Friday, November 26, 2021

Sejarah Orang Melayu Di Pulau Pinang Sedang Dihapuskan?

BANGI – Masalah ekonomi dan politik orang Melayu di Pulau Pinang bukan terletak pada dasar ataupun dana dibawa kerajaan Persekutuan, tetapi pada sejarah identiti dan imej Melayu itu sendiri.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mendakwa, berdasarkan pemerhatian beliau, apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah penghapusan sejarah.

“Sejarah Melayu dihapuskan. Kalau kita lihat naratif arus perdana Pulau Pinang sejak berpuluh-puluh tahun telah memadam dan meminggirkan penglibatan dan asal-usul orang Melayu. Pertama sekali sejarah arus perdana Pulau Pinang tidak mengakui kewujudan orang Melayu di pulau sebelum 1786.

“Ia memulakan sejarah Pulau Pinang dari tahun 1786. Apa jadi sebelum itu? Sebelum itu telah wujud satu masyarakat, tamadun, sistem undang-undang di Pulau Pinang dan negeri itu di bawah Kedah.

“Ini pun sedang dihapuskan,” dakwanya menerusi program Dimensi di TV Pertiwi bertajuk ‘Pulau Pinang bakal jadi Singapura ke-2?’, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa Pulau Pinang bukan sebahagian daripada Kedah adalah sesuatu yang serius.

Ahmad Murad menyifatkan dakwaan itu sebagai gelombang untuk menanam dan menafikan sama sekali kewujudan Melayu di Pulau Pinang.

“Jadi penghapusan identiti ini bermula daripada penghapusan sejarah dalam naratif-naratif Pulau Pinang,” katanya.

Menjawab persoalan kewajaran mengangkat naratif sejarah untuk mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah, beliau berkata, ia boleh dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan Bahagian II, namun sama ada wajar atau tidak itu persoalan kedua.

“Saya menggesa untuk memulakan satu naratif baru, menyegarkan ia dengan bermula membetulkan sejarah palsu,” katanya. - ismaweb.net

Pautan Dimensi:
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/936433117284624/

No comments:

Post a Comment