Monday, January 13, 2020

Hebatnya Tanglung.....

Tanglung bawa perpaduan, Jawi bawa Islamisasi takutkan kaum lain?
TUJUH Menteri Kabinet dilaporkan turun ke sebuah sekolah di Puchong untuk memberikan sokongan terhadap pemasangan tanglung setelah perhiasan Tahun Baru Cina tersebut mendapat bantahan dari netizen.

Ketika netizen mempersoalkan pemasangan perhiasan berlebihan ini, tujuh orang Menteri Kabinet sanggup turun memberikan sokongan terhadap isu ini. Tanglung dikatakan membawa kepada perpaduan.

Apa yang menyedihkan, sokongan yang sama tidak kelihatan ketika 900 SJKC membantah pembelajaran yang melibatkan elemen Jawi di sekolah. Bahkan Jawi dikatakan menimbulkan unsur Islamisasi bahkan menakutkan kaum lain.

Pada pengamatan umum, orang Melayu sebenarnya tiada masalah pun dengan perhiasan tanglung ini. Namun apabila Jawi dibantah secara besar-besar oleh DAP, MCA mahupun Gerakan, isu ini semakin menimbulkan kegelisahan.

Perhatikan betapa konsistennya DAP dan MCA membantah isu Zakir Naik, sehingga Naib Canselor UNIMAP digesa untuk dipecat. Dalam isu ini, pemimpin Muslim seakan terkulai layu. Sokongan yang ditampilkan tidak seperti menjulang pemasangan Tanglung ini.

Perhatikan isu kematian Adib. Sokongan Rahmatan menjulang tangan erat padu bersama pemimpin kuil. Nyawa seorang Muslim yang terkorban itu sehingga kini menjadi persoalan buat keluarga yang menuntut keadilan.

Adakah ini konsep Rahmatan yang ingin dibawa? Menawarkan kelunakan yang tinggi dalam isu orang lain, namun dalam isu yang memburukkan Islam, kita seakan layu, diam seribu.

Semoga Allah membantu kita mempertahankan hak Islam dan Muslim.

Dr Ahmad Sanusi Azmi ialah pensyarah kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM dan Felo Pelawat Oxford Centre for Islamic Studies
‘Kenapa menteri tak bersungguh isu jawi seperti tanglung?
BANGI – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah kesal apabila isu perhiasan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Puchong, Selangor lebih mendapat ‘perhatian’ menteri-menteri, berbanding isu tulisan jawi yang ditentang pertubuhan radikal Cina.

Beliau mengakui sedih kerana perjuangan tulisan jawi tidak mendapat sokongan pemimpin Pakatan Harapan (PH), walhal kedudukan jawi jauh lebih besar daripada tanglung dalam soal perpaduan.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah, tujuh menteri dan mungkin lebih, serta pemimpin-pemimpin besar berkunjung ke satu sekolah semata-mata untuk menyaksikan betapa pentingnya perpaduan gara-gara tanglung.

“Bab tanglung mereka bersungguh-sungguh. Sedihnya bila bab jawi, tidak pula bersungguh-sungguh macam ni, apa nak jadi…Istighfar dan mengucap panjang saya.

“Bila tiba bab tanglung, soal perpaduan. Sampai bab jawi tidak kedengaran pula pasal perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jawi bukan sahaja perlu difahami sebagai jati diri dan identiti majoriti orang Melayu, pada masa sama, lambang jata negara, lambang negeri-negeri, tanda halal, dan banyak lagi, terdapat tulisan jawi.

“Malangnya, nak laksanakan jawi, kena tanya PIBG (Dong Zong). Sedihnya. Yang melibatkan hak kepada yang berhak, tak bersungguh-sungguh.

“Bila tiba hak kepada yang belum tentu namanya hak, kerana melibatkan undi, bersungguh-sungguh. Bila kita nak insaf ni?,” katanya.

Pada masa sama, Ridhuan Tee berkata, beliau tidak menafikan hak minoriti dan menegaskan bahawa mereka mesti dijaga.

“Tetapi jangan sampai hak majoriti tenggelam dalam hak minoriti. Teringat saya hak orang Uyghur di China. Apalah hak yang mereka ada.

“Saya tidak hairan sangat kalau semua identiti tersebut digantung di Sekolah Jenis Kebangsaan atau Sekolah Persendirian.

“Tetapi untuk sekolah kebangsaan, buatlah berpada-pada, jangan ‘over’. Jika tanglung sebesar gergasi dibawa dan digantung, jangan lupa bila tiba Hari Raya nanti, gantunglah lambang ketupat sebesar lori,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para pemimpin untuk tidak bertindak berat sebelah hanya kerana undi.

“Cukup-cukuplah, kalau terlalu kemarukkan undi, jangan buat macam ini, tidak baik untuk pembinaan negara bangsa.

“Dibimbangi bila tiba perayaan agama lain nanti, macam-macam yang pelik-pelik digantung di sekolah aliran kebangsaan. Bila ada precedent, nanti semua orang nak, tak kira berhak ke tidak. Justeru, berpada-padalah,” katanya.

Isu tanglung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 menjadi kontroversi selepas ada pemimpin pembangkang mendakwa, ia dipasang secara berlebihan serta dikaitkan sebagai usaha untuk menyebarkan agama lain kepada murid Islam.

Susulan perkara itu, pihak sekolah bertindak menurunkan perhiasan berkenaan, yang sekali gus menerima kecaman kebanyakan menteri dan timbalan menteri.

Bagaimanapun, satu majlis diadakan untuk memasang semula tanglung di sekolah terbabit yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa menteri lain, antaranya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching serta Menteri Beliau dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - www.ismaweb.net

Isu tanglung menteri tunjuk hero, tulisan jawi kenapa senyap?
BANGI – Hairan apabila tujuh menteri termasuk timbalan perdana menteri sanggup hadir ke sebuah sekolah di Puchong bagi menggantung semula tanglung yang diturunkan selepas didakwa bercanggah dengan Perlembagaan kerana mempunyai unsur agama.

Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Zaizul Azizi Zaman menyifatkan perkara berkenaan sebagai sesuatu yang ganjil kerana tidak ada seorang pun menteri yang bersuara mengenai perpaduan dalam isu tulisan jawi.

Justeru beliau mempersoalkan sama ada masih wujud istilah ‘identiti nasional’ dalam kerangka Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini.

“Isu tersebut berlaku di sekolah menengah kebangsaan yang sepatutnya menyuburkan identiti kebangsaan.

“Isu identiti kebangsaan sepatutnya menjadi kerangka perpaduan rakyat berbilang kaum. Identiti kebangsaan perlulah bertunjangkan identiti bangsa asal iaitu Melayu,” kata beliau ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Isu tanglung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 menjadi kontroversi selepas ada pemimpin pembangkang mendakwa, ia dipasang secara berlebihan serta dikaitkan sebagai usaha untuk menyebarkan agama lain kepada murid Islam.

Susulan perkara itu, pihak sekolah bertindak menurunkan perhiasan berkenaan, yang sekali gus menerima kecaman kebanyakan menteri dan timbalan menteri.

Bahkan, semalam satu majlis dan sidang media diadakan untuk memasang semula tanglung di sekolah terbabit yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa menteri lain, antaranya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching serta Menteri Beliau dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain itu, turut hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. - www.ismaweb.net

1 comment: