BANGI – MCA sekali menunjukkan belang sebenar mereka setelah membantah cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya, iaitu Bukit Melaka.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya hairan apabila MCA sedaya upaya mempertahankan nama berkenaan, selain menyifatkan parti itu seolah-olah ‘geli’ dengan sejarah empayar Melayu Melaka pada ketika itu.
Beliau berkata, nama Bukit St Paul diberikan oleh penjajah, yang sedia maklum telah merobek dan menghancurkan empayar zaman nenek moyang orang Melayu terdahulu.
“Apakah MCA lebih sukakan identiti penjajah berbanding identiti negara?
“Apakah ini ‘perangai’ sebuah organisasi yang sering dipropagandakan sebagai sebuah ‘parti Cina yang mesra Melayu’?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, MCA Kota Melaka membantah, sebarang percubaan untuk menukar nama Bukit St Paul di Melaka menjadi Bukit Melaka.
Naib pengerusinya, Datuk Ronald Gan berkata, Bukit St Paul harus kekal seperti yang telah diketahui selama ini.
“Tidak masuk akal untuk mengusulkan agar nama ikon sejarah itu diubah. Adakah kita akan menukar nama replika Galleon Portugis Flor de la Mar di Bandar Hilir juga,” katanya.
Gan berkata, sejarawan tempatan juga bersetuju dengan cadangan pihak berkuasa Muzium Melaka untuk menukar nama berkenaan.
Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, usaha menukar nama-nama tempat kepada nama yang ‘lebih Malaysia’ telah lama dilakukan.
Memberi contoh Port Swethenam yang ditukar kepada Pelabuhan Klang, beliau turut mempersoalkan sekiranya perkara sama tidak dilakukan kepada Bukit St Paul.
Beliau berkata, negara lain begitu berbangga dengan sejarah mereka, selain berusaha untuk mengubah kembali semua perkara yang telah diubah oleh penjajah – bagi mengembalikan identiti bangsa.
Katanya, perkara itu adalah sifat patriotisme dan jati diri yang perlu dicontohi oleh rakyat negara ini.
“Jika MCA bertanya dengan sinis, bagaimana dengan tempat-tempat lain yang ada nama Inggeris? Apakah perlu menukar semuanya? Jawapan saya ialah, apa salahnya? Itulah cara fikir kita yang sepatutnya.
“Oleh itu, saya sekali lagi mengajak agar kita berfikir kembali, apakah MCA layak diberikan peluang dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) nanti? Kerana hampir segalanya yang mereka nikmati sekarang adalah ihsan dan simpati orang Melayu sahaja, tetapi mereka tetap angkuh.
“Apakah layak mereka bertanding di kerusi majoriti Melayu dalam PRU-15? Fikir-fikirkan,” katanya. - ismaweb.net/2020/07/16
No comments:
Post a Comment