MCA sudah dua kali diberikan peluang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas tetapi tewas dan kini sampai masanya UMNO pula diberikan bertanding disitu.
UMNO Bahagian Tanjung Piai menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi tradisi MCA tersebut dan tidak salah sekiranya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mereka diberikan laluan untuk bertanding disitu, kata Ketuanya Senator Datuk Jefridin Atan.
“Memandangkan telah dua kali calon daripada parti komponen gagal mempertahankan DUN Pekan Nanas pada Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14, wajarlah peluang diberikan kepada UMNO pada kali ini,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Beliau mempertahankan gesaan tersebut tidak bermakna UMNO tamak untuk merampas kerusi tradisi rakan komponennya tetapi sewajarnya kali ini mereka diberikan peluang untuk melawan calon DAP disitu.
“Ini bukan soal tamak tetapi UMNO perlu diberikan kesempatan untuk membuktikan keupayaannya bagi mengambil alih kerusi DUN Pekan Nanas yang kini dikuasai oleh DAP,” katanya lagi.
Menurut beliau, dengan majoriti pengundi Melayu kira-kira 60 peratus di DUN Pekan Nanas, peluang seharusnya diberikan kepada situasi semasa dan tidak bergantung kepada kerusi tradisi semata-mata.
Jefridin juga menambah, memandangkan PRN Johor telah menarik minat parti-parti baru termasuk Parti Warisan yang menyatakan hasrat bertanding di kerusi itu, maka wajar perkara itu dipertimbang.
“Selain mempertahankan kerusi DUN Kukup, jentera pilihan raya BN juga perlu memberikan perhatian kepada kerusi DUN Pekan Nanas agar tidak terlepas lagi pada kali ini,” katanya.
Katanya, sekiranya seseorang itu dipilih menjadi calon, mereka bukan mewakili diri sendiri tetapi mewakili parti Barisan Nasional (BN) dan seharusnya usaha perlu dilakukan bagi memenangi kerusi yang ditandingi itu. - Agendadaily.com
No comments:
Post a Comment