Tindakan keras terhadap penghina Islam!
BANGI – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan dianggap gagal menjaga keselamatan rakyat, sekiranya tidak mengambil tindakan tegas terhadap insiden dua pekerja muslim dipukul majikannya kerana berpuasa.
Terdahulu, tular di media sosial dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
Kesal dengan kejadian itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) Masridzi Sat berkata, penghinaan kepada agama Islam bukan satu perkara baharu, malah sudah berkali-kali berlaku dan boleh menghakis kesabaran umat Islam.
Justeru, jika perkara ini tidak dibela dan diberikan tindakan yang tegas dan sekeras-kerasnya, pihaknya beranggapan kerajaan gagal menjaga keselamatan, agama, bangsa, tanah air dan maruah umat Islam.
“Kita minta sekali lagi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, isu arwah Adib belum selesai. Saya sudah bertengkar tentang isu arwah Adib dengan Menteri Dalam Negeri, jadi sekarang isu yang mencabar kita sekali lagi.
“Tolong, umat Islam terlalu limit sangat tahap kesabaran, jadi kita tak boleh kawal, nanti ada tindakan undang-undang sendiri, ini yang paling kita bimbang,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, jika kerajaan sebelum ini boleh mengambil tindakan tegas dengan menangkap pejuang militan Islam sejak zaman 1970-an, kenapa tidak sekarang terhadap penghina Islam.
“Dulu boleh bertindak tegas menangkap, cekap di mana saja, sumbat dalam ISA, nak bagi 10 tahun, 20 tahun boleh. Gunakan AMLA, gunakan SOSMA, gunakan POCA, banyak undang-undang yang kita ada, gunakan maksimum.
“Jangan nanti sekejap saja, lepas itu keluar, benda itu berulang-ulang,” katanya. - ismaweb.net
No comments:
Post a Comment