Friday, April 30, 2021

Kepentingan tulisan Jawi seperti dilupakan kerana lebih fokus bahasa Inggeris

Tuntutan orang Melayu perkasakan tulisan Jawi munasabah, kata penganalisis tamadun India
Rakyat Malaysia khususnya warga bukan Melayu perlu melihat tulisan Jawi daripada perspektif estetika dan falsafah, bukan semata-mata aspek agama Islam.

Penganalisis politik, sosio-budaya dan tamadun India, Datuk M Periasamy berkata, tulisan Jawi amat bernilai tinggi dan indah serta mudah diadunkan dalam budaya-budaya lain, khasnya dalam seni khat.

Di China sendiri, katanya, orang Tiong Hua sudah menggunakan tulisan Jawi dalam bentuk seni khat secara meluas sejak dahulu lagi.

“Dari perspektif sejarah pula, tulisan Jawi bukanlah hanya untuk orang Melayu Islam sahaja, sebaliknya berperanan sebagai alat perhubungan umum bagi semua lapisan masyarakat sebelum merdeka.

“Malah, Jawi merupakan warisan negara yang tiada tolok bandingannya,” katanya dalam artikel yang disiarkan di Astro Awani.

Beliau berkata, apabila negara mencapai kemerdekaan, institusi raja sebagai warisan negara diperkukuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan, namun peranan tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi Institusi Raja-Raja Melayu pula terlepas pandang.

Perkara itu, tegasnya, membawa kepada tenggelamnya tulisan tersebut dalam arus pembangunan negara.

“Kepentingan tulisan Jawi seakan-akan dilupakan kerana lebih perhatian diberikan kepada bahasa Inggeris yang menjadi bahasa komunikasi utama dunia,” katanya.

Atas sebab itu, beliau berkata, tuntutan orang Melayu untuk mengembalikan penggunaan Jawi tanpa mengetepikan bahasa lain adalah munasabah.

“Tulisan Jawi sebagai seni khat wajar dikembangkan dalam negara, sambil mempertingkatkan usaha-usaha untuk menerapkan nilai murni atau budi dari pelbagai budaya dalam kalangan rakyat supaya dapat melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bertamadun tinggi,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment