Monday, November 29, 2021

Janganlah Puji Melangit Sangat

RAKYAT harus berasa bangga kerana Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam bahasa Melayu di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021, di Glasgow, Scotland, baru- baru ini.

Kebangaan ini perlu dikongsi bersama kerana pertama kali bahasa Melayu dibawa ke pentas dunia seperti mana pemimpin China dan Jepun yang menggunakan bahasa ibunda mereka setiap kali berucap di peringkat antarabangsa.

Pun begitu, kita janganlah terlalu ghairah membuat pujian tinggi melangit kerana di negara sendiri, bahasa Melayu terpinggir dan usaha memartabatkan penggunaan bahasa ini dalam kalangan masyarakat semakin sukar walaupun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Akta 153.

Apabila ada sahaja masalah berbahasa tidak kira pertuturan, di papan iklan dan sebagainya, barulah kita semua sedar bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu masih lagi jauh dan perlukan penglibatan semua pihak.

Ada yang dicalonkan sebagai wakil rakyat, namun masih lagi tidak fasih berbahasa Melayu seolah-olah tidak pernah bersekolah dan belajar bahasa Melayu secara formal.

Bagi saya, usaha memartabatkan bahasa Melayu patutlah dimulakan di bangku sekolah secara bersungguh- sungguh dan kejayaan penggunaan bahasa ibunda mencerminkan jati diri rakyatnya untuk meletakkan hak dan kepentingan bahasa Melayu ditempat yang sewajarnya.

Usahlah berbangga mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan jika masih tidak fasih berbahasa ibunda dalam perbualan. Kegagalan menguasai bahasa Melayu merupakan kayu ukur betapa gagalnya dasar pelajaran dalam mendidik rakyat menguasai bahasa kebangsaan.

Sistem persekolahan vernakular kini merupakan bukti bahawa murid bukan Melayu menjadi mangsa ketidakbolehan mereka menguasai bahasa ibunda. Sudah sampai masanya kerajaan merombak dan mewujudkan sistem persekolahan yang sama jika terbukti sistem sekarang gagal melahirkan warganegara yang fasih berbahasa Melayu.

Belum tiba masanya lagi kita mengagumi dan memuji melangit keupayaan bahasa Melayu jikalau di negara sendiri pun tidak digunapakai dan dihormati umpama melukut di tepi gantang layaknya.

Oleh: ABDUL HAMID, 
Temerloh, Pahang

No comments:

Post a Comment