PETALING JAYA: Rakyat sudah penat dan lelah melihat kepincangan Pakatan Harapan (PH), kata seorang wakil rakyat muda DAP mengulas kekalahan parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, berkata kekalahan PH dalam pilihan raya berkenaan kesan respons rakyat terhadap setiap langkah dan keputusan dilakukan parti berkenaan.
Katanya, mengambil kira faktor berkenaan, PH perlu menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran bagi memulih kembali kepincangan yang sedang dan telah berlaku agar tidak menjadi lebih teruk.
“Ada banyak perkara yang perlu kita lihat semula. Ada banyak faktor yang mungkin menyebabkan rakyat semasa PRN Melaka ini…tidak memilih PH,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Jamaliah berkata, faktor kekalahan terbabit tidak sepatutnya menjadi senjata untuk parti komponen saling menikam dan menyalahkan sesama sendiri.
“Kita mesti bergerak ke hadapan dan berusaha dengan lebih kuat. Dan kekuatan ini harus diperkukuhkan dan mesti diterjemahkan semasa pilihan raya umum ke-15 akan datang,” katanya.
Terdahulu, ADUN Bilut dari DAP Lee Chin Chen, mendesak Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, meletak jawatan menerajui parti pembangkang itu.
Lee berkata, pakatan pembangkang perlu meneroka haluan baharu, termasuk mencari kesepakatan baharu secepat mungkin.
Selain Lee, desakan sama juga ditimbulkan beberapa ahli politik lain, termasuk penganalisis politik Wong Chin Huat, yang mencadangkan PKR bergabung dengan Amanah.
Naib Presiden Warisan Junz Wong juga mendakwa rakyat sudah menyampah dengan PH yang didakwa berulang kali memungkiri dan mahu melihat kepimpinan baharu.
Bagaimanapun, Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata tidak adil meletakkan semua kesalahan di bahu Anwar semata-mata.
PH sekadar menang lima kerusi pada PRN Melaka, berbanding menguasai 15 kerusi pada pilihan raya umum ke-14, pada 2018. - freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment