Monday, April 19, 2021

Asalnya Tapak Untuk Sekolah Kebangsaan, Bagaimana Status Boleh Ditukar?

Penduduk bantah keras pembinaan SJKC Too Joon Hing di Bandar Kinrara 
BANDAR KINRARA – Penduduk Bandar Kinrara membantah sekeras-kerasnya pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang kelima dalam kawasan majoriti Melayu.

Mewakili suara penduduk, Ketua UMNO Subang, Datuk Armand Azha berkata, pihaknya amat tidak berpuas hati dengan pembinaan SJKC Too Joon Hing kerana tidak seimbang dengan populasi penduduk di situ.

Beliau menjelaskan, sekolah kebangsaan yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan hanya tiga sahaja jumlahnya, sedangkan SJKC ditambah kepada lima.

Walhal, katanya, majoriti penduduk di kawasan itu adalah orang Melayu dan bukan orang Cina.

“Kita bukan nak tolak pendidikan tetapi kita nak keadilan dalam pendidikan. Kawasan ini sepatutnya dibina sekolah kebangsaan. Jika bina sekolah kebangsaan, Melayu, Cina, India, Kadazan siapa saja boleh dapatkan peluang pendidikan.

“Kalau dibina SJKC rata-rata penduduk di sini risau peluang pendidikan agak sukar. Di sekitar sini saja sudah ada beberapa SJKC. Radius 5km daripada sini sudah ada empat SJKC.

“Sementara di sekolah kebangsaan sekitar ini ada yang kelas Darjah 1 sampai 17 kelas. Itu menunjukkan kepadatan penduduk terlampau tinggi. Guru juga mengharapkan ada sekolah kebangsaan dibina,” katanya setelah mengadakan perjumpaan membincangkan bantahan SJKC Too Joon Hing di Bandar Kinrara BKB5.

Dalam pada itu, beliau difahamkan bahawa tapak pembinaan SJKC itu pada asalnya adalah untuk sekolah kebangsaan.

Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana status itu boleh ditukar tanpa sebarang penjelasan kepada penduduk.

“Kita nak tahu bagaimana tapak sekolah kebangsaan ini boleh ditukar status kepada SJKC. Adakah telah mendapat persetujuan daripada EXCO kerajaan negeri atau pun menteri besar sendiri yang meluluskan tapak ini?

“Kita tuntut Menteri Besar Selangor, kerajaan negeri turun untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian. Kita juga akan buat laporan polis, jumpa badan peguam untuk isu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk BKB5 Bandar Kinrara, Mohamad Haron Mohamad Sidik turut bersuara meminta supaya menteri besar mempertimbangkan penambahan sekolah kebangsaan kerana kepadatan murid.

“Sekolah yang tahun lepas satu sesi, tahun ini semua dah jadi dua sesi. Itu pun dah terlalu padat.

“Kalau kita tak bersiap sedia untuk tahun 2022. Anak kita terpaksa sekolah dekat Petaling Jaya, Kuala Lumpur atau tempat jauh.

“Kalau benar mereka nak teruskan sekolah ini (SJKC Too Joon Hing), menteri besar perlu fikirkan pembinaan sekolah kebangsaan untuk rakyat Kinrara. Kita pernah membuat permohonan 4 tahun lalu, namun tiada tindakan kerana mungkin kerajaan negeri tiada peruntukan pada masa itu,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment