BENARKAH, lagi kita ada banyak laman web sosial seperti Twitter dan Facebook, lagi parah ‘penyakit’ kita dapat?
Buka sahaja rangkaian web sosial ini, berapa sangat maklumat yang benar-benar berbentuk ilmiah, maklumat mengenai bidang-bidang tertentu atau pengetahuan am yang kita peroleh? Itu pun kalau niat kita memang mencari maklumat sebegitu.
Lain-lain lebih kepada hal-hal bercakap mengenai diri sendiri dan ada yang gemar melawak merapu untuk sekadar memberi hiburan ringan, ini perkara biasa. Tiada apa masalahnya. Yang ingin saya sentuh di sini adalah perihal yang sengaja memalukan diri sendiri serta hilangnya pertimbangan, kawalan diri dan budi bahasa dalam menggunakan kemudahan ini.
Sedar atau tidak, Twitter dan Facebook (FB) kini adalah saluran paling popular untuk melancarkan ‘perang’ terhadap pihak tertentu secara terang-terangan. Tidak kira ahli politik, kawan, bekas kawan, kekasih, suami atau isteri.
Tanpa rasa segan silu atau berselindung semuanya diungkit di alam maya, semua orang dapat membacanya secara langsung.
Dan apabila si pelakunya ialah seorang yang dikenali ramai, artis atau pemimpin masyarakat contohnya, ia akan mengundang perhatian berjuta-juta orang yang menggunakan laman tersebut.
Yang hairannya, bila pihak wartawan menanyakan dan menulis mengenainya, tahu pula pihak terbabit memberi komen tidak mahu memanjangkannya, walhal semuanya sudah panjang lebar dihamburkan di laman web sosial berkenaan.
Kita tolak tepi mengenai hak untuk berbuat demikian. Setiap orang yang membuka laman tersebut berhak untuk menyatakan rasa, pendirian atau pendapat. Kemudahan ini pun diwujudkan untuk berkomunikasi di alam maya dengan rakan-rakan setempat atau yang berada di seluruh dunia.
Memanglah, masing-masing punya Twitter atau FB, masing-masing punya hak menulis apa-apa, tetapi sedarkah kita bukan berseorangan di alam maya sana. Ramai yang jadi tukang baca dan melihatnya. Ada yang pada awalnya tak ada niat atau tak berminat membacanya tetapi apabila terpandang akhirnya terdorong untuk membacanya juga.
Itu belum masuk lagi bab-bab remaja atau budak-budak sekolah yang turut mempunyai Twitter dan FB yang terbaca maki hamun sebegitu. Tentunya ia memberi contoh yang tidak baik kepada mereka. Lebih-lebih lagi yang memaki hamun itu ialah artis pujaan atau idola mereka.
Jika budak-budak sekolah bergaduh sesama kawan-kawan mereka di laman sosial begitu, kita boleh faham, mereka itu belum matang dalam berfikir dan ayat-ayat yang digunakan kadang-kala pun kita boleh tertawa sendiri, memang nampak ‘comel’. Tetapi kalau orang tua yang bergaduh, dengan menggunakan perkataan kesat, menunjukkan rasa tidak puas hati dengan emosi yang melampau, anda sendiri tahulah macam mana kelihatannya.
Menggunakan laman web sosial sebagai saluran melepaskan geram, mendedahkan hal-hal peribadi dan melancarkan peperangan dengan pasangan dan kawan-kawan dengan penggunaan bahasa lucah, kesat dan kasar, adakah itu tindakan orang yang cerdik?
Tidakkah mereka sedar bahawa melalui tindakan yang emosional sebegitu, akan membuatkan orang ramai dengan mudah dapat menilai tahap IQ mereka?
Kita pun hairan dengan sikap segelintir kita, yang merasa diri cukup hebat bila dapat memaki-hamun individu tertentu. Mereka merasakan sungguh ‘cool’ dan satu kepuasan apabila berbuat demikian, walhal ia hanya menunjukkan siapa dirinya yang sebenar.
Ini juga satu ‘penyakit’ dalam masyarakat, apabila cuba mengangkat amalan memaki hamun dan memfitnah itu satu budaya. Dan boleh jadi tunggang-langganglah dunia, sekiranya orang yang mengeluarkan kata-kata kesat itu diangkat sebagai ‘hero’ atau hanya mungkin dia sendiri menganggap dirinya hero.
Berbalik kepada laman web sosial, mengapa ingin menjadikan diri mangsa kepada teknologi komunikasi ini? Sedangkan perkara-perkara peribadi seperti ini boleh dibincang dan diselesaikan dengan individu terbabit secara bersemuka, atau kalau lebih serius membawanya ke mahkamah.
Umpama segelintir rakyat negara ini yang hilang pertimbangan dengan mengetepikan kesopanan dan budi bahasa apabila memandu kenderaan, tetapi apabila di luar kenderaan dia okey, begitulah sikap sesetengah daripada kita apabila berhadapan dengan komputer masing-masing.
Kita ada kemudahan berkomunikasi yang canggih-canggih, di kebanyakan tempat kita sudah boleh mengakses kemudahan ini. Tetapi yang menyalahgunakan kemudahan tersebut segelintir kita juga. Menggunakan ia untuk tempat melepas geram.
Bayangkan, kalau kita ada banyak lagi rangkaian laman web sosial seperti ini. Dan laman seperti ini akan terus wujud dan diberi penambahbaikan setiap masa. Sampai bilakah kita akan terus membaca perkara-perkara yang ‘merapu dan meraban’ seperti ini?
Oleh : Fauziah Arof
No comments:
Post a Comment