SEKALI pandang, berita dua pengawal peribadi dipukul dengan teruk kerana berpuasa oleh majikan bukan Islam berlaku di luar negara terutama negara yang memusuhi Islam. Perkara begini dianggap tidak berlaku di negara ini kerana dua perkara.
Pertama, kedudukan Islam itu sendiri tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam adalah agama Persekutuan bagi negara ini. Tentulah payah untuk dipercayai agama Persekutuan boleh dipijak dan dihina seperti ini. Mana mungkin boleh berlaku.
Kedua, Malaysia mengamalkan kebebasan beragama. Walaupun Islam diangkat sebagai agama Persekutuan, agama lain tidak dilarang. Buktinya begitu banyak tempat ibadat agama lain yang didirikan dengan bebas di seluruh pelosok negara. Ini termasuklah dibina secara haram di atas tapak milik pihak lain.
Tentulah seperti tidak masuk akal dalam ruang kebebasan beragama yang begitu luas masih ada pihak yang cuba mengecilkan hak orang Islam mengamalkan tuntutan agamanya. Di mana kebebasan itu? Adakah hanya bebas untuk bukan Islam tetapi tidak kepada Islam?
Tetapi saudara-saudara, kejadian melarang orang Islam berpuasa bukan berlaku di negara musuh Islam. Ini berlaku di negara kita. Di negara yang meraikan kebebasan beragama. Di negara yang Islam berada pada kedudukan tinggi. Nampaknya banyak pihak yang buta atau sengaja membutakan diri untuk memahami hakikat kebebasan beragama ini.
Kes menghalang umat Islam mengamalkan ajaran Islam ini berlaku di Malaysia. Di negara kita di mana Islam diangkat sebagai agama Persekutuan. Tetapi tidak menindas agama lain, sebaliknya memberi hak kebebasan beragama.
Begitulah kisahnya, apabila ada kuasa tetapi tidak menggunakan kuasa itu untuk keadilan kepada semua. Sudah ada dalam undang-undang hak kebebasan beragama tetapi di sebalik tabir masih banyak lagi pekerja Islam yang ditindas dan diambil hak kebebasan menganut Islam.
SEMBAHYANG JUMAAT
Sebenarnya banyak kes yang secara langsung atau tidak langsung menyukarkan pekerja Islam menunaikan sembahyang termasuk solat Jumaat. Ini berlaku di tempat kerja yang dimiliki oleh bukan Islam. Malah bukanlah suatu yang luar biasa.
Pihak berkuasa kenalah kuat menghidu perkara-perkara begini. Jangan duduk di pejabat berhawa dingin menunggu laporan dengan segala macam prosedur. Jangan ikut buku sangat dalam perkara begini.
Misalnya bukanlah suatu yang luar biasa pekerja Islam hanya dibenarkan sembahyang ketika waktu makan tengah hari sahaja. Inilah penindasan sekali gus pencabulan hak beragama yang dilakukan kepada pekerja Islam, dan semacam sudah menjadi satu kebiasaan.
Majikan yang mencabul hak kebebasan beragama ini tidak sedar di mana tanah yang dipijaknya. Dia berpijak di tanah yang bernama Malaysia, yang baiknya Malaysia ini tidak pernah melarang sebarang agama dianuti oleh rakyat. Malah majikan itu yang bukan beragama Islam pun tidak diancam, dipukul atau didiskriminasi untuk mengaut kekayaan.
Hak kebebasan beragama ini diberikan secara perundangan. Maknanya pihak yang menghalang hak itu ke atas mana-mana individu adalah satu tindakan yang melanggar undang-undang.
Misalnya dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas hak beragama dan mengamalkan suruhan agama. Maka menghalang hak itu dimanfaatkan oleh individu adalah satu tindakan yang tidak berpelembagaan.
Hak ini bukan sahaja terpakai kepada individu di luar kawalan majikan. Dalam kawalan majikan juga tetap dilindungi oleh hak tersebut. Tidak ada majikan yang berhak menghalang hak beragama kepada pekerjanya. Hal ini merangkumi etika berpakaian menurut agama masing-masing.
Tetapi Perlembagaan Persekutuan menuntut pelaksanaan oleh pihak berkuasa. Hak beragama yang termaktub itu tidak memberi makna kalau penguasa tidak tegas melaksanakan tuntutan Perlembagaan Persekutuan. Buktinya sudah banyak kali kita dengar kes pekerja wanita Islam yang dilarang memakai tudung.
CUCI TANGAN
Pihak berkuasa perlu mengambil iktibar daripada kes menghalang pekerja Islam berpuasa ini. Anggaplah kes ini sebagai kemuncak daripada sekian banyak kes menghalang pekerja Islam menunaikan amalan agama. Bagaimanapun, mangsa terpaksa memendam dan mendiamkan diri kerana kebergantungan majikan.
Jangan pula Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta data-datanya. Memang tidak banyak data yang lengkap pekerja yang menjadi mangsa, apatah lagi pekerja asing. Mereka berada dalam dilema antara tuntutan hidup dan suruhan agama.
Sehingga Jumaat ketika rencana ini ditulis, belum ada kenyataan daripada Suhakam yang baru-baru ini membela pelacur yang terang-terang membawa kerosakan kepada masyarakat. Tetapi agak lambat untuk memberi reaksi pada kes mencabul hak beragama.
Suhakam perlu proaktif dan pantas. Daripada membela pelacur yang sememangnya membawa kerosakan, lebih elok tumpukan kepada kes pekerja Islam yang dinafikan hak beragama. Daripada bertungkus lumus memutihkan kerjaya pelacur tentu lebih signifikan kalau melindungi mereka yang dizalimi majikan bukan Islam.
Mereka terpaksa memendam perbuatan majikan bukan Islam yang menindas kerana memikirkan masa depan diri dan keluarga yang bergantung pada pendapatannya.
Tindakan menghalang umat Islam mengerjakan suruhan agama adalah penghinaan yang tidak boleh diterima, dalam apa keadaan sekalipun. Kalau pihak berkuasa tidak cekap mengurusnya, ini boleh membarah pada isu yang lebih besar. Tindak balas orang yang terhina adakala tidak terbayangkan ledakannya.
Sabar mereka yang ditindas juga ada batasnya. Mereka ini diibaratkan api dalam sekam, ia boleh sahaja meletus suatu yang tidak diingini kalau tidak diendahkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Maknanya bukan kes memukul pengawal peribadi ini tetapi secara keseluruhannya.
Sekali lagi, ini bukan kes terpencil. Jangan cuba-cuba mencuci tangan dan menganggap penganiayaan pekerja Islam sebagai kes terpencil.
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
No comments:
Post a Comment