Kebenaran kerajaan membuka semula operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri selepas setahun penganjurannya dilarang berikutan penularan pandemik Covid-19, menggembirakan banyak pihak.
Kebenaran itu bukan sahaja menyambung punca rezeki penjaja kecil, malah mengembalikan semula keceriaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Keuntungan diperoleh berlipat kali ganda. Bazar Ramadan ibarat lubuk emas. Tidak hairanlah penjaja berebut-rebut mendapatkan lot-lot ini. Di Selangor sahaja, dilaporkan 14,000 tapak ditawarkan.
Namun harus diingat, pembukaan kembali bazar Ramadan turut membawa isu lama dan risiko bersamanya.
Pertama, monopoli dan budaya ‘mengalibabakan’ lesen tapak yang mana terdapat peniaga dan penganjur meraih keuntungan mudah dengan menaikkan harga serta menyewakannya kepada pihak ketiga.
Kelulusan permohonan adalah bagi membolehkan penjaja menjalankan perniagaan secara sah sepanjang Ramadan. Bukan kaut untung ‘atas angin’. Ingatlah, kesan daripada amalan ‘ali baba’ juga bahayanya sama seperti rasuah!
Isu harga ‘mengembang’ tetapi saiz dan kualiti juadah ‘mengecut’ juga tidak pernah sunyi diperkatakan. Sikap peniaga mengambil kesempatan menjual juadah dengan harga tinggi semata-mata mengaut keuntungan melampau membuatkan pengguna mengeluh.
Hasrat menikmati juadah dijual di bazar Ramadan bertukar menjadi rugi dan teraniaya. Harga juadah bukan isu kecil kerana melibatkan orang awam. Peniaga harus bersikap adil kepada pengguna dan tidak mengambil kesempatan.
Kebenaran operasi bazar Ramadan tahun ini bermakna buat pertama kali ia dipraktikkan dalam norma baharu. Aspek paling penting tentulah pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri menentukan SOP masing-masing. Persoalannya, mampukah orang ramai dan peniaga mematuhinya? Penguatkuasaan SOP di bazar Ramadan perlu dipastikan tegas manakala orang ramai mesti kekal disiplin.
Tahap pematuhan yang rendah dibimbangi mengundang musibah lebih besar. Kita tidak mahu wujud pula ‘Kluster Bazar Ramadan’ nanti.
Dalam keghairahan menanti ‘kemunculan semula’ bazar Ramadan 13 April ini, tiga perkara ini tidak boleh terlepas pandang. Pihak berkuasa, tolong pantau dan ambil tindakan.
Oleh: Mohd. Shariza Abdullah
No comments:
Post a Comment