Sunday, April 25, 2021

Kerajaan Malaysia Gagal Bertegas Terhadap Apa Sahaja Tuntutan Dong Zong

Dong Jiao Zong semakin lantang mendesak bukti kerajaan lemah
Desakan demi desakan yang disuarakan secara lantang oleh pertubuhan radikal, Dong Jiao Zong adalah bukti jelas bahawa kerajaan hari ini lemah dan semakin hilang arah.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari menegaskan, apa sahaja tuntutan Dong Jiao Zong, kerajaan Malaysia gagal bertegas.

Malah, kerajaan sendiri ‘mengiktiraf’ Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) apabila Perdana Menteri menerima perjumpaan bersama mereka di Johor sebelum ini.

Kali ini, Dong Jiao Zong mahu mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyemak semula kandungan buku teks Sejarah yang kononnya terlalu berpusat kepada Melayu dan Islam.

“Dong Jiao Zong adalah sebuah pertubuhan yang rasis kerana menuntut pelbagai tuntutan yang hanya berpihak dengan mereka dan bukan untuk rakyat Malaysia yang majmuk.

“Kepada KPM, sila ‘ikut’ tuntutan tersebut dan kalau boleh, masukkan semua sejarah dinasti dan ‘kehebatan’ komunis serta hubungan akrab antara China dan Malaysia seperti yang didakwa salah seorang menteri yang menyifatkan China adalah ‘Big Brother’.

“Jika boleh, ubah semua silibus yang ada kepada silibus Taiwan dan juga iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Mansuhkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana ternyata dilihat tidak berkualiti bagi pihak mereka,” sindir Mohd Nor Izzat.

Bukan itu sahaja, sindirnya lagi, kerajaan yang terlalu lunak dengan tuntutan pertubuhan rasis dan radikal juga ‘disyor’ memperbanyak sekolah vernakular dan menutup semua sekolah kebangsaan kerana dikatakan lemah dan rasis daripada mata Dong Jiao Zong.

“Kepada Kerajaan Malaysia, jangan haramkan Dong Jiao Zong. Mereka dahagakan kasih sayang. Tahniah,” katanya.

Terdahulu, Dong Jiao Zong menggesa KPM membetulkan ‘kesalahan’ dalam buku teks Sejarah sekolah menengah.

Pertubuhan itu mendesak sedemikian ekoran tercetus kontroversi berkenaan kandungan buku teks Sejarah, setelah seorang pakar sejarah mendakwa ianya terlalu berpusat kepada Melayu dan Islam.

Dr Ranjit Singh Malhi berkata, buku teks itu, untuk Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, menumpukan Islam serta orang Melayu dan tidak memasukkan fakta penting berkaitan pembinaan negara, selain menyimpang dan membesar-besarkan fakta.

Katanya, unsur berat sebelah yang menumpukan Islam dalam buku teks ketara dalam topik peradaban India dan Cina yang kurang daripada 10 halaman setiap satu, manakala peradaban Islam mempunyai 26 halaman.

Katanya lagi, ada beberapa kesalahan ‘tidak dapat dimaafkan’ dalam buku teks itu, walaupun terdapat panel pakar memeriksanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment