Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan yang terlibat dalam industri ini kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerja dalam sektor perkhidmatan selepas jualan khususnya mekanik.
Saya melihat punca masalah ini berlaku apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan banyak perniagaan ditutup termasuk pusat servis dan bengkel membaiki kenderaan.
Keadaan ini memaksa pekerja dalam industri itu mencari kerja lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kerja yang paling mudah dicari ketika itu adalah bekerja sendiri dalam sektor p-hailing (penghantaran makanan) dan e-hailing (menempah pengangkutan awam secara dalam talian).
Apabila PKP ditamatkan dan digantikan dengan Pelan Pemulihan Negara, banyak sektor perniagaan dibuka semula termasuk automotif.
Bagaimanapun, mereka yang sebelum ini bekerja dalam sektor automotif sudah selesa dengan pekerjaan p-hailing dan e-hailing dari segi masa kerja yang lebih fleksibel.
Begitu juga belia lulusan pusat kemahiran lebih berminat menjadi penghantar makanan daripada bekerja di bengkel kenderaan.
Mungkin sebagai pekerja kolar biru, gaji yang ditawarkan hanya kira-kira RM1,500 berbanding pendapatan sebagai penghantar makanan yang mungkin lebih lumayan bagi mereka.
Saya boleh sahaja ‘memancing’ pekerja dari pusat servis milik rakan-rakan lain dengan menawarkan gaji lebih tinggi. Namun, adakah tindakan ini sihat dan dapat menyelesaikan masalah dalam jangka panjang?
Atau sediakah masyarakat menerima keadaan sekiranya mereka yang menyenggara dan membaiki kenderaan milik kita pada masa depan terdiri daripada pekerja asing dari Bangladesh, Nepal atau Pakistan?
Puncak Alam, Selangor
No comments:
Post a Comment