SABAN hari baca berita, bosan dengan percaturan politik Melayu demi mendapat kuasa. Sanggup lakukan apa sahaja, lupa dosa pahala. Kedudukan politik Melayu semakin tenat. Jika sekadar, berebut kuasa sahaja, boleh tahan lagi, bidang lain pun Melayu tenat.
Bilakah Melayu mahu duduk semeja membincangkan masalah Melayu yang sangat tenat seperti dadah? Rata-rata penagihnya adalah Melayu. Dadah bukan seperti COVID-19, boleh dibendung dengan SOP dan vaksin. Dadah bukan lagi wabak, tetapi malapetaka, musibah dan boleh melupuskan sesuatu bangsa.
Mutakhir ini, semakin ramai peniaga tokan-tokan dadah dan pegawai polis yang bersubahat ditangkap. Ada yang lari sehingga tidak dapat dikesan.
Mereka telah menjadi kaya-kaya dengan menjual menyeludup dadah. Negara kita seolah-olah menjadi hub pengedaran dadah peringkat antarabangsa
Tokan-tokan ini adalah gangster-gangster rata-ratanya adalah ultra kiasu. Paling ramai berpengkalan di kawasan ultra kiasu. Kaya raya berniaga dadah. Tidur di atas katil penuh wang. Mendapat gelaran Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan sebagainya dengan cara duit. Mudah sangat gelaran ini dibeli. Mudah sangat pula kita memberi.
Dahulu, gelaran dianugerah, atas sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Hari ini tidak lagi, ada duit, semua jadi. Semua boleh dibeli.
Amat malang sekali, kita sanggup jual gelaran itu, hanya kerana duit. Rasuah juga kerana duit. Pendek kata, ibu segala kejahatan, adalah apabila kita mudah dibeli dengan duit.
Negeri-negeri majoriti Melayu menjuarai penagihan dadah, pertama Terengganu, diikuti Kelantan, seterusnya Pahang, Perlis dan lain-lain
24 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pemandu lori setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine bernilai RM22 juta, empat tahun lalu. Pemandu lori ini didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 203.9467 kilogram.
Ini bukanlah suatu perkara yang ganjil atau pelik, kerana saban minggu, kita akan terbaca kes tangkapan kastam, kes mahkamah, kes operasi polis dan kes jatuh hukum macam-macam jenis dadah.
Kenapa jadi pemandu lori jika ada harta RM22 juta? Dengan RM22 juta dia boleh kaya seumur hidup bergenerasi? Kenapa dia menjadi pemandu lori? Kenapa pemandu lori tidak ada gelaran seperti Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk yang boleh dibeli?
Nampak sangat, pemandu lori Melayu ini adalah mangsa?
Siapa tokan-tokan kalau bukan mereka ada yang ada gelaran Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk yang heboh diperkatakan sekarang.
Cuba imbau baik sejarah lalu, ketika Inggeris menakluk dunia, perniagaan dadah dimiliki oleh kuasa empayar Baginda Queen Victoria.
Dalam kata lain, kota London itu didirikan daripada kekayaan menjual candu dari India ke China. Sebab itu, China kalah dalam Perang Candu. Adakah Melayu juga mahu dilemahkan dengan candu (dadah)?
Perniagaan dadah ini adalah sindiket. Perniagaan gelap yang amat lumayan, selain senjata merbahaya. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perniagaan dadah pada tahun 2003, berjumlah AS$321.6 bilion. Manakala, perniagaan senjata 2018, berjumlah US$420 bilion (Stockholm International Peace Research Institute 2018).
Dalam kata lain, lebih daripada satu peratus ekonomi dunia ini berkait rapat dengan dengan jual beli dadah (World Drugs Report PBB 2005).
Persoalan, perniagaan dadah ini sangat bahaya. Semua orang tahu mengenainya, lebih-lebih lagi pihak berkuasa. Kenapa masih berleluasa?
Saban kali membaca berita, polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’. Tetapi masih bebas? Apa erti semua ini?
Tokan terus hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan yang sah. Ya, kita faham, sukar bagi pihak polis mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.
Tetapi, mesti ada cara lain untuk membuktikannya jika kita bersungguh-sungguh. Jika orang yang kita musuhi dengan cepat boleh dibuktikan bersalah. Tentu dadah ini, lagi cepat boleh dibuktikan.
Sudah sampai masanya, pemimpin-pemimpin negara berfikir secara serius soal ini. Janganlah lagi berebut kuasa. Segera bawa tokan dadah ultra kiasu dan pihak berkuasa yang bersubahat dengan segera
Tangkaplah. Kenapa masih dibiarkan berleluasa. Jika tidak ada ISA, masih ada akta lain.
Ingat! Kita selalu terbaca berita Central Intelligence Agency Amerika Syarikat (CIA) menjalankan perniagaan dadah, Amerika Syarikat. Pada masa sama, Presiden AS itu sendirilah yang melancarkan perangi dadah habis-habisan, sedangkan Presiden itu juga adalah Ketua Angkatan Tentera Amerika. CIA juga di bawah kementeriannya.
Segera ambil iktibar. Saya yakin, mereka yang bersubahat pasti tidak akan hidup tenang. Keluarga mereka tidak akan selamat daripada dadah.
Ingat, jika keadaan ini dibiarkan, rosakkan anak bangsa Melayu ini pada masa akan datang. Dadah, ini berjangkit, dan cepat sangat merebak, sama seperti wabak COVID 19. Jika tidak diputuskan segera, pasti malapetaka akan menimpa
COVID 19 masih boleh dibendung dengan vaksin dan SOP yang mesti dipatuhi. Tetapi dadah ini, tidak ada ubat. Ubat dadah adalah dadah sintetik (methadone). Itulah yang kita gunakan bagi mengawal penagih-penagih untuk hidup normal seperti manusia biasa.
Setiap hari dadah sintetik ini perlu diambil, jika tidak penagih dadah bertindak di luar kawalan.
Dalam kata lain, setelah menjadi penagih tegar, memang sukar untuk dipulihkan, melainkan dengan dadah juga. Majoriti adalah kategori ini adalah dalam kalangan anak-anak Melayu.
Kajian saya membuktikan, rata-rata Melayu adalah penagih (tegar). Bangsa lain seperti orang Cina, tergolong dalam kalangan penyalahguna dadah. Orang Cina mengambil dadah bila perlu.
Malang orang Melayu mengambil dadah sehingga menjadi penagih tegar dan penagih sehingga merosakkan sistem badan. Akhirnya terpaksa bergantung seumur hidup dengan dadah. Mati dengan dadah.
Sebab itu, mereka yang berada dalam pengaruh dadah dan penagih, begitu tegar sehingga membunuh ahli keluarga sendiri. Bukan salah penagih tersebut, kerana mereka bertindak di luar sedar, tetapi disebabkan dadah yang telah merosak sistem badan mereka.
Dadah mesti diperangai habis-habisan, sebab dadah musuh nombor satu negara. Pegawai polis dan dalang yang terlibat dalam kalangan orang Melayu mesti segera diambil tindakan sebelum terlambat.
Melayu jangan ‘bunuh’ Melayu. Jangan bersubahat lagi dengan ultra kiasu. Wang tidak boleh dibawa mati. Wang haram membawa ke neraka.
Insaflah wahai Melayu sebelum terlambat.
Oleh: Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
No comments:
Post a Comment