Saturday, February 12, 2022

Mencari Suvarna Bhumi

BUKU terbaharu saya berjudul Suvarna Bhumi: Identiti dan Jati Diri. Ia setebal 510 halaman dan memuatkan 74 esei merangkumi pelbagai topik berkaitan masyarakat majmuk di Malaysia. Memandangkan judulnya Suvarna Bhumi, pasti pembaca tertanya-tanya sama ada buku ini turut merungkai lokasi sebenar kawasan bernama Suvarnabhumi yang pernah dibaca dalam karya epik dan buku sejarah?

Malah, sewaktu saya sedang giat mempromosi kulit buku ini di media sosial, seorang individu dari Indonesia mengirim mesej dan bertanya sama ada saya menghuraikan secara tepat sejarah Sumatera dalam tulisan saya. Pertanyaan ini agak berasas kerana gelaran Golden Chersonese (Semenanjung Emas), Suvarnadvipa (Kepulauan Emas), Suvarnapura (Bandar Emas) dan Suvarnabhumi (Tanah Emas) pernah digunakan apabila merujuk kepada suatu kawasan yang masih tidak dapat dipastikan lokasinya.

Ada mengatakan gelaran itu merujuk kepada Kerajaan Funan di Kemboja, Suwannaphum (Thailand) dan Shonar Bangla (Bangladesh). Malah, ada mengatakan ia merujuk kepada Myanmar, Sumatera, Jawa, Filipina, Semenanjung Tanah Melayu atau keseluruhan Nusantara.

Namun begitu, esei-esei dalam buku terbaharu saya tidak bertujuan mengenal pasti lokasi Suvarnabhumi. Sebaliknya, sebagaimana menerusi buku Malaiur Manikam (2015) dan Mandala Bicara (2016), saya mahu membawa pembaca masuk ke dalam diri untuk mengenal hal-hal berkaitan identiti dan jati diri yang mungkin semakin dilupai.

Dalam pada itu, saya sendiri memang amat berminat untuk meneruskan pencarian maklumat berkaitan sejarah dan kisah berhubung kawasan yang digelar Suvarnabhumi.

Malangnya, keseluruhan koleksi bahan rujukan di perpustakaan saya musnah dalam banjir besar yang melanda Taman Sri Muda pada 18 Disember lalu.

Maka, saya beralih kepada internet untuk mencari maklumat berkaitan Suvarnabhumi. Hasil carian pasti membawa kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Thailand.

Untuk rekod, suvarna (emas) dan bhumi (tanah) adalah istilah Sanskrit dan Pali. Buku Suvarnabhumi: The Golden Land (2019) terbitan Agensi Pembangunan Geo-Maklumat dan Teknologi Angkasa di Thailand boleh membantu menambah pengetahuan. Buku setebal 284 halaman ini memuatkan sembilan esei bahasa Inggeris dan tiga esei bahasa Thai oleh lebih 15 pakar sains dan arkeologi dari Thailand dan luar negara.

Pada bahagian prakata, dinyatakan pelbagai penemuan dan bukti baharu diyakini mampu memberi inspirasi dan mengembangkan tamadun Suvarnabhumi di Thailand.

Namun begitu, lokasi sebenar tempat itu masih tidak dapat ditentukan secara tuntas.

Dalam buku Suvarnabhumi: The Golden Land, Ian Carvel Glover menegaskan, hakikat kawasan yang dimaksudkan tidak benar-benar wujud dalam realiti. Sebaliknya, Suvarnabhumi merujuk kepada suatu lingkungan kawasan ke arah timur dari benua India di mana para pedagang, pelayar serta sami Hindu dan Buddha pergi mencari rezeki atau menyebarkan ajaran mereka pada masa dahulu.

PULAU EMAS
Namun begitu, pada penelitian tokoh kajian purba itu, terdapat bukti arkeologi di beberapa kawasan seperti Khao Sam Kaeo (Thailand), Kuala Selinsing (Malaysia) dan Giong Ca Vo (Vietnam) yang menunjukkan memang wujud hubungan perdagangan dan penempatan masyarakat majmuk sebagaimana digambarkan dalam teks klasik seperti Ramayana, Supparaka Jataka, Mahajanaka Jataka, Dipavamsa, Mahavamsa, Mahakarma Vibhanga dan Sasanavamsa.

Kajian oleh Suchandra Gosh, Himanshu Prabha Ray, Brigitte Borel dan beberapa tokoh lain yang diterbitkan dalam buku berkenaan mengesahkan hubungan antara India, China dan Asia Tenggara.

Kertas kerja oleh Xiong Zhaoming dan Lin Ying juga amat menarik kerana meneliti kewujudan Suvarnabhumi berdasarkan rekod bertulis dari China. Menurut mereka, nama yang lebih lazim digunakan pada zaman dahulu di China ialah Lautan Selatan apabila merujuk kepada Asia Tenggara. Nama Suvarnadvipa (Jinzhou, pulau emas) pula merujuk kepada Sumatera.

Rekod bertulis serta bahan arkeologi dari zaman Dinasti Han dan Dinasti Tang di China menunjukkan wujud hubungan perdagangan dan diplomatik dengan India dan Suvarnabhumi. Turut dicatatkan tentang kunjungan Yi Jing ke Srivijaya (Suvarnadvipa, Sumatera) dalam perjalanan ke India untuk mendalami ajaran Buddha.

Srisak Vallibhodom menerusi penelitiannya pula merumuskan, Suvarnabhumi merangkumi kawasan dari Sungai Chao Phraya di Thailand hingga ke Johor di hujung Tanah Melayu.

Pandangan hampir sama dikongsi Phuthorn Bhumadhon dalam kertas kerjanya. Namun begitu, beliau menegaskan, kewujudan Suvarnabhumi tidak boleh dikaitkan secara langsung kepada Raja Asoka dari Dinasti Maurya.

Peter Skilling turut mengakui Suvarnabhumi masih kekal sebagai teka-teki yang mencabar intelek para pengkaji dan sejarawan. Katanya, tidak mustahil nama itu bukan merujuk kepada satu tempat khusus. Sebaliknya, digunakan secara kolektif untuk wilayah yang terletak di arah timur India termasuk Myanmar (Burma), Thailand (Siam), Sumatera, Tanah Melayu (Malaya) serta keseluruhan Kepulauan Melayu.

Sekiranya buku Suvarna Bhumi tulisan saya mengkhusus kepada kisah berkaitan Suvarnabhumi, pasti hal-hal di atas dibicarakan secara lebih mendalam. Akan tetapi, kumpulan esei saya mengangkat pelbagai topik berkaitan identiti dan jati diri yang lebih dekat dengan jiwa masyarakat majmuk di Malaysia.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

No comments:

Post a Comment