KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) berada dalam kedudukan tertinggi dalam hierarki pengurusan sesebuah syarikat. Sesiapa yang dilantik sebagai CEO syarikat bertanggungjawab mengepalai pihak pengurusan dan melaksanakan strategi yang dirangka oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP).
Di Malaysia yang mengguna pakai sistem tadbir urus korporat yang diamalkan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) cenderung ke arah memberi kuasa besar kepada CEO dalam sebarang pelaksanaan keputusan ALP syarikat. Sistem yang diguna pakai banyak bergantung kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai satu pengukuran kewibawaan dan keupayaan CEO dalam melaksanakan tugas-tugasnya.
KPI ini banyak bergantung kepada keuntungan semata-mata. KPI diamalkan untuk semua jenis syarikat termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Namun, KPI yang hanya berdasarkan keuntungan semata-mata boleh memberi implikasi negatif kepada keseluruhan syarikat. Malahan, cara pengukuran ini juga boleh memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara. Lebih-lebih lagi jika ia amat ditekankan dalam GLC. Umum mengetahui, GLC sering kali dikritik kerana tidak menggunakan sepenuhnya keistimewaannya untuk membantu kaum bumiputera dan orang Melayu.
Acapkali kali kita dengar keluh-kesah kaum Bumiputera bahawa GLC tidak membantu mereka sepenuhnya. Keupayaan orang luar lebih diyakini walhal keupayaan "orang dalam" ada dalam banyak keadaan lebih baik daripada keupayaan orang luar. Orang dalam ini lebih mengetahui selok belok operasi syarikat, sedangkan pihak pengurusan atasan yang diketuai oleh CEO lebih berminat mengambil khidmat orang luar.
CEO yang dilantik akan mengambil rakan-rakan mereka dari luar yang kononnya lebih bagus daripada orang dalam itu sendiri. Lebih buruk lagi jika sekiranya CEO yang dilantik juga dari luar yang tidak memahami inspirasi, objektif, misi dan visi GLC. Paling teruk, keupayaan beliau sebelum dilantik sebagai CEO dinilai berdasarkan kejayaan membantu syarikat-syarikat lain walhal apabila dilantik dalam sesebuah GLC beliau tidak memahami selok-belok GLC tersebut.
Sering kali mereka tidak mampu melaksanakan tugasan hakiki mereka lebih baik berbanding orang dalam yang telah berpengalaman luas dalam GLC tersebut.
Maka, keluh kesah akan kedengaran di kalangan para pekerja betapa CEO GLC seolah-olah tidak mahir melaksanakan kerja kerana tidak memahami keseluruhan syarikat. Beliau akan bergantung sepenuhnya pada rakan-rakan beliau yang dibawa dari luar sedangkan mereka ini juga tidak memahami apa yang berlaku dalam GLC dek kerana cetek pengalaman dalam GLC tersebut. Apabila orang dalam yang lebih memahami dan berpengalaman tidak dihargai, apa yang akan terjadi ialah motivasi mereka akan semakin menurun.
Implikasinya, KPI asal iaitu sasaran keuntungan tidak dapat dicapai dengan adanya permasalahan sebegini. Sebab itulah, seelok-eloknya melantik CEO yang benar-benar berkelayakan bukan atas dasar kejayaan yang lepas sahaja tetapi juga berpengalaman luas dalam GLC tersebut.
Itu belum termasuk ada di kalangan CEO yang membuat keputusan tanpa meminta pandangan pihak kesatuan sekerja sedangkan aset terpenting dalam sesebuah syarikat adalah modal insan. Keputusan penting yang dibuat tanpa melibatkan pihak pekerja memberi kesan besar dalam jangka masa panjang.
Para pekerja akan melihat seolah-olah mereka dipinggirkan. Lebih teruk lagi, mereka berasakan kebajikan dan nasib mereka tidak dibela. Ini belum diambil lain-lain pertimbangan seperti kenaikan gaji dan juga pemberian bonus yang mana berlakunya sindrom memilih bulu terutamanya untuk kepentingan diri sendiri dan orangnya sahaja. Apa yang dirisaukan para pekerja tidak berpuas hati dan bangun untuk menyuarakan hak mereka kerana mereka tidak dibayar setimpal dengan usaha mereka.
Jurang perbezaan ganjaran yang amat ketara (gaji dan bonus) di antara pihak pengurusan atasan dan para pekerja bawahan merumitkan lagi keadaan sesebuah GLC.
Tidakkah kesan akhirnya adalah ke atas kaum Bumiputera, rakyat dan negara? Malahan vendor-vendor bumiputera juga akan terima tempiasnya angkara CEO yang dilantik tidak memahami dan menghayati roh untuk membantu kaum bumiputera. Maka, tidak mengejutkan apabila ekuti kaum bumiputera masih lagi ditakuk yang sama selepas 22 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) berakhir.
Maka, yang terpalit nama buruk tidak lain tidak bukan nama baik kerajaan. Yakinilah, CEO GLC dilantik oleh kerajaan, oleh itu, ia membawa imej kerajaan kepada para pekerja dan rakyat. Setiap tindakan positif yang membela nasib kaum bumiputera, para pekerja, rakyat dan negara akan meningkatkan imej kerajaan di mata rakyat, manakala sebarang tindakan negatif yang hanya mementingkan diri sendiri dan rakan-rakan beliau akan mencemarkan nama baik kerajaan selama ini.
Jangan dipandang enteng perkara ini kerana tidak mustahil para pekerja dan rakyat akan menyalahkan kerajaan. Rakyat kini tidak sebagaimana dahulu kerana lebih mementingkan nasib mereka dibela pada setiap masa dan pada masa yang sama mahukan kepuasan dalam mendapatkan perkhidmatan GLC.
Semuanya banyak bergantung kepada keupayaan, kelayakan, kewibawaan dan pengalaman yang bakal, sedang dan akan digunakan oleh CEO GLC. Justeru, jangan sesekali tersilap pilih. Lantiklah mereka yang benar-benar terbaik.
Oleh : Rohami Shafie
No comments:
Post a Comment