Friday, April 2, 2021

Adam: Jiwanya Tetap Seorang Tentera

“Oi, Zabry! Bapak kau keluar surat khabar!” jerit seorang rakan.

Saya sendiri pun tak sangka, bapa sendiri terlibat secara langsung dalam kejadian amuk Prebet Adam atau Rambo Adam di Chow Kit, Kuala Lumpur, 34 tahun lalu. Memang begitulah sikapnya dari dahulu, susah nak berkongsi kepada kami kisah-kisah ‘sulit’ ketenteraan.

Dalam kejadian pada malam 18 Oktober 1987, Prebet Adam atau nama sebenarnya, Adam Jaafar, 23, mengamuk dengan menembak secara rambang menggunakan raifal M-16. Tindakan ganas itu menyebabkan seorang terbunuh manakala dua lagi cedera.

Kejadian tersebut menggemparkan negara. Kawasan Chow Kit yang cukup dikenali dengan kesibukan pelbagai urusan termasuk orang ramai membeli barangan keperluan harian menjadi lengang.

Polis mengepung kawasan berkenaan termasuk Kampung Baru bagi memburu Prebet Adam. Namun, Prebet Adam berjaya menghilangkan diri pada malam itu.

Keesokan harinya, dia dikesan oleh polis berlindung di tingkat tiga Wisma Sabarudin, Jalan Raja Alang. Meskipun sudah dikepung polis, dia tetap enggan menyerah diri. Dia hanya mahu berbuat demikian dengan pegawai tinggi tentera.

KALIS PELURU

Bapa saya yang ketika itu merupakan Panglima 11 Briged berpangkat Brigedier Jeneral diberi tanggungjawab tersebut.

Misinya – tangkap Prebet Adam!

Perlahan-perlahan dia menghampiri kedudukan Prebet Adam. Sambil memperkenalkan diri, dia mengarahkan Prebet Adam menyerah diri.

Prebet Adam lantas keluar dari persembunyiannya lalu berdepan dengan bapa saya. Tanpa senjata, hanya berbekalkan jaket kalis peluru, nyawanya boleh diragut begitu sahaja oleh Prebet Adam.

Cerita bapa saya, namun Prebet Adam bersikap tenang. Jauh berbeza dengan perbuatan ganas yang diilakukannya sebelum itu. Prebet Adam meletakkan senjata lalu menyerah diri. Prebet Adam kemudian diserahkan kepada dua pegawai lain untuk dibawa keluar dari situ. Semuanya lancar tanpa kejadian buruk.

Ternyata, Prebet Adam patuh kepada arahan pegawainya. Latihan ketenteraan yang diterimanya sebelum ini yang membentuk dirinya berjiwa sedemikian.

Prebet Adam kemudian dibicarakan di mahkamah dan dihantar menjalani rawatan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak selama 10 tahun selepas disahkan tidak siuman. Semua pertuduhan ke atasnya digugurkan.

Sebenarnya, tidak banyak yang diceritakan bapa kepada kami, adik-beradik tentang peristiwa itu. Sampai sekarang pun saya tidak tahu cerita sebenar kejadian amukan itu.

Yang didengar cuma khabar angin. Ada yang kata, Prebet Adam menuntut bela terhadap adiknya, seorang kedi yang dipukul dengan kayu golf hingga mati selepas ketawa apabila seorang pemain golf gagal memukul bola ke dalam lubang.

Ada juga cerita, Prebet Adam mengalami tekanan perasaan yang teramat sangat akibat dibuli, didera mental dan fizikal oleh senior di kem. Dia adalah anggota Rejimen Renjer Diraja di Ipoh, Perak.

Deraan berterusan itu membuatkan dia tidak mampu berfikir secara waras, lantas bertindak ganas dengan mengamuk di Chow Kit.

Kelmarin, Prebet Adam menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, Georgetown selepas solat zuhur.

Takziah buat keluarga Prebet Adam. Moga rohnya diletakkan dalam kalangan orang beriman. Al-fatihah.

Oleh: Zabry Mohamad Madzlan

No comments:

Post a Comment