Thursday, April 22, 2021

Apa Tafsiran Tun M Ukur ‘Marah’ Rakyat?

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sepatutnya mengukur keseluruhan ‘kemarahan’ rakyat hanya melalui jumlah 40,000 yang menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, bekas Perdana Menteri itu disifatkan hilang pertimbangan logik apabila beliau tidak pula menghiraukan tuntutan rakyat bagi mengharamkan Dong Zong yang mana 317,000 menandatangani petisyen berhubung perkara itu ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah, katanya, Dr. Mahathir juga langsung tidak mempedulikan kemarahan lebih 314,000 rakyat yang menandatangani petisyen bagi menuntut beliau melucutkan jawatan P. Waytha Moorty sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Senator.

“Saya nak tanya kepada Dr. Mahathir, sama ada dia tahu atau tidak apa yang dimaksudkan dengan ‘marah’ dan bagaimana caranya nak ukur ‘kemarahan’ itu.

“Tidakkah amat jauh bezanya antara lebih 300,000 rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut beliau mengharamkan Dong Zong dan melucutkan jawatan Waytha Moorty berbanding hanya 40,000 rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir bersama Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat menyerahkan Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat kepada Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong.

Sewaktu bercakap dalam sidang akbbar selepas penyerahan itu, Dr. Mahathir mendakwa perisytiharan Proklamasi Darurat sedikit sebanyak menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu.

Menurut beliau, orang Melayu mula meluahkan perasaan marah di laman media sosial kerana mendakwa mereka mula menderita akibat pelaksanaan Proklamasi Darurat.

Kamarul Zaman berkata, sejumlah 40,000 rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat itu tidaklah boleh ditafsirkan secara terus sebagai ‘kemarahan’ rakyat kepada Raja-Raja.

Katanya, ini apabila Dr. Mahathir sendiri langsung tidak menghiraukan ‘kemarahan’ rakyat ketika beliau menerajui kepemimpinan negara selama tempoh 22 bulan. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment