PETALING JAYA: Pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu melupakan usaha untuk mendapatkan hak pulau itu.
Sebaliknya, pasukan tersebut perlu memberi fokus terhadap pemilikan Pulau Tubir Selatan dan pulau-pulau lain yang bersempadan dengan negara lain bagi mengelakkan situasi sama mungkin berulang.
Ini kerana laluan Malaysia mendapatkan penghakiman semula dan mencabar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap pemilikan Pulau Batu Puteh boleh disifatkan sebagai sudah tamat dan jalan mati.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis undang-undang antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, Artikel 61 ICJ mengatakan semak semula mesti dibuat dalam masa 10 tahun, maka 2018 adalah tempoh akhir selepas keputusan itu dibuat pada 2008.
Katanya, keputusan ICJ yang lepas itu tetap menguntungkan kedua-dua belah negara apabila Singapura mendapat pemilikan Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memperoleh Pulau Batuan Tengah.
“Batu Puteh itu kita lupakan sahaja kerana ada tiga batu di situ iaitu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Singapura pun tak dapat semua sekali, malah jarak di antara Batu Puteh dan Batuan Tengah pun tak jauh, kurang satu kilometer.
“Yang penting sekarang, adalah bagaimana untuk kita dapatkan Tubir Selatan sebab mahkamah (ICJ) tak buat keputusan, hanya kata yang terdekat dan yang terdekat adalah Batuan Tengah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, penemuan bukti-bukti baharu kemungkinan besar tetap tidak dapat membantu pasukan petugas khas untuk mencabar keputusan ICJ terhadap pemilikan Pulau Batu Puteh.
Menurut Rahmat, tumpuan masa ini perlu diberikan untuk menstrategikan Pulau Tubir Selatan menjadi milik negara iaitu dengan mengisytiharkannya kerana setakat ini masih belum terdapat negara lain yang melakukan hal tersebut.
“Kita buat saja pengisyitharan Tubir Selatan itu berada di dalam wilayah kita, tetapi jika Singapura tak setuju, maka mereka boleh bawa ke ICJ.
“Saya pasti kita boleh menang dan memang itu kita punya sebab mahkamah kata Tubir Selatan (milik) yang terdekat, maknanya kita dekat sekali melalui Batuan Tengah itu.
“Namun jangan pandang rendah Indonesia kerana mereka mungkin mahu tuntut juga kerana berdasarkan peta, Batuan Tengah itu seolah-olah dekat dengan Indonesia, jadi kita tak tahu,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga percaya ICJ tidak akan membuat keputusan sebaliknya bagi menjaga kredibiliti keputusan pemilikan Batu Puteh sebelum ini.
Rahmat turut menggesa kerajaan memberi fokus terhadap pulau yang bersempadanan dengan Indonesia dan negara lain.
“Contohnya, Pulau Pisang itu kepunyaan Malaysia, jadi kenapa kita bagi Singapura jaga rumah api, kes ini boleh menjadi seperti Batu Puteh. Kita kena fikir jangka panjang dan bukannya jangka pendek. Jika dahulu kita tak terfikir Singapura mungkin tuntut Batu Puteh, maka sama juga dengan Pulau Pisang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment