Sunday, April 18, 2021

Senator PN Pertikai ‘Layanan Istimewa’ Polis Kepada Suspek Kes Pukul Dua Pengawal Peribadi Kerana Puasa

PUTRAJAYA: Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip, mempertikaikan “layanan istimewa” polis kepada majikan yang didakwa memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa sehingga dibenar membuat sidang media memohon maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong.

Muhammad Zahid berkata, tindakan itu memberikan mesej yang salah dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador perlu menjelaskan mengapa beliau membenarkan layanan istimewa diberikan kepada suspek kes terbabit.

Muhammad Zahid berkata, nama Abdul Hamid sendiri selaku ketua polis negara turut disebut dan terkait dalam laporan polis mangsa, yang kini tular di media sosial.

“Abdul Hamid tidak boleh membisu kerana ketika perintah reman masih belum selesai dan siasatan sedang berjalan, dua anggota polis ditugaskan khas untuk mengiringi suspek bertemu pihak media.

“Polis sepatutnya melengkapkan laporan siasatan untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan.

“Justeru, Abdul Hamid sendiri perlu tampil memberi penjelasan dalam isu ini bagi membuktikan kesungguhan beliau dalam memerangi salah laku dalam pasukan polis.

“Perlu apa minta maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong? Apakah dengan permohonan maaf ini, maka kes
jenayah kekerasan yang dilakukan akan ditutup dan suspek bebas dan lepas begitu sahaja?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahid juga melahirkan kebimbangan sama ada jongkong emas seberat 100 kg dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM28.54 juta beserta pistol yang dirampas akan dipulangkan dan suspek kembali menjalankan aktiviti haramnya selepas ini?

“Jika itu mesej yang cuba disampaikan oleh pihak polis, maka layanan serupa juga perlu diberikan kepada Najib Razak.

“Ini kerana sehingga kini barangan rampasan milik bekas perdana menteri dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dikembalikan kepadanya.

“Kepada Abdul Hamid, saya menegaskan bahawa apa yang rakyat dan umat Islam hendak tengok dalam kes ini ialah suspek segera didakwa.

“Umat Islam tidak dahagakan permohonan maaf daripada suspek,”katanya. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment