Friday, February 11, 2022

Jangan Sampai Rakyat Benci

SEJAK kebelakangan ini, kita sering membaca berita pemimpin politik Melayu saling mencerca antara satu sama lain.

Sebagai seorang Melayu, saya amat sedih dengan apa yang berlaku. Saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik. Apa yang saya harapkan adalah perpaduan orang Melayu dengan berpegang kepada pesanan orang tua-tua iaitu kuat muafakat membawa berkat.

Dalam hal ini, saya ingin menambah iaitu kuat khianat, membawa akibat. Akibat yang boleh menimpa orang Melayu ialah keruntuhan dan kehilangan segala-galanya.

Saya amat sedih sekali apabila melihat semakin banyak parti politik Melayu ditubuhkan. Penambahan kuantiti parti politik Melayu tidak akan menjamin ketinggian kualiti bangsa, sebaliknya tidak mustahil akan membawa orang Melayu merempat di negara sendiri.

Kita tidak boleh pandang remeh apa yang berlaku ini. Dengan mengamalkan demokrasi berparlimen, ketentuan kuasa pemerintahan terletak kepada majoriti yang diperoleh oleh sesebuah parti politik.

Kalau sudah begitu banyak parti politik ditubuhkan oleh orang Melayu, memang sukar untuk mendapatkan keputusan majoriti jika diadakan pilihan raya. Ini disebabkan undi Melayu akan berpecah. Kesannya, tiada siapa yang boleh memerintah. Ketika itu penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Sekali lagi ingin saya ingatkan kepada pemimpin parti-parti politik Melayu, jangan menganggap kemampuan mereka mencaci dan mencerca orang lain akan meletakkan mereka sebagai jaguh. Sebaliknya mereka harus menerima hakikat, orang yang mempunyai perangai sedemikian akan lebih dibenci rakyat.

Jangan ingat apabila puas mereka mengutuk pemimpin dari parti lain, rakyat akan mengundi mereka. Saya yakin orang yang menjadi mangsa cacian akan lebih mendapat undian. Biarlah rakyat yang membuat penilaian dalam sesuatu pilihan raya yang diadakan.

Justeru, pandai-pandailah seseorang pemimpin parti politik membawa diri. Jangan sampai rakyat membenci sehingga akhirnya akan hilang undi.

RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis

No comments:

Post a Comment