KITA dikejutkan dengan kes pekerja dibelasah dengan begitu teruk dan diugut kerana berpuasa. Tidak cukup dengan dipukul, pistol pula diacukan ke arah mangsa. Ini adalah satu kegilaan, apa salah orang yang berpuasa?
Sebenarnya, isu majikan tidak membenarkan berpuasa sebegini bukanlah perkara berlaku. Tidak membenarkan solat, tidak membenarkan pakai tudung dan seumpamanya sudah terlalu banyak sehingga kadang-kadang sesuatu yang diterima kerana keterdesakan manusia mahu mendapatkan pendapatan.
Saya bimbang jika kes ini dibiarkan atau lebih teruk ‘kawtim’ begitu sahaja, ianya akan melarat dan menjadi-jadi di kemudian hari. Mula-mula dinafikan hak beribadat, selepas itu dipukul-pukul. Apakah satu hari nanti akan ada pula yang mati kerana solat, tutup aurat dan berpuasa ketika bekerja?
Kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkaitan perlu ambil perhatian serius dalam isu sebegini yang semakin menjadi-jadi. Rakyat terdesak mencari rezeki di kala krisis ekonomi ini, jangan biarkan Sang Kapitalis ambil kesempatan menindas dan bermaharajalela sebegini.
Malah, ini adalah satu pencabulan hak asasi bagi seorang manusia. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sebagai suruhanjaya di bawah kerajaan perlu bertindak dalam isu ini. Hak asasi rakyat marhaen biasa yang ikhlas bekerja mencari rezeki seperti mereka ini mesti diambil perhatian. Bukannya hanya akan muncul membela hak pelacur, hak seks songsang, hak Syiah, hak ajaran sesat dan sebagainya.
Rakyat perlu ambil kesempatan ini untuk menggunakan kuasa massa untuk mengakhiri penindasan di tempat kerja, khususnya dalam bab berpuasa, solat, tutup aurat dan sebagainya. Jika anda ditindas sebegini, laporkan pada pihak berkuasa. Jika tidak, ada banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO-NGO) Islam yang sudi membantu mengangkat suara anda.
Oleh: Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
No comments:
Post a Comment