Wednesday, March 21, 2012

Bila Bohong Dibenarkan

RENCANA ini dibuat bukan untuk mengatakan bahawa berbohong adalah OK. Namun sesekali untuk tidak bercakap benar atau 'berbohong sunat' mungkin sesuatu yang sihat dalam hal berkaitan memelihara sesuatu hubungan.

Memang tidak dinafikan bahawa salah satu asas penting dalam sesuatu hubungan itu bergantung kepada keupayaan untuk mempercayai mereka yang sangat dekat dengan hati kita.

Tetapi ada beberapa alasan atau pengecualian mengapa 'bercakap benar dan tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka', mungkin tidak boleh digunapakai.

Di bawah adalah beberapa contoh apabila 'bohong sunat' dibenarkan dalam perhubungan.

Menjaga perasaan orang
Iaitu Apabila kebenaran boleh menyebabkan seseorang yang anda sayangi mengalirkan air mata dan membuatkan mereka berasa kecewa.

Sebagai contoh dengan mengatakan, "Saya suka gaya rambut baru awak yang sangat pendek," sedangkan hakikatnya ia kelihatan hodoh.

Contoh klasik lain, iaitu apabila wanita mengheret teman lelakinya membeli belah. Dia keluar dari bilik acu pakaian dengan pakaian yang langsung tidak kena dengan dirinya, tetapi teman lelakinya berkata " Ya...awak nampak cantik."

Lelaki tersebut berbohong kerana tidak mahu teman wanitanya marah dan mungkin juga tidak mahu sesi membeli-belah itu berlarutan lama.

Waktu itu kebenaran mungkin menjadi satu senjata yang menyakitkan.

Kita mungkin tidak perlu bercakap yang sebenarnya jika kebenaran itu hanya membuatkan orang terluka.


Berbohong supaya tidak menyusahkan orang lain atau membuatkan orang lain berasa lega
Contohnya, "Oh...tak susah pun" ketika tunang anda meminta maaf kerana terpaksa meminta anda menghantarnya ke tempat kerja kerana keretanya rosak sedangkan anda terlewat untuk menghadiri mesyuarat penting.

Memuji seseorang tetapi mungkin agak sedikit berlebih-lebih.
Sebagai contoh, "Kek ini yang paling sedap yang pernah saya rasa," juga boleh diterima.

Berbohong sedikit mungkin boleh membuatkan orang lebih mudah untuk serasi dengan anda dan dalam kebanyakan kes tidak memudaratkan.

Berbohong untuk mengelak atau menamatkan perbalahan
Ketika bertikam lidah tentang sesuatu isu, anda mungkin mengambil langkah mengalah dan bersetuju dengan pendapat mereka kerana tidak mahu menghangatkan lagi suasana, biarpun sebenarnya pendapat anda yang betul.

Untuk mengelak konflik keluarga
Bermuka manis dan mesra ketika berada bersama keluarga mentua walaupun anda tahun keluarga mentua tidak menyenangi anda. Anda sanggup berbuat demikian demi memastikan keluarga terus tenang dan gembira .
Perbezaan besar antara 'bohong sunat' dan berbohong ialah, berbohong untuk melindungi diri sendiri, sedangkan bohong sunat adalah untuk melindungi orang lain.

Memang ada ketikanya sesuatu hubungan itu boleh menjadi rumit dan mengelirukan.

Intim@utusan malaysia

No comments:

Post a Comment