Friday, February 11, 2022

Jawi Terbalik Garit Jati Diri Melayu

SKRIP Jawi pada papan tanda di sebuah kawasan perumahan yang didapati ditulis terbalik, iaitu kiri ke kanan dan bukannya kanan ke kiri sebagai kelazimannya bukan sahaja sekadar persoalan kesalahan bahasa. Sesungguhnya ia lebih daripada itu kerana dilakukan sendiri oleh penutur jati bahasa Melayu.

Walaupun pihak bertanggungjawab yang bukan sahaja diterajui etnik Melayu sendiri tetapi sebahagian besar keahliannya terdiri daripadanya mengakui kesalahan itu dengan hati terbuka, ia sebenarnya menyangkut persoalan yang lebih serius termasuklah jati diri etnik Melayu.

Ini kerana tulisan Jawi bukan sahaja ciri unik lagi istimewa kepada etnik Melayu, lebih penting daripada itu ia ikut merujuk kepada keteguhan hati dan kekentalan jiwa mereka.

Meskipun kesalahan itu dilakukan oleh hanya sebilangan kecil etnik Melayu, ia sudah cukup untuk menafikan seluruh sejarah peradaban Melayu yang gemilang khususnya yang berlaku menerusi tulisan Jawi. Oleh itu, kejadian ini harus diinsafi etnik Melayu agar tidak sesekali berulang lagi dalam sejarah perkembangan etnik mereka.

Ini kerana ia bukan setakat memalukan, ia menyedihkan sekali kerana tulisan Jawi sebagai antara teras dan lambang keperibadian etnik Melayu yang penting telah tergarit.

Bukan itu sahaja, kesalahan ini ikut mencalarkan citra negara. Ini kerana lambang dan proses sosiobudaya Melayu merupakan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Tidak dapat dinafikan kini ramai etnik Melayu sendiri tidak mahir dalam tullisan Jawi. Dengan ini, kecekapan untuk menulis dan membacanya adalah terhad sekali. Namun, ia tidak boleh sesekali diambil begitu enteng sehingga berlaku kesalahan yang tidak boleh dimaafkan itu. Ini kerana kesalahan itu berbentuk ungkapan bertulis.

Dengan ini, ia seharusnya lebih sempurna kerana boleh dibuat pertimbangan, pembetulan dan penyemakan. Dalam hal ini, ia tidak sama dengan ungkapan lisan yang spontan sifatnya selain serentak pula untuk menyampaikan sesuatu gagasan. Justeru, ia lebih mudah untuk kesilapan berlaku.

Terdapat perbezaan ketara antara kesilapan dan kesalahan dalam konteks berbahasa. Kesilapan merujuk kepada kekhilafan semasa berbahasa, antaranya tersasul semasa bercakap dan ralat mengeja ketika menulis. Kesalahan pula ialah pelanggaran peraturan sedia ada sehingga tidak dapat diterima sebagai betul.

Bahasa tulisan dikaitkan dengan pendidikan dan penggunaan oleh mereka yang berpendidikan. Sehubungan ini, ia harus bersifat bukan sahaja baik dan betul, ia juga hendaklah berperaturan yakni tidak melanggar apatah lagi mencabul nahu dan kod bahasa berkenaan.

BESTARI
Dalam konteks Jawi yang ditulis terbalik itu, sudah tentu pihak terlibat itu langsung tidak ada pengetahuan, apatah lagi pemahaman bestari tentang sistem tulisan Jawi.

Namun begitu, ia tidak boleh sesekali bersifat hentam kromo, iaitu melakukan sesuatu tanpa berfikir, tidak diteliti dan tidak bersungguh-sungguh pula. Sepatutnya dalam keadaan tidak mengetahui dan memahami ini, ia hendaklah dirujuk kepada pihak yang lebih arif.

Persoalannya di sini, pihak yang terbabit itu langsung tidak berfikir untuk bertanya kepada pihak yang arif untuk memperoleh kepastian. Sehubungan ini, tidak keterlaluan untuk dikatakan pihak terbabit itu amat jahil tentang tulisan Jawi yang mesti ditulis dari kanan ke kiri sahaja sebagai satu-satu peraturannya.

Seperkara penting lagi serius tentang kesalahan yang berlaku itu, yakni Jawi ditulis dari kiri ke kanan ialah tidakkah kebiasaan etnik Melayu sebagai umat Islam dengan al-Quran, dengan cepat menyedarkan mereka bahawa itu satu kesalahan kerana kodnya tidak begitu sifatnya? Oleh itu, ia sama sekali tidak boleh ditulis dari kiri ke kanan. Peraturan ini sepatutnya cepat mengingatkan mereka bahawa ia kesalahan, malah yang besar pula.

Sehubungan ini, kesalahan pada papan tanda itu sebenarnya bukan semata-mata hal bahasa Melayu yang hanya menyangkut skrip Jawi. Sebenarnya ia berkaitan dengan banyak ehwal lain. Antara yang terpenting ialah jati diri etnik Melayu.

Dalam hal ini, bahasa Melayu dalam bentuk skrip Jawi yang sepatutnya ikut menjadi keperibadian etnik Melayu bukan sahaja tidak lagi dapat mencerminkan unsur kehidupan lahiriahnya yang utuh. Lebih teruk lagi, tulisan Jawi sebagai penampilan etnik Melayu terluluh dengan kesalahan itu.

Jati diri, khususnya dari sisi perwatakan sejati etnik Melayu kini didapati banyak bergantung kepada budaya lain. Penulisan skrip Jawi dari kiri ke kanan adalah antaranya, iaitu mahu menjadi seperti budaya Barat khususnya sistem tulisan Rumi. Kebergantungan budaya ini jika tidak dibendung dengan baik akan mencairkan, malah menghilangkan jati diri etnik Melayu dalam waktu yang singkat sahaja.

Oleh itu, etnik Melayu bukan sahaja hendaklah sedar tetapi insaf bahawa segala apa yang asal pada budaya mereka tidak boleh sesekali secara sewenang-wenangnya digantikan dengan unsur budaya lain. Sehubungan ini, etnik Melayu hendaklah selalu berasa bangga, sayang dan setia kepada warisan budaya mereka sendiri. Lebih penting lagi ia hendaklah dizahirkan dengan penuh kecekalan selain kehormatan pada setiap masa dan di mana-mana jua.

Oleh : PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

No comments:

Post a Comment