Friday, November 12, 2021

Penampilan Tuan Ibrahim Berbahasa Melayu Di Glasgow Cetus Perhatian Netizen

BANGI – Kemunculan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland dengan menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu, mencetuskan perhatian netizen.

Rata-rata meluahkan rasa bangga apabila bahasa kebangsaan bergema di pentas antarabangsa.

Pengguna Facebook, Sayed Munawar berkata, apa jua alasan yang menyebabkan seseorang itu memilih untuk berbahasa Melayu di pentas antarabangsa, adalah gambaran sebuah jati diri.

“Dalam dunia tanpa sempadan, nampaknya bagi kita, sempadanlah yang telah mendorong sebuah penzahiran – dirancang atau sekadar responsif, ia tetap sebuah citra segar dalam keserabutan.

“Tetap yakin, memori bangsa ada posisi tersendiri tanpa dakwa-dakwi bukan basa-basi,” katanya.

Turut senada dengan pandangan itu, seorang lagi pengguna Facebook, Zain B Zain berkata, langkah itu patut dicontohi oleh pemimpin Malaysia yang lain.

Katanya, ia supaya bahasa Melayu dapat diangkat setaraf bahasa antarabangsa yang lain.

“Bukannya tak boleh. Boleh je nak gunakan bahasa Melayu di persidangan antarabangsa. Tuan Ibrahim Tuan Man telah buktikan.

“Inilah kualiti pemimpin Malaysia yang kita mahukan. Tegas dan berani mempertahankan bahasa Melayu di peringkat dunia.

“Kalau semua pemimpin Malaysia menggunakan bahasa Melayu dalam semua acara antarabangsa, pasti bahasa Melayu akan menjadi bahasa antarabangsa dan bangsa Melayu akan dikagumi di seluruh dunia. Bahasa jiwa bangsa. Tahniah Tuan Ibrahim Tuan Man,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Tuan Ibrahim atas tindakannya itu.

“Tahniah kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan di Persidangan ‘26th Conference of the Parties to the UN Framework Convention on Climate Change (COP26)’ di Glasgow, Scotland,” katanya.

Tuan Ibrahim menyampaikan pendirian negara pada konvensyen berkenaan selama kira-kira tiga minit.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November ini.

Malaysia dijangka menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah (Glasgow Leaders’ Declaration on Forest and Land Use) dan Ikrar Metana Global (Global Methane Pledge) bagi menunjukkan komitmen serta usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment