Sunday, November 28, 2021

Penguasaan Bahasa Melayu Dalam Menyatupadukan Masyarakat Membimbangkan

Terdapat kerisauan pada kadar penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, menurut sebuah Laporan daripada Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) pada tahun 2018.

Menurut kajian Professor Dr. Teo Kok Seong, beliau mendapati daripada 14,000 orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara yang dikaji, beliau dapati seramai 604 orang tidak mampu berbahasa Melayu langsung.

Laporan tersebut turut memetik kajian oleh Professor Dr Sharon Carstens yang menunjukkan bahawa terdapat perasaan atau persepsi negatif dalam kalangan masyarakat Cina terhadap penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Pertubuhan Peguam Prihatin dalam laporan tersebut mengesyorkan supaya sistem pendidikan negara diselarikan dengan mewajibkan semua sekolah, baik Sekolah Kebangsaan atau Vernakular untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium pembelajaran.

Pertubuhan tersebut mendapati bahawa perpecahan dan jurang antara kaum dapat diatasi dengan menyatupadukan sistem pendidikan negara, sekaligus mencipta ruang untuk anak-anak ini berintegrasi apabila mereka tiba ke alam pekerjaan.

“Hal ini (penguasaan bahasa) semakin parah dengan perpecahan dalam sistem pendidikan, dimana kanak-kanak daripada pelbagai etnik diasingkan mengikut bahasa etnik mereka,” menurut laporan tersebut.

Laporan tersebut juga mendesak supaya sistem pendidikan Malaysia diubahsuai supaya pelajar dapat belajar dan pendidik dapat mengajar di sekolah-sekolah tanpa mengira bangsa dan bahasa ibunda mereka. - www.samudera.my

No comments:

Post a Comment