Thursday, January 16, 2020

Sanggup ‘Bersihkan’ Dong Jiao Zong, Apakah Moral Mujahid Begitu Rendah?

Perdana Menteri sendiri telah melabel pertubuhan Cina itu sebagai rasis
BANGI – “Jangan kerana sayangkan jawatan, Mujahid sanggup ‘membersihkan’ mereka yang cuba menghapuskan identiti negara iaitu identiti bangsa Melayu sebagai teras!,” demikian tegas Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menerima kunjungan Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) dalam satu pertemuan tertutup berhubung isu tulisan jawi dalam pembelajaran di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Kompleks Islam Putrajaya.

Dalam sidang media selepas pertemuan itu, beliau berkata, isu pembelajaran jawi perlu dihentikan demi memastikan keharmonian negara terjamin.

Selain itu, menteri agama itu berkata, tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang pembelajaran jawi dan beliau turut menegaskan bahawa ia bukan pertubuhan rasis.

Isu yang dibangkitkan Dong Jiao Zong, katanya, hanyalah berkenaan kaedah pembelajaran yang mana ia memerlukan perbincangan konstruktif oleh semua pihak.

Melihat kepada kenyataan menteri tersebut, Aminuddin berkata, terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada Mujahid ditipu atau rakyat diperbodohkan.

“Itu saya tak pasti. Yang pasti ialah Dong Zong secara jelas dalam banyak kenyataan dan tindakan mereka sebelum ini menentang pembelajaran tulisan jawi.

“Saya sungguh terkejut dengan kenyataan beliau ini. Apakah moral menteri agama kita begitu rendah sehingga sanggup membersihkan nama pertubuhan yang perdana menteri sendiri melabelkan mereka sebagai rasis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya menteri agama berpendirian sebegini, maka tidak ada apa yang orang Melayu dan umat Islam boleh harapkan sebagai tempat untuk bergantung dalam mempertahankan kedaulatan agama Islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

“Saya mohon laluan agar menteri agama membenarkan NGO-NGO Islam dan Melayu untuk bertemu dengan beliau bagi menjelaskan apa sebenarnya yang dilakukan oleh Dong Zong,” tegasnya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment