Thursday, April 8, 2021

Keabsahan Sekolah Vernakular Di Malaysia.

Kumpulan guru mahu mahkamah tertinggi putuskan keabsahan sekolah vernakular
PETALING JAYA: Sebuah kumpulan guru Muslim memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman Mahkamah Persekutuan mengenai keperlembagaan dan keabsahan sekolah vernakular di Malaysia.

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berhubung isu sama ada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membolehkan menteri pendidikan menubuhkan sekolah vernakular, sebenarnya melanggar Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif, Mohd Azizee Hasan yang juga presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia, memfailkan permohonan interlokutori di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.

Pemohon juga mahu penjelasan sama ada kata-kata “maksud rasmi” dalam Perkara 152 turut terpakai untuk sekolah rendah dan menengah, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam satu kes terdahulu, yang mengatakan ia terpakai bagi institusi pengajian tinggi.

Perkara 152 menyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selain menetapkannya sebagai perantara di sekolah.

Antara defendan dinamakan dalam permohonan Azizee itu adalah menteri pendidikan dan kerajaan.

Defendan lain yang dinamakan adalah MCA, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil.

Peguam Shaharudin Ali yang mewakili plaintif berkata beliau menjangka Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh untuk kes itu, tidak lama lagi.

Plaintif sebelum ini memfailkan saman mencabar sekolah vernakular di negara ini bagi pihak organisasinya pada Februari tahun lalu.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia turut memfailkan saman seumpamanya pada Feb 2020. Selain itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut memfailkan tindakan perundangan seperti itu pada Mac. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment