Saturday, February 19, 2022

AEON Naikkan Gaji Minimum Pekerja Gred G Kepada RM1,500

PETALING JAYA: AEON CO. (M) Bhd. dan AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON Malaysia) mengumumkan kenaikan gaji minimum para pekerja Gred G daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.

Menurut AEON Malaysia, jumlah itu merupakan gaji pokok yang belum termasuk elaun atau insentif lain.

Jelasnya, syarikat sentiasa mengutamakan kebajikan para pekerja dan menyambut baik saranan Kementerian Sumber Manusia dengan tarikh berkuat kuasa gaji minimum adalah lebih awal dari tarikh yang disyorkan oleh pihak kerajaan iaitu sehingga hujung 2022.

Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengarah Komunikasi Korporat AEON Malaysia, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi berkata, syarikat amat bersyukur kerana dapat melaksanakan gaji minimum baharu kepada para pekerja Gred G.

“Ia selari dengan inisiatif kelestarian AEON Sayap Bagimu yang berobjektifkan untuk memberi peluang, dorongan serta sokongan kepada para pemegang taruh khususnya mereka yang memerlukan.

“Keputusan yang diambil adalah berlandaskan kepada keprihatinan kami terhadap kebajikan mereka bagi membantu meri­ngankan kos kehidupan yang dihadapi serta mendukung saranan oleh pihak Kerajaan yang kami sambut baik justeru melaksanakannya secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, kali terakhir gaji minimum yang dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan ketika pembentangan Bajet 2020.

Kasuma Satria berkata, inisiatif AEON melaksanakan kenaikan gaji minimum selaras dengan usaha memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 8) di mana fokusnya ialah menyediakan pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi.

“Ia mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, inklusif dan mampan serta menyediakan pekerjaan yang sesuai untuk semua,” katanya.

Beliau berkata, AEON Malaysia disokong oleh lebih kurang 13,000 pekerja di seluruh negara daripada pelbagai gred.

“Dikenali sebagai AEON Warriors, mereka merupakan aset syarikat yang paling bernilai. Kebajikan dan kelangsungan kehidupan mereka merupakan keutamaan kami.

“Melalui AEON Warriors, kami akan terus melaksanakan inovasi runcit baharu untuk kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa dan yang paling penting, bagi kemudahan pelanggan. Kami berdiri teguh dan kekal bersatu memainkan peranan dalam menjana ekonomi negara,” tambah beliau. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment