PETALING JAYA: Daripada pencuci kereta hingga bergelar billionair muda selepas memiliki kekayaan dianggarkan berjumlah RM1 bilion.
Itu jumlah harta benda dikaut Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, hasil kegiatan penipuan Macau Scam, pelaburan tidak wujud, penjualan atas talian dan ah long.
Satu sumber memaklumkan, siasatan mendapati ketua sindiket Geng Nicky itu pada usia remajanya, hanya bekerja di sebuah tempat mencuci kenderaan di Lembah Klang selain dibesarkan dalam keluarga biasa di Ampang di sini.
Kata sumber, Nicky yang mempunyai empat beradik itu dipercayai pernah menuntut di sebuah kolej namun tidak dipastikan dia tamat belajar atau tidak.
Dari situ, Nicky bertemu ‘mentornya’ iaitu pengasas sindiket Winner Dynasty Group, Zhang Jiang atau Yun Shu Mao, seorang warga China.
“Zhang Jiang pernah ditahan di Phuket, Thailand namun dibebaskan pada 2014. Bagaimapun, Zhang Jiang ditahan semula di Indonesia serta diekstradisi ke China pada 2017 apabila diburu pihak republik itu selepas dikesan terlibat dalam ribuan kes penipuan Macau Scam.
“Bermula daripada penangkapan Zhang Jiang, Nicky mula menjadi ‘kepala’ jenayah yang mensasarkan warga China.
“Walaupun Zahang Jiang dalam penjara namun Nicky memperoleh kelebihan kerana hubungan Zhang Jiang dengan beberapa sindiket antarabangsa diteruskan berjaya diteruskan Nicky,” kata sumber kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, sebagai `mengenang budi’ mentornya, Nicky dipercayai berterusan menghantar wang kepada keluarga Zhang Jiang di China.
Sumber berkata, sindiket Geng Nicky ini terus menyambung jenayah Zhang Jiang dengan menyasarkan pelabur dari China dengan menjanjikan pulangan berlipat ganda seperti dalam pembelian hartanah, produk kesihatan, Forex dan Kripto yang dinamakan Wincoin dan Winbitex.
“Pelabur akan buat pelaburan dalam aplikasi WeChat dan WeChat Pay serta dilaburkan dalam mata wang kripto dan judi dalam talian. Bagi mengeluarkan wang itu, sindiket ini menggunakan perkhidmatan pengurup wang dan ejen kasino bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan mendapati Winner Dynasty Group mempunyai hubungan dengan elemen jenayah terancang antarabangsa, Wan Kouk Koi atau Broken Tooth yang mengetuai persatuan 14-K Triad.
“Broken Tooth yang juga pengasas HongMen World History and Culture Association telah melantik Nicky sebagai naib presiden persatuan tersebut pada 4 Januari 2019,” ujarnya.
Tambah sumber, siasatan mendapati Nicky pernah berkahwin dengan wanita tempatan namun telah bercerai.
Katanya, Nicky dipercayai membelanjakan hasil ‘keuntungan’ jenayahnya dengan berjudi dan teman-teman wanitanya.
“Nicky juga dipercayai membeli beberapa aset menggunakan tunai bagi mengelak kegiatannya dikesan pihak berkuasa.
“Ketika operasi, pihak polis juga telah menggeledah rumah ibu bapa Nicky di Ampang dan merampas beberapa barangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua adik Nicky masing-masing berusia 28 dan 30 tahun bergelar Datuk Seri dan Datuk juga turut terlibat dalam kegiatan itu.
Ujarnya, mereka merupakan orang kanan Nicky serta pengarah kepada lima syarikat bersekutu di bawah Winner Dynasty Group yang terlibat dalam pengubahan wang haram.
“Polis kini sedang mengenal pasti aset-aset dimiliki termasuk hartanah, bangunan, kenderaan dan lain-lain. Kita percaya hasil kekayaan dikumpul Nicky hasil jenayahnya mencecah RM1 bilion,” katanya.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pemeriksaan awal juga mendapati wang dalam sebuah akaun peribadi Nicky dianggarkan sebanyak RM40.3 juta.
Bagaimanapun, Nicky sempat mengeluarkan wangnya dalam lapan beg di beberapa buah bank di sekitar Puchong selepas mendapat maklumat berhubung operasi polis.
“Itu baru satu akaun, belum akaun yang lain-lain. Kita sedang siasat serta beku aset-aset berkaitan dengannya,” ujarnya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment