Monday, November 29, 2021

ADUN DAP bidas papan tanda Jawi di SJKC, tuntut diturunkan

BANGI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen membidas, Jabatan Pendidikan Pahang kerana memanfaatkan status bantuan penuh kerajaan untuk menggantikan tulisan Cina pada papan tanda sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dengan tulisan Jawi.

Menurut ADUN DAP tersebut, tindakan berkenaan mencabar kesabaran masyarakat pelbagai kaum dan mengambil ringan muafakat sedia ada.

Chin Chen yang merupakan Ketua Pembangkang DUN Pahang membidas tindakan menukar papan tanda dua buah SJKC di Pekan dengan menyifatkannya seperti ‘merebus katak dalam air suam’.

“Jika bukan kerana tentangan hebat dari masyarakat Cina, penggantian tulisan Cina kepada tulisan Jawi akan menjadi kebiasaan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik Oriental Daily, semalam.

Menurutnya, dasar tulisan Jawi yang ditetapkan oleh DUN Pahang hanya melibatkan papan tanda premis perniagaan, tidak melibatkan papan tanda sekolah.

Oleh itu, dakwanya, Jabatan Pendidikan Pahang jelas telah bertindak sesuka hati.

Sehubungan itu, katanya lagi, papan tanda terbabit mesti diturunkan segera dan diganti dengan papan tanda yang mengandungi tulisan Cina dan Melayu.

“Tulisan Rumi atau abjad Inggeris digunakan dalam penulisan Melayu moden. Tiada keperluan untuk menambah tulisan Jawi.

“Yang paling membimbangkan sekarang ialah Jabatan Pendidikan Pahang sudah berani menurunkan papan tanda SJKC tanpa kebenaran.

“Sekali gus membenarkan dakwaan kami bahawa Napoleon kecil sedang menggunakan isu Jawi untuk menghapuskan pendidikan vernakular,” dakwanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment