Sunday, February 27, 2022

Batal Pengharaman Buku ‘Gay Is Okay!’ Canggah Nilai Moral, Ketimuran

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan keputusan mahkamah membatalkan pengharaman buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ sebagai bercanggah dengan nilai-nilai moral dan ketimuran di Malaysia, sebagaimana yang difahami melalui Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, PEMBELA turut melihat kes itu sebagai sebahagian daripada rentetan pelbagai kes lain yang menjadi kegagalan kerajaan menjaga kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan.

Sehubungan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya mendesak kuasa eksekutif dan legislatif menggunakan segala ruang yang ada bagi memperbetulkan kelompongan serta kelemahan pada sistem kehakiman negara.

“PEMBELA akan memobilasi jentera melalui rangkaian NGO Islam di seluruh Malaysia untuk menjalankan langkah-langkah strategik termasuk menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Akhir sekali, PEMBELA mengajak seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam untuk menyatakan ketidaksetujuan terhadap segala yang berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penulis dan penerbit buku berkenaan untuk membatalkan perintah pengharaman Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika membaca keputusannya dilaporkan berkata, kandungan buku itu tidak membuktikan fakta atau asas undang-undang yang menyebabkan KDN mengharamkannya.

Jelasnya, KDN ketika itu telah mengeluarkan arahan pengharaman mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.

Bagaimanapun, Noorin berkata, setelah meneliti keseluruhan buku itu, kandungan berkaitan homoseksual buku berkenaan hanya daripada sudut perspektif agama Kristian.

Sebelum ini, KDN mengeluarkan perintah pengharaman pada 27 November 2020 terhadap buku yang ditulis Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tujuh tahun sejak buku itu diterbitkan, ia masih dianggap sebagai promosi homoseksual yang masih boleh menjejaskan umum. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment