JANJI Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu acara di Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini untuk memberi pembelaan kepada segenap lapisan masyarakat termasuk kelompok berpendapatan sederhana atau middle income group yang diakui beliau kadang-kala terlepas pandang, cukup menggembirakan.
Walaupun program membela rakyat ini memang sudah dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, kelompok yang selalunya diberi tumpuan ialah golongan miskin atau bawah dan golongan perniagaan atau korporat yang biasanya kumpulan berpendapatan tinggi, selain kakitangan kerajaan.
Seperti yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri, kelompok pertengahan iaitu yang berpendapatan sederhana ini kadang-kala terlepas pandang. Tak terlebih rasanya mengatakan kelompok ini yang tidak layak menerima bantuan kebajikan atau segala macam kemudahan untuk golongan berpendapatan rendah tetapi tidak pula terlalu kaya sehingga mampu menikmati segala insentif pelepasan cukai yang dinikmati masyarakat perniagaan, tersepit dan terhimpit di tengah-tengah.
Mereka ini yang rata-ratanya kakitangan swasta bergaji RM3,000 ke atas tetapi tidak mencecah RM10,000 menjadi kumpulan yang dilupakan. Mereka ini tidak layak menerima BR1M RM500, tidak layak membeli rumah kos rendah atau sederhana rendah tetapi tidak mampu membeli rumah kos sederhana yang harganya kini tidak kurang RM200,000.
Malangnya, mereka ini ialah kelompok pembayar cukai. Rata-ratanya menjadi penyumbang setia pendapatan cukai kerajaan melalui potongan cukai berjadual (PCB) setiap bulan. Setelah ditolak PCB, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Socso dan Perkeso, hutang kereta serta rumah, baki gaji mereka yang tinggal tidak sebanyak mana.
Kenaikan harga barang sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menyumbang kepada kesempitan hidup mereka. Memandangkan kelompok ini kebanyakannya sudah berkeluarga, perbelanjaan dapur, duit sekolah dan susu anak, yuran tuisyen, tambang bas juga perlu diambil kira. Itu belum ditambah duit minyak dan tol ke tempat kerja.
Nilai wang untuk mereka berbelanja semakin menyusut. Jika dulu dengan RM100, mereka boleh membeli-belah barangan dapur sehingga penuh satu troli, kini mungkin hanya dapat menjinjing beg plastik sebelah tangan sahaja.
Membela
Justeru janji Perdana Menteri untuk membela nasib mereka memang cukup lunak di telinga kelompok ini mendengarnya. Walaupun belum cukup melegakan, sedikit-sebanyak ia memberi harapan kepada golongan berpendapatan sederhana ini untuk mengimpikan insentif-insentif yang bakal menyusul mereka tidak lama lagi.
Sebenarnya banyak cara kerajaan boleh membantu golongan ini. Selain mengawal harga barang keperluan agar tidak dinaikkan oleh peniaga sesuka hati sehingga membebankan mereka, kerajaan boleh menimbang meningkatkan kadar pelepasan cukai pendapatan individu untuk golongan ini.
Bagi menghargai pembayar cukai yang setia, kerajaan boleh memberikan baucer minyak dan barangan, yang pastinya akan dapat digunakan mereka sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara.
Penulis percaya banyak cara yang boleh difikirkan kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana ini.
Penulis juga percaya pihak yang bertanggungjawab menyampaikan keluhan kelompok ini kepada Perdana Menteri mampu memikirkan sekali apa caranya untuk menunaikan janji tersebut.
Apa-apapun penulis ucapkan terima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab ini!
Penulis lega kerana mereka benar-benar bekerja, benar-benar mendengar keluhan rakyat marhaen yang terlepas pandang ini dan menyampaikan apa yang benar ke telinga Perdana Menteri.
Sudah sekian lama kelompok ini mengeluh dan penulis gembira akhirnya keluhan itu didengari!
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang disebut-sebut sebagai ibu pilihan raya - adanya pihak yang berani bercakap benar amat dihargai!
Penulis percaya Perdana Menteri sendiri tidak mahu mendengar khabar yang muluk-muluk. Hakikat sebenar walaupun pahit perlu disampaikan agar yang kelabu tidak dikatakan putih sehingga membawa kealpaan seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu.
Coretan Marhaen
UMNO lakukan semua ini bkn krn nak bela rakyat tapi krn nak pancing undi.
ReplyDelete