PETALING JAYA: Kecewa melihat anak-anak berebut rumah, seorang warga emas yang dikenali sebagai Mokhtar, 72, bertekad meninggalkan rumah itu untuk mencari damai dalam menghabiskan baki hayat selepas kematian isteri tersayang.
Lelaki itu yang kini menghuni Rumah Seri Kenangan di Cheras, dekat sini berkata, dia benar-benar kecewa apabila berlaku perselisihan faham berhubung pembahagian harta dan pemilikan rumah antara dirinya dan anak-anaknya selepas enam bulan kematian isterinya.
Menceritakan kisah itu, dia berkata, semasa hayat isterinya, rumah yang terletak di Puchong, Selangor itu ditukar nama kepada tiga anak mereka dan masih terdapat baki hutang dengan pihak bank.
Kemudian, katanya, salah seorang anaknya berniat menyambung membayar baki hutang rumah tersebut tetapi kemudian menjadi pertikaian antara anak-anaknya yang lain, yang mungkin bimbang kehilangan hak atas rumah tersebut.
“Lebih memeritkan adalah apabila menantu juga kerap menyindir mengenai perkara tersebut dan beberapa isu lain sehingga saya sangat terasa hati,’’ katanya ketika ditemui di rumah kebajikan itu, baru-baru ini.
Bekas anggota keselamatan itu kemudian membawa diri ke Indonesia selama setahun menggunakan duit simpanannya sebelum pulang ke tanah air dan memilih tinggal di Seri Kenangan dengan mendaftar secara sukarela pada 2014.
“Sebelum itu, saya merayau-rayau di sekitar Kuala Lumpur. Akhirnya, saya buat keputusan tinggal di rumah kebajikan kerana percaya kehidupan saya akan jauh lebih baik di sini.
“Saya tidak perlukan simpati anak-anak lagi kerana keperluan di sini serba-serbi cukup. Saya sudah tidak fikir pasal keluarga, sekali kecewa, sudah malas,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia merindui suasana bahagia sebelum berlakunya perselisihan faham, Mokhtar berkata, dia tidak mahu mengungkit kisah lama.
“Terpulang kepada mereka (anak-anak) untuk jaga atau tidak,” katanya dengan suara perlahan.
Sementara itu, bagi Siti Aisyah, 73, kisah cintanya bersama Allahyarham suaminya mengundang kemarahan sehingga dibuang keluarga kerana memilih untuk berkahwin dan menukar agama ketika berusia 25 tahun.
Sambil menitiskan air mata, dia meluahkan rasa rindu terhadap arwah suaminya yang meninggal dunia 12 tahun lalu akibat barah.
“Selepas suami meninggal, hidup saya sangat susah. Suami saya sangat baik dan tiada lelaki lain sebaik dia. Saya diberitahu mengenai pusat kebajikan ini oleh seorang kenalan. Saya hanya mahu menghabiskan usia di sini dan sentiasa berdoa agar ditemukan semula dengan suami di akhirat nanti,” katanya.
Pun begitu, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang anak lelaki yang masih menyayangi dan berhasrat mahu menjaganya di usia emas ini, namun Siti Aisyah tidak mahu membebankan anak tunggalnya itu yang kini sudah berkeluarga.
“Anak ada ajak saya tinggal sekali, tetapi biasalah orang berkahwin juga ada masalah. Saya tidak mahu menjadi bebanan buat anak saya. Kadangkala, saya duduk sana (rumah anak) satu atau dua bulan, tetapi untuk tinggal terus (bersama), memang saya tidak mahu. Saya kasihankan dia,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment