TERINGAT awal 2004 ketika berkhidmat sebagai wartawan sebuah majalah, saya diminta pengarangnya menulis rencana perihal kelarisan akhbar berbahasa Cina. Mujur saya ada dua kenalan iaitu penolong editor berita masing-masing di Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh bagi berkongsi rahsia eksklusif kisah kejayaan akhbar mereka.
Itu cerita hampir dua dekad lalu ketika arus teknologi maklumat masih bertatih dan belum berlaku trend peralihan minat pembaca akhbar bercetak kepada versi maya selain portal dalam talian.
Akhir bulan lalu, industri persuratkhabaran tempatan gempar apabila Oriental Daily News dilaporkan menghentikan percetakan dan berubah kepada wadah digital sepenuhnya mulai hari ini. Ia mengikut jejak dua akhbar sebelumnya beralih kepada versi siber iaitu The Edge pada 22 April 2020 dan akhbar berbahasa Inggeris tertua tanah air, Malay Mail pada 2 Disember 2018.
Anehnya, transformasi Oriental Daily News kepada platform maya 100 peratus mencetuskan banyak spekulasi dalam kalangan pemain media tempatan khususnya komuniti Cina sendiri. Adakah anak muda Tionghoa tidak lagi berminat dengan akhbar bahasa ibunda mereka, jauh beza generasi lama yang ‘wajib’ membeli dan membaca surat khabar Cina selepas waktu subuh?
PENYAKIT
Atau apakah ‘penyakit’ orang Melayu yang didakwa malas melanggan akhbar berbahasa Melayu, kononnya tiada kelas berbanding akhbar berbahasa Inggeris mula menjangkiti masyarakat Cina?
Mungkin tidak adil membuat perbandingan sedemikian, tetapi trend ‘kelesuan’ akhbar Cina tentu menyimpan banyak cerita panas berkait rapat isu geopolitik dan sosiobudaya etnik berkenaan.
Apatah lagi, Oriental Daily News bukan akhbar picisan selain latar kedudukan kewangan amat kukuh dimiliki gergasi Kumpulan KTS dan diasaskan taikun pembalakan Sarawak, Datuk Lau Hui Kang.
Dengan jualan stabil 146,000 naskhah, ketiadaan Oriental Daily News di rak akhbar amat dirasai, mengulangi sejarah hitam Shin Min Daily News terbitan Kumpulan NSTP yang ‘berkubur’ pada 1994.
Bayangkan, ada tidak kena setelah harga jualan Oriental Daily News turun daripada RM1.20 kepada 60 sen senaskhah, selain tidak lagi dicetak pada hari Sabtu dan Ahad sejak 1 Mei tahun lalu.
Senario ‘kelam’ akhbar berbahasa Cina turut dikejutkan dengan tiada lagi edisi malam Sin Chew Jit Poh mulai 1 April tahun lalu atas alasan kewangan dan nilai rugi tidak berbaloi ditanggungnya. Sekadar bersangka baik, pembaca dalam kalangan kaum itu mungkin tidak teruja dengan akhbar berbahasa Cina atau boleh jadi tiada masa membelek kertas walhal segala berita ada dalam talian.
Realiti semasa, persaingan akhbar berbahasa Cina di Malaysia memang sengit, hatta sudah sampai ke peringkat tepu dan diburukkan lagi oleh portal berita maya yang lebih banyak opsyen. Kecenderungan pembaca muda yang tidak mahu ketinggalan perkembangan terkini dan mahu kesegaran pemberitaan jitu menjadikan akhbar Cina sukar bangkit malah terus makin hilang bisa.
No comments:
Post a Comment