Friday, April 16, 2021

Melihat Sejarah Malaysia Dari Sudut Berbeza....( ii )

Sejarah bukan ‘kilang produk’, boleh ubah ikut pandangan peribadi, kata NGO
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan berkata, mata pelajaran Sejarah perlu dilihat sebagai satu bidang ilmu dan bukannya “kilang produk” yang boleh diubah atau ditukar mengikut pandangan segelintir pihak.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Mohd Arof Ishak, berkata walaupun pandangan semua pihak perlu mendapat liputan yang adil dan saksama, tetapi ia tidak harus diletakkan kepada sejarah.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak berprasangka berlebihan terhadap penulisan sejarah.

“Sejarah harus difahami oleh semua. Ia ditulis berdasarkan peradaban negara itu sendiri. Begitu juga di China yang menumpukan peradaban kaum-kaumnya, manakala kita pula bergantung kepada peradaban orang Melayu.

“Hal prasangka ini telah lama berlaku. Ia telah wujud sebelum Dasar Ekonomi Baru dan sebelum peristiwa 13 Mei lagi. Prasangka ini jugalah menyebabkan banyak perdebatan berlaku dalam penulisan sejarah,” katanya dalam bual bicara bertajuk “Buku teks sekolah: Ada sejarah yang digelapkan?” yang turut dihadiri sejarawan negara, Ranjit Singh Malhi.

Mengulas dakwaan ada tangan yang cuba menggelapkan sejarah, Arof bekata, kandungan buku teks sejarah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada isu yang timbul.

“Sejarah ini ada dua, iaitu peristiwa dan peradaban. Peristiwa itu dilihat dari kaca mata peradaban yang sebenar.

“Untuk pastikan content (isi kandungan) benar-benar keluar, kita harus beri perhatian kepada peristiwa yang benar-benar menonjol dan apa jua perkara prominent (ciri yang menonjol) daripada kaum-kaum minoriti.

“Ada yang kata wujud usaha untuk gelapkan sejarah dan menyeleweng sejarah…saya kira ini keterlaluan dan membimbangkan, jika terus dimainkan.”

Sementara itu, Ranjit, yang juga pensyarah Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, mempersoalkan barisan panel jawatankuasa penulisan buku teks sejarah yang dilantik kerajaan.

“Mengapa 17 daripada 18 penulis daripada satu etnik sahaja? Kenapa tidak ambil orang lain?

“Saya tidak sesekali meragui kemampuan mereka. (Tetapi) kenapa kita tak boleh lantik panel pelbagai bangsa?” soalnya.

Beliau turut mendakwa buku teks sejarah ditulis golongan dominan.

“Sejarah ditulis oleh pemenang. Itu betul. Buku sejarah kita ditulis oleh golongan dominan. Itu fakta.”

Beliau yakin isu membabitkan kandungan buku teks sejarah itu akan terungkai selepas beliau menemui seorang menteri pada minggu depan.

“Seorang menteri undang saya untuk adakan perbincangan dengan beliau. Kita harus mendokong dasar pendidikan nasional. Kita nak tahu sejarah Malaysia, bukan sejarah satu-satu kaum.”

Selasa lalu, Ranjit dilaporkan mendesak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan selepas mendapati buku teks sejarah untuk tingkatan 1 hingga 5, memfokuskan Islam serta orang Melayu dan tidak memasukkan fakta penting berkaitan pembinaan negara, selain menyimpang dan membesar-besarkan fakta.

Bagaimanapun, Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, tidak salah jika unsur Melayu dan Islam lebih ditonjolkan berbanding etnik lain dalam buku teks sejarah negara kerana pada dasarnya Malaysia adalah negara Melayu-Islam yang diperakui semua pihak. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment