Friday, April 16, 2021

Sukar Sangatkah Untuk Menguatkuasakan Undang-Undang....

Tak perlu pinda, hanya kuat kuasa undang-undang berkait projek perumahan ‘sakit’, kata persatuan pembeli

PETALING JAYA: Kumpulan pembeli rumah meragui rancangan Putrajaya untuk meminda peraturan yang mengawal selia pemaju perumahan dengan tujuan membantu pembeli yang terkesan oleh projek perumahan terbengkalai.

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan berkata, kerajaan sebaliknya harus memberi tumpuan pada penguatkuasaan undang-undang, bukannya membuat lebih banyak pindaan.

Setiausaha agung persatuan Chang Kim Loong berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi setiap menteri perumahan cuba meminda undang-undang, sedangkan ia sudah memadai.“Undang-undang terbaik untuk menangani sesuatu keadaan sekalipun akan kekal sebagai ‘perhiasan’ sekiranya penguatkuasaan ketat tidak dijalankan terhadap pesalah,” katanya kepada FMT.

“Berapa banyak pemaju perumahan yang didakwa di bawah Seksyen 18A yang baharu (yang berkuat kuasa pada 2015) walaupun terdapat begitu banyak projek terbengkalai? Kita tidak mendengar apa-apa mengenainya dalam media.”

Minggu lepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, undang-undang akan dipinda bagi mengatasi masalah projek terbengkalai kerana undang-undang sedia ada hanya memperuntukkan tindakan menyenarai hitam pemaju.

Beliau juga berkata, kementerian akan mewujudkan tabung yang menghendaki pemaju menyumbang jumlah tertentu sebelum meneruskan projek.

Tabung berkenaan akan digunakan sekiranya pemaju meninggalkan projek.

Chang meragui tabung pemulihan tersebut dengan mempersoal sama ada kos sumbangan pemaju itu akan menyebabkan harga meningkat tinggi.

“Jelaslah pemaju tidak akan menyerap kos berkenaan, sebaliknya akan memasukkannya ke dalam harga jualan,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa untuk menyelamatkan mana-mana “projek sakit dan bermasalah” bagi memastikan ia tidak terbengkalai.

Katanya, simptomnya boleh dikesan lebih awal jika projek dipantau.

“Orang ramai bergantung pada akta ini dan penguat kuasa bagi melindungi mereka dalam usaha memiliki rumah dan berasa bosan kerana kurangnya penguatkuasaan apabila masalah berlaku.

“Kurang penguatkuasaan dan pemantauan melemahkan peruntukan akta berkenaan.

“Sebenarnya tidak ada penyelesaian bagi projek yang ditinggalkan. Kita perlu menghalangnya daripada berlaku,” katanya dengan menambah bahawa kementerian mesti menyediakan jaring keselamatan dan mengambil langkah pencegahan bagi menghalang projek terbengkalai. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment