Monday, April 26, 2021

Pemimpin Melayu Berpolitik Untuk Apa?

Beban sejarah sekolah vernakular
Inilah beban sejarah terpaksa ditanggung sepanjang 63 tahun negara mencapai kemerdekaan. Apalah ertinya merdeka dengan beban sejarah yang tidak pernah diselesaikan ini walaupun pemimpin bertukar ganti. Malah, menjadi biawak hidup yang membantutkan kerana terus mencakar dan mencakar.

Kerana beban sejarah ini, banyak perkara yang dirancang berdepan dengan halangan. Inilah satu tindakan tidak berpelembagaan tetapi sudah dianggap termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hinggakan banyak menganggap suatu yang biasa.

Begitulah cara orang Melayu berpolitik – sentiasa kalah dan mengalah. Agenda nusa dan bangsa tidak lagi utama disebabkan hambatan ketakutan hilangnya undi dalam pilihan raya. Perkara yang menjadi pemecah perpaduan dibiarkan sekali gus mewariskan beban dari generasi ke generasi.

Sekolah vernakular tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun begitu, dibolehkan didirikan dengan syarat ditanggung sendiri. Tetapi kerana politik Melayu yang lembik, secara diam-diam diberi peruntukan untuk menjaga hati. Padahal ini mengambil hak sekolah kebangsaan.

Inilah beban sejarah. Beban yang tidak pernah difikir serius oleh sesetengah pemimpin. Seolah-olah ada pemimpin yang berani berkata ‘tidak’ pada sekolah vernakular. Kalau pun takut untuk menghapuskan seperti di Singapura, cukuplah had dengan jumlah yang ada. Tetapi itu pun tidak takut.

COVID-19
Orang Melayu dan pemimpin Melayu berpolitik untuk apa? Orang Cina berpolitik untuk memperkukuh sekolah vernakular. DAP, MCA dan Gerakan berjuang secara bersama-sama. Di mana kebersatuan politik Melayu dalam isu ini?

Terbaharu dan sedang hangat diperkatakan, sebuah lagi sekolah vernakular akan didirikan di Puchong, Selangor. Dalam radius lima kilometer sudah ada enam sekolah vernakular Cina dan sebuah sekolah vernakular Tamil. Hanya tiga buah sekolah kebangsaan. Ini di Malaysia atau di China?

Kerajaan sebelum ini tidak mampu berbuat apa-apa. Kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan, semuanya tidak memberi harapan. Tidak adil untuk bertanyakan Perikatan Nasional yang bertungkus lumus dengan wabak Covid-19.

Kitalah yang menanggung beban sejarah sejak era Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dua kali menjadi Perdana Menteri. Selama 22 tahun dan 22 bulan menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir juga tidak mampu menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan mengehadkan sekolah vernakular.

Banyak yang percaya dengan kebersatuan politik Cina yang tidak pecah oleh perbezaan parti, sekolah vernakular di Puchong ini akan berdiri megah akhirnya. Tidak percaya? Tunggulah, tengok apa kesudahannya.

RASIS
Pemimpin politik Melayu saling kerkah antara satu dengan lain, politik Cina memperkukuh kelestarian bahasa dan sistem pendidikan Cina. Sekolah vernakular Cina ketujuh dalam radius lima kilometer di Puchong adalah mercu tanda kegagalan membuang biawak hidup di atas belakang kita.

Ironinya di kawasan yang sama hanya tiga buah sekolah kebangsaan dan semuanya sudah penuh sesak. Sepatutnya ditambah sebuah lagi sekolah kebangsaan, tetapi yang muncul sekolah vernakular Cina. Sekolah kebangsaan bukan sekolah orang Melayu, ini sekolah untuk semua.

Inilah enam sekolah vernakular yang ada di kawasan berkenaan. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kheng Chee, SJKC Yak Chee, SJKC Bukit Serdang , SJKC Shin Cheng (Harcroft), Tzu Chi International Chinese School, dan SJKC Lai Meng.

Cauvinis yang memperjuangkan sekolah vernakular Cina dan pemimpin Melayu dalam kerajaan yang ‘tidak angkat kepala’ dalam isu sekolah vernakular patut membaca buku ini, From Third World to First. Penulisnya bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Antara yang menarik ialah pengalaman Lee Kuan Yew menghapuskan sekolah Cina di Singapura – di negara yang majoriti Cina oleh seorang Perdana Menteri Cina. Kalau menghapuskan sekolah Cina di Singapura boleh dilakukan, kenapa tidak di Malaysia?

Kita masih terhegeh-hegeh dan tidak ada keberanian yang luar biasa untuk melaksanakan sistem satu sekolah selepas 63 tahun merdeka. Banyak pemimpin politik Melayu hanya setakat memekik di PWTC tetapi dalam senyap-senyap DAP, MCA dan Gerakan perjuangkankan sekolah vernakular.

CUCI TANGAN
Kalau dalam radius lima kilometer di Puchong sekolah vernakular jauh melebihi jumlah sekolah kebangsaan, ini mencerminkan hakikat masa akan datang di seluruh negara. Apakah yang akan berlaku pada dasar pendidikan apabila sekolah vernakular melampaui jumlah sekolah kebangsaan?

Adakah hal-hal begini tidak membimbangkan pembuat-pembuat dasar terutama yang berkaitan pendidikan? Tidak bimbangkah akan anak-anak kita yang dipisahkan oleh sikap pengasingan dengan adanya sekolah vernakular ini?

Jangan cuci tangan menganggap tulisan ini berbau rasis. Ini soal masa depan anak semua bangsa yang dimangsai sikap pengasingan Cina dan menolak asimilasi di sebuah negara pelbagai kaum. Anak semua bangsa itu rakyat negara ini, di mana hidup matinya tidak ada tanah selain tanah yang satu ini.

Memang betul Perlembagaan Persekutuan dengan jelas melindungi hak setiap rakyat untuk mendapat pendidikan dan tidak didiskriminasi berdasarkan kaum. Pendidikan yang dimaksudkan itu menggunakan penghantar bahasa Melayu. Maka sekolah kebangsaan adalah yang tepat dan selari Perlembagaan Persekutuan.

Oleh hal yang demikian, sangat bertentanganlah apabila hak untuk sekolah kebangsaan diambil oleh sekolah vernakular. Andai dibiarkan kerana mahu menagih undi daripada Cina, sekolah kebangsaan menjadi sekolah kelas dua.

Beban sejarah adalah biawak hidup yang terus mencakar hasrat kita menuju perpaduan. Bertegaslah demi anak semua bangsa di negara merdeka.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

No comments:

Post a Comment