seorang pengumpul senjata lama, Mohd. Nasir Hassan, 44, atau mesra disapa Cikgu Nasir, cerita kapak siam banyak memaparkan latar belakang sosiobudaya masyarakat Kelantan zaman dahulu yang ingin mendidik individu yang kurang beradab.
Menjelaskan tentang kapak siam, Nasir berkata, ia dikenali di negeri ini sebagai kapak kecil Kelantan. Ia juga digelar kapak bungkus atau kapak terbang kerana ia merujuk kepada cara kapak itu digunakan semasa menyerang.
Kapak kecil yang matanya kelihatan berseni dengan lebih lebar pada bahagian bawah pula dikenali sebagai kapak binjai manis.
"Bagi mereka yang berniat membunuh, mereka menetak di kepala atau dahi hingga kapak itu terlekat di situ.
"Namun, dalam kebanyakan kes untuk mendidik orang yang kurang ajar, mereka biasanya hanya mencederakan iaitu dengan membungkus mata kapak tersebut dengan kain.
"Mata kapak dibungkus dengan hanya mendedahkan beberapa inci hujung mata untuk mengelak kecederaan parah. Di situlah diukur kadar kebiadapan orang itu.
"Jika lebih banyak hujung mata yang tidak dibungkus, bermakna lebih besarlah salahnya.
Serangan
"Kalau orang nampak parut 'peringatan' kena takik kapak di kepala atau dahi itu, orang biasanya akan berkata, tu kacau anak dara orang ke tu?" katanya ketika ditemui di rumahnya di Bachok, Kelantan.
Nasir berkata, serangan juga dilakukan dengan mengikat hulu kapak dengan kain atau tali dan ia dinamakan kapak terbang.
"Punca kain pula diikat pada pergelangan siku. Kapak akan dibaling dan disentak semula ke dalam genggaman tangan. Serangan ini biasanya dilakukan oleh orang yang memiliki kemahiran tinggi," kata guru sebuah sekolah menengah di Kota Bharu itu.
Selain saiznya yang kecil, tambah Nasir, kapak siam sering menjadi pilihan kerana ia bersifat dwifungsi iaitu ia boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja ringan seperti menakik dan dijadikan senjata untuk menyerang. Ia berbeza berbanding keris yang pasti mendatangkan curiga orang jika dibawa.
Seorang guru silat dari Tumpat, Wan Yusmar Wan Yusof, 39, yang memaparkan video silat kapak siam di YouTube pula memberitahu, kapak itu pada asalnya digunakan oleh wanita di Pattani, Thailand untuk membelah buah pinang.
"Tetapi orang lelaki menjadikannya senjata pergaduhan," katanya yang mendakwa semasa kecil beliau pernah mendengar cerita seorang anggota polis mati dikapak dengan kapak siam di Tumpat.
Menurutnya, serangan kapak siam juga boleh menyebabkan seseorang menjadi gila sama ada akibat hentakan di kepala atau ditusuk hulu kapak yang diperbuat daripada pokok nibung.
"Getah nibung yang bercampur darah akan lebih berbisa. Ia boleh menyebabkan keracunan atau sawan," dakwanya sambil memberitahu bisa itu boleh dikurangkan dengan minum air kelapa atau menyapu luka dengan air perahan limau nipis.
KAPAK kecil pada masa ini popular dijadikan cenderahati dan barang perhiasan.
Di sebalik cerita kapak siam yang semakin ditimbus masa, kudrat si tua pembuat kapak, Muhammad Yusof, 68, terus ditagih.
Dia dipercayai satu-satunya pembuat kapak siam generasi lama yang masih hidup. Atas bahu warga emas yang sudah empat dekad membuat kapak itu kini tertancap sisa legasi kapak kecil itu.
Meskipun ada yang mendakwa nama kapak siam jenis binjai manis diambil sempena Kampung Binjai Manis di Pattani, Thailand, hakikatnya Muhammad atau 'Abe Mat Tukang Kapak' tinggal di Kampung Binjai Manis, Bunut Susu, Pasir Mas. Kampung tersebut hanya mempunyai belasan buah rumah.
No comments:
Post a Comment