Bagaimanapun, pengajaran besar yang dilalui sejak PRU-13 hendaklah dijadikan sempadan supaya tidak terjerumus kembali ke lembah penghinaan. Semua
pemimpin UMNO dan BN wajib menginsafi dengan penuh kesedaran bahawa kemenangan PRN Melaka adalah peluang kedua untuk berubah lebih baik.
Kembalinya sokongan asas kepada UMNO khususnya dapat menyedari dan menginsafkan bahawa kepentingan kehendak rakyat dan akar umbi adalah lebih utama daripada kepimpinan pusat. Kemenangan ini juga mengajar pemimpin UMNO dan BN bahawa melayanilah dan berkhidmatlah dengan jujur kepada rakyat.
Anggaplah lapan tahun diselubung fitnah sejak PRU-13 sebagai kuliah untuk bermuhasabah. Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka sebagai pengajaran kepada UMNO bahawa hanya 65.85 peratus pengundi yang keluar berjaya meruntuhkan kekuatan sesebuah parti komponen yang begitu gah sejak PRU 2008 lagi.
Pembentukan kerajaan Melaka oleh BN apabila berjaya mendapat 21 berbanding 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14 adalah disebabkan oleh beberapa faktor.
Pertama, pengundi Cina dan India terutama generasi muda menurun dari segi peratusan keluar undi. Ada di sebahagian DUN, contohnya di Kota Laksamana pada PRU-14, DAP memperoleh 20,181 undi berbanding 13,508 (PRN Melaka). DUN Bandar Hilir, DAP memperoleh 14,038 (9,091), DUN Kesidang 22,880 (14,769) dan DUN Ayer Keroh 14,279 (9,459). Malahan kesemua DUN yang dikuasai DAP dalam PRU-14 iaitu Duyong, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek dimenangi BN bukan kerana pertambahan undi Cina sebaliknya berlaku satu usaha memboikot PRN Melaka.
Kedua, PKR ditolak oleh pengundi muda disebabkan isu penerimaan ‘katak lompat’ dan perpecahan dalaman parti itu dan PH amnya. Malahan keputusan menunjukkan komponen parti PH mendapat keputusan tercorot dalam kebanyakan kerusi DUN.
Salah satu puncanya juga kepimpinan pusat tidak mendengar luahan hasrat di peringkat akar umbi PH Melaka. Malahan keputusan yang dibuat oleh PKR pusat langsung tidak mengendahkan bantahan PH negeri.
Ketiga, ketiadaan tokoh dalam PH yang mampu menyatukan perbezaan pendapat dan rasa tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan pusat PH. Ini dibuktikan apabila Ginnie Lim digantikan dengan calon lain atas keputusan kepimpinan pusat. Akhirnya pengundi tegar PH memboikot.
TIDAK BIJAK
Seterusnya, faktor keputusan kepimpinan pusat PH menyebabkan sebanyak 7.6 peratus undi popular PH beralih ke BN. Peralihan ini menunjukkan undi protes ke atas keputusan yang tidak bijak. BN hanya berjaya menambah 2.6 peratus undi popular.
Keempat, saluran satu dan dua yang merupakan majoriti paling banyak keluar mengundi merupakan pengundi putih BN. Situasi ini menjelaskan kenapa peratusan yang diperoleh MCA, MIC dan UMNO di kawasan DUN majoriti didominasi bukan Melayu menurun. Penurunan ini kerana faktor ekonomi, kekangan Covid-19 dan isu tidak puas hati ke atas pengenaan cukai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain kegagalan yang berlaku selama 22 bulan Melaka berada di bawah PH menyebabkan majoriti orang Cina dan India menolak kepimpinan DAP.
Pada masa sama, majoriti ini tidak menyokong BN tetapi memberikan peluang kepada BN untuk memperbetulkan kesilapan yang berlaku semasa Melaka diperintah PH dan Perikatan Nasional (PN).
Kelima, penolakan Pas dalam PRN Melaka oleh bukan Melayu disebabkan isu judi dan arak yang menjadi polemik semasa tempoh kempen berlangsung. Ini menyebabkan hampir 40 peratus penduduk Melaka yang bukan Melayu menolak PN disebabkan propaganda penubuhan sebuah negeri Islam.
Seterusnya, majoriti bukan Melayu akhirnya menyokong BN dengan bersyarat, iaitu memberikan peluang kepada BN sebelum membuat keputusan dalam PRU-15. Medan PRN Melaka adalah sebahagian ujian untuk melihat sejauh manakah BN berubah dan mempunyai kemampuan untuk memenuhi keseimbangan sebagai sebuah parti berbilang kaum.
Keenam, kemenangan BN sebenarnya bergantung kepada penyatuan semula oleh kepimpinan UMNO dalam kalangan ahli-ahli terutama di peringkat akar umbi. Pelbagai reformasi dan perubahan berlaku di peringkat UMNO di negeri berbanding pusat. Ini menyebabkan UMNO Melaka kini kembali bersatu dan bersedia untuk memilih BN.
Berbanding PRU-14, kepimpinan UMNO negeri adalah lemah dan berpecah, akhirnya penyebab kepada kekalahan UMNO di Melaka.
Ketujuh, Parti Amanah Negara (Amanah) diterima pengundi tegar PH berbanding PKR dalam PRN Melaka. Walaupun begitu, Amanah kehilangan wang deposit di semua kerusi DUN yang ditandinginya berbanding Pas masih tidak kehilangan wang deposit dalam semua kerusi ditandingi.
Gerakan pula ditolak kerana kepimpinan parti itu kurang dikenali dalam kalangan pengundi-pengundi muda bukan Melayu. Seterusnya, Gerakan gagal mendapat sebarang kerusi.
Kelapan, Melaka masih bersifat sentimen politik primordial. Penolakan ke atas BN dalam PRU-14 adalah disebabkan rasa tidak puas hati atas campur tangan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam politik UMNO Melaka.
Pada PRN Melaka ini, kepimpinan Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berjaya menyatukan dan mendamaikan segala pertelingkahan dalaman UMNO. Kepimpinan Mohd. Ali dalam PRN Melaka amat bermakna untuk UMNO Melaka dan BN.
Oleh: DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah
No comments:
Post a Comment