Secara umumnya, nilai masyarakat Cina Malaysia masih berpegang kepada idea pemikiran yang bersifat sebab, logik dan rasional. Sebahagian mereka menolak pegangan nilai agama yang dianggap terikat dengan nilai tradisi yang kurang menyelesaikan permasalahan dan keperluan masyarakat Cina. Melalui kaedah berfikir secara sebab, logik dan rasional, ada kalanya bertembung dengan nilai-nilai Barat yang mempunyai kaedah berbeza. Nilai budaya Cina yang tegar berlandaskan budaya sebab, logik dan rasional dikaitkan dengan bahasa dan pendidikan Cina.
Ini menjadikan masyarakat Cina yang mempunyai nilai tegar ini kurang bercampur gaul dengan masyarakat bukan Cina. Kehidupan masyarakat Cina yang berpegang nilai tegar ini membenarkan minuman arak dan judi tetapi tidak membenarkan penggunaan dadah kecuali untuk tujuan perubatan. Mereka melihat meminum arak dan berjudi tidak salah dari segi rasional. Mereka melihatnya sebagai satu sebab dan logik untuk berhibur setelah penat bekerja, cuma dalam konteks yang tidak melampaui batas.
Budaya minum arak dan berjudi sebenarnya bertentangan dengan nilai agama Buddha. Namun, pada anggapan agama Taoisme, perlu suatu cara pemikiran baharu untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat. Malah, Confucius tidak menekan sifat tertentu yang perlu diikuti oleh manusia dalam konsep sifat baik dan buruk. Ini menjadikan masyarakat Cina menerima idea bahawa jika arak dan judi mempunyai cara penyelesaian ke atas sesuatu permasalahan dalam keadaan terkawal, maka tidak salah untuk diamalkan dalam kehidupan.
Begitu juga penggunaan dadah dalam perubatan Cina. Konsep perubatan menggunakan dadah adalah berdasarkan kepada manfaat dan penyelesaian masalah sepertimana arak dan judi. Jadi, penggunaan ganja untuk mengubati penyakit lelah, penggunaan dadah tertentu dalam menguruskan badan dan penyakit kanser adalah dibenarkan dalam konsep budaya nilai tegar Cina.
SEKOLAH CINA
Dalam konteks ini, penggunaan dadah tidak boleh keterlaluan atau melampaui batas kemanusiaan. Di sini timbulnya satu definisi, iaitu penyalahgunaan dadah.
Bagi sebahagian kecil masyarakat yang berpegang kepada nilai tegar Cina, mereka menganggap dadah adalah ubat dan perlu digunakan bila perlu. Maka tidak ramai yang menjadi ketagih, cuma menjadi pengguna sampingan bagi mengubati penyakit yang dihidapi oleh mereka yang memerlukan.
Dalam nilai pragmatis Cina pula melihat satu sisi pandangan berbeza dengan nilai tegar Cina. Majoriti yang mengamalkan pragmatis ini adalah mereka yang berpandangan kepada elemen integriti, nilai agama iaitu baik dan buruk, amanah dan hubungan kekeluargaan.
Bagi yang berpegang kepada nilai pragmatis Cina, mereka menganggap arak, judi dan dadah adalah buruk kepada masyarakat. Ini kerana mereka berpandangan cara pemikiran sebegini bertentangan dengan nilai agama yang membezakan antara baik dan buruk. Justeru, golongan ini amat menentang penggunaan dadah dalam semua aspek.
Bagi mereka, kehidupan yang baik adalah kehidupan berakhlak, mulia, integriti dan amanah. Golongan ini menyokong pemerintahan negara berdasarkan undang-undang dan tiada pemisahan antara kehidupan individu dan kehidupan bermasyarakat. Seterusnya kehidupan ini tidak boleh berdasarkan kepada sebab dan akibat tetapi perlu diselarikan dengan nilai baik dan buruk. Apa yang baik akan memberikan impak positif kepada masyarakat dan sebaliknya kepada yang buruk.
Di sini, golongan yang memegang nilai pragmatis melihat, walaupun golongan nilai tegar membenarkan penggunaan dadah untuk tujuan perubatan tetapi terdapat juga sebilangan yang mengambil kesempatan untuk merosakkan nilai tegar Cina. Maka dengan ini, budaya pencegahan digunakan oleh golongan yang memegang nilai pragmatis Cina. Apa yang menarik, golongan nilai pragmatis telah memberikan satu didikan awal kepada anak-anak mereka, apa itu baik dan apa yang dimaksudkan buruk. Mereka juga mendidik anak-anak mereka dengan berpegang kepada nilai agama berlandaskan contoh yang baik perlu diikuti dan contoh buruk perlu dijauhi
ZURIAT
Golongan yang memegang nilai pragmatis sentiasa mendidik budaya pemilihan yang baik dapat memelihara dan mengekalkan zuriat generasi yang berkekalan agar kehidupan bermasyarakat menjadi lebih aman, selamat dan makmur. Golongan yang memegang nilai tegar Cina ini pula masih ingin mengekalkan budaya arak, judi dan dadah berdasarkan sebab, logik dan rasional. Namun, mereka tetap menerima budaya pencegahan ke atas dadah yang merosakkan kehidupan manusiawi.
Di sini, elemen budaya pencegahan bagi golongan yang memegang nilai tegar Cina adalah menjauhi dadah daripada keterlampauan. Maksudnya, jika boleh jangan guna dadah untuk tujuan perubatan tetapi jika terpaksa, maka gunakan secara bijak supaya tidak berlaku aspek melampaui batas.
Bagi golongan ini, didikan yang diberikan kepada anak-anak mereka adalah dadah ada kegunaan tetapi jika menggunakan secara tidak bijak, maka akan merosakkan kehidupan manusiawi. Falsafah budaya pencegahan ini juga diajar di sekolah Cina sejak didikan awal lagi. Maka tidak menghairankan apabila dadah berjaya dihapuskan daripada masyarakat Cina dari aspek ketagihan.
Ini yang membezakan antara kefahaman yang dijadikan budaya amalan pencegahan berbeza dengan masyarakat Melayu. Walaupun begitu, kefahaman aspek dadah ini telah ditelusuri sejak Barat memperkenalkan ganja bermula Perang Candu Pertama di China.
Masyarakat Cina Malaysia tidak menolak aspek dadah untuk tujuan perubatan sahaja, bukannya membawa satu domain ketagihan sepertimana berlaku dalam masyarakat Melayu. Budaya pencegahan dadah ini telah digunakan setelah pengalaman beratus tahun masyarakat Cina yang terjebak dadah bermula dengan ganja. Akhirnya, satu domain pemikiran yang lain daripada lain telah lahir antara yang membenarkan dan yang menentang penggunaan dadah dalam masyarakat Cina Malaysia.
Oleh: DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah
No comments:
Post a Comment