Tuesday, February 8, 2022

PRN Johor: BN Digesa Letak Calon Ikut Majoriti Kaum Pengundi, Bukan Kerusi Tradisi

PETALING JAYA: Seorang Ketua Umno Bahagian menggesa Barisan Nasional (BN) lebih terbuka dalam pemilihan calon untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor dengan mengikut selera pengundi berdasarkan majoriti kaum di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Jefridin Atan berharap BN akan melakukan pembaharuan dalam pemilihan calon untuk PRN Johor dengan tidak mengambil kira kerusi tradisi sebagai kriteria utama yang menurutnya tidak lagi relevan susulan perubahan kehendak dan keperluan pengundi.

“Istilah kerusi tradisi sama ada bagi Umno, MCA dan MIC tidak lagi relevan digunakan oleh pucuk pimpinan tertinggi BN dalam pembahagian kerusi pada PRN Johor.

“Jika majoriti di sesuatu kawasan DUN itu orang Melayu, sudah tentu kena akur wakil rakyat di situ mestilah daripada Umno, begitu juga sekiranya kawasan itu majoritinya masyarakat Cina, MCA yang perlu bertanding, janganlah sesekali diletak calon Melayu.

“Kehendak rakyat perlu diberikan keutamaan, kita sudah tidak boleh terima parti komponen yang rakyat sendiri sudah tidak selesa dengan mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Jefridin berkata, pimpinan tertinggi BN seharusnya tidak lagi perlu terikat isu kerusi tradisi ketika membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi untuk PRN Johor.

“Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan presiden parti komponen perlu fikirkan perkara ini. Jika kehendak rakyat tidak diikuti, saya risau rakyat akan beralih sokongan kerana ada banyak lagi parti politik yang boleh dipilih.”

Beliau juga berharap Umno Bahagian Tanjung Piai diberikan dua kerusi, sama ada DUN mahupun Parlimen bagi PRN Johor atau pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Umno Bahagian Tanjung Piai cuma mempunyai satu kerusi DUN di Kukup. Manakala kerusi DUN Pekan Nanas dan Parlimen Tanjung Piai adalah kerusi MCA.

“Masyarakat Melayu kini menjadi majoriti di Pekan Nanas apabila merekodkan peningkatan 57% manakala di Kukup meningkat 60% dan perlu dipandang serius oleh pucuk pimpinan BN sewaktu membuat pertimbangan sebelum sebarang keputusan berhubung parti dan calon diputuskan.” - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment