Jika lokasi berdekatan pusat bandar, rumah bersaiz besar dan ada halaman menjadi pilihan, jawabnya hanya yang benar-benar bergaji besar atau ahli perniagaan berjaya yang mampu memilikinya.
Jika mahu juga membeli rumah dalam kawasan bandar, yang ada hanyalah kondominium yang harganya juga boleh tahan tinggi tetapi saiznya tidaklah begitu besar.
Harga tanah yang tinggi di kawasan bandar menjadi alasan pemaju terpaksa menjual rumah pada harga tinggi dan mereka juga tidak berminat dengan rumah mampu milik atau lebih murah kerana silap percaturan, mereka mengalami kerugian.
Setakat ini Perbadanan PR1MA Malaysia yang ditubuh di bawah Akta 739 Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia 2012 (Akta PR1MA 2012) yang dapat menawarkan rumah mampu milik di kawasan bandar pada harga antara RM100,000 hingga RM400,000 mengikut lokasi dan saiz rumah.
Itupun rumah yang dibina adalah untuk mereka yang berpendapatan pertengahan iaitu antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan.
Bagaimana pula dengan mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000 atau yang RM2,500 tetapi komitmen bulanannya yang tinggi atau cukup-cukup makan untuk memiliki rumah sendiri ketika tiada lagi rumah di bawah RM100,000 dibina di kawasan bandar.
Kalau soal harga tanah dan pelbagai kos lain di kawasan bandar sukar untuk dikompromi, maka di sinilah kerajaan negeri terutamanya patut memainkan peranan mereka. Jika tidak boleh dibina rumah mampu milik di kawasan bandar atas perkiraan tidak menguntungkan, binalah di kawasan pinggir bandar.
Dulu-dulu, kerajaan negeri menerusi perbadanan ekonomi aktif membina rumah murah dan kos sederhana untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri. Selain kawasan bandar, rumah itu juga dibina di kawasan yang dulunya jauh dari pusat bandar. Namun yang dianggap jauh itu kini sudah menjadi pinggir bandar dan pesat membangun.
Malangnya hari ini, keadaan itu seperti sudah tidak berlaku lagi. Perbadanan ekonomi negeri nampaknya lebih berminat membuat duit dan membina rumah yang pada mereka dijual pada harga mampu milik iaitu melebihi RM400,000. -UTUSAN
No comments:
Post a Comment