Ada yang menjawab dalam ruangan komen di Utusan Online – Tukarlah beratus kali kerajaan, haram nak bagi rakyat keluar dari zon kemiskinan. Ada juga mempersoalkan kenapa perlu makan gaji
Sudahlah gaji rendah kena kerja lebih masa pula dan ada yang jawab sampai Abang Jamil mati! (Ini dialog cerita P.Ramlee).
Kelmarin pula Utusan Malaysia di muka depan akhbar itu memaparkan berita bertajuk – Majikan Malaysia Kedekut. Majikan Malaysia disifatkan paling kedekut di Asia Tenggara dari segi bayaran upah apabila hanya membelanjakan 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk gaji. Angka itu terendah di rantau ini berbanding Singapura (40 peratus), Indonesia (84 peratus) dan Filipina (76 peratus).
Menyifatkan peratusan bayaran rendah itu bagaikan tidak ‘masuk akal’, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata, rata-rata majikan di negara ini mampu bayar lebih daripada gaji minimum RM1,200.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, situasi sekarang bukan masa sesuai meningkatkan kos operasi dan cadangan gaji minimum baru iaitu RM1,500 kerana belum mencapai kestabilan ekoran kejutan ekonomi akibat Covid-19 dan kesan buruk banjir besar.
Tetapi yang peliknya, beberapa hari lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu,KDNK Malaysia meningkat sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 202 (S4 2021), berbanding penguncupan sebanyak 3.4 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
Perkembangan itu, kata beliau, jelas menunjukkan Malaysia berada di landasan yang betul dengan pertumbuhan KDNK bulanan kembali positif sepanjang S4 2021 walaupun berdepan dengan ancaman varian Omicron serta banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri pada Disember tahun lalu.
Iyalah, bila cerita pasal gaji ini ramai yang ada macam-macam pendapat dan cerita. Yang kesatuan pekerja mahu gaji setimpal manakala kesatuan majikan pula asyik memikirkan pasal bajet. Yang tersepitnya rakyat yang bergaji rendah jugalah.
Baru-baru ini seorang kawan menghantar mesej WhatsApp kepada saya – iklan kerja Ketua Pengawal keselamatan. “Sudah kenapa? Hang suruh aku mohon ke?” tanya saya. Bukan, katanya, dia mahu saya lihat gaji pokok untuk Eksekutif Keselamatan itu, RM2,750 manakala Ketua Pengawal Keselamatan RM2,650 di Kuala Lumpur.
Kata kawan saya itu, dia yang tergolong dalam pekerja profesional yang ada ijazah pun dibayar di bawah gaji itu.
“Macam ini tak perlu belajar tinggi. Jadi pak guard pun gaji lebih RM2,000. Aku yang belajar tinggi ada pengalaman bekerja lebih lima tahun pun gaji masih RM1,900,” katanya.
Itulah, setiap majikan tidak membayar pekerja mengikut skil dan pendidikan. Semua syarikat berbeza. Yang kedekut bagilah sedikit. Yang bermurah hati, tentulah banyak dan masih beri bonus dalam keadaan ekonomi tidak menentu. Sepatutnya, tangga gaji ketika pengambilan pekerja ini dibuat mengikut pengalaman dan pendidikan. Tak akanlah gaji lulusan ijazah kejuruteraan atau senibina lebih rendah upahnya berbanding pengawal keselamatan! Kita guna sistem rimbakah dalam menentukan gaji pekerja?
Kadang-kadang, majikan sendiri merendahkan atau menjatuhkan profesion itu dengan bayaran upah sedikit. Sedangkan profesion itu begitu gah dan dipandang tinggi di mata masyarakat.
Maksud profesion dalam kamus Dewan Bahasa adalah pekerjaan yang memerlukan pelajaran tinggi dan latihan khas contohnya dalam bidang undang-undang, perubatan, perakaunan dan lain-lain.
Ramai pelajar lepasan universiti mengintai peluang kerja ketika ini. Mereka ini sentiasa siang malam diiringi doa ibu bapa agar mendapat pekerjaan yang baik dengan gaji lumayan. Tetapi ada terpaksa menceburi perkhidmatan e-hailing, membawa penumpang atau makanan. Sebabnya, dengan kerja itu, gaji mereka tidaklah dibayar di bawah RM2,000.
Oleh: FAUZIAH AROF
No comments:
Post a Comment