Wednesday, January 15, 2020

“Narko Subang” - The Police Story

Penduduk Sg Buloh dakwa polis salah tahan orang kampung, peras ugut sehingga RM27,000
SHAH ALAM: Seorang wakil penduduk Sungai Buloh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa polis menahan anak muda di kampungnya untuk memeras ugut keluarga mereka.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Iwan, 50, mendakwa sekumpulan anggota polis dari “Narko Subang” menjalankan operasi menahan anak muda di kampungnya setiap Jumaat, sejak tahun lalu.

Katanya, ada yang membayar sehingga RM27,000 untuk membebas serta mengelakkan anak atau pekerja mereka didakwa di mahkamah.

“Mereka akan meronda sekitar 12 malam atau siang hari, kemudian serbu kumpulan anak muda yang tengah melepak, tangkap dan bawa ke rumah.

“Di rumah, mereka akan geledah seluruh sudut rumah untuk mencari barang terlarang dadah. Apabila mencari sampai 20 hingga 30 minit tidak jumpa, akan ada seorang anggota yang tiba-tiba masuk dan buat-buat mencari.

“Selepas itu, dia akan tunjukkan satu paket barang dipercayai dadah dan yakinkan keluarga itu kepunyaan anak-anak mereka,” katanya selepas membuat laporan di SPRM cawangan Shah Alam hari ini.

“Setakat ini, ada ibu bapa yang kena bayaran paling rendah RM1,000 manakala yang paling tinggi, seorang kontraktor membuat bayaran sebanyak RM27,000 untuk bebaskan 4 pekerjanya yang ditahan.”

Iwan berkata, 2 anaknya pernah ditahan ketika membaiki motosikal di sebuah bengkel pada Oktober lalu.

“Mereka bawa balik anak saya ke rumah, geledah bilik, tiba-tiba jumpa barang entah dari mana.

“Di balai, tak sempat buat ujian air kencing, saya kata nak bawa peguam, mereka tiba-tiba lepaskan kedua-dua anak saya tu, ini cukup pelik,” katanya sambil menambah 2 anaknya berusia 20 dan 23 tahun ketika ditahan.

Beliau mendakwa seorang pegawai polis wanita menawarkan kepada anaknya untuk dibebaskan dengan syarat.

“Anak saya beritahu, pegawai itu kata kepadanya, jika saya sanggup bayar RM500 untuk seorang, pegawai itu boleh melepaskannya dalam sekelip mata sahaja.

“Saya terkejut, tidak hairanlah mereka enggan berurusan dengan peguam.”

Iwan bagaimanapun kecewa dengan mangsa yang enggan membuat laporan kepada SPRM kerana bimbang diganggu polis.

“Kalau macam ini, sampai bila nak selesai?

“Anggota yang sama setiap kali kejadian macam ni berlaku. Mereka boleh kenal pasti muka-muka anggota itu, tapi mereka takut untuk buat laporan.”

FMT cuba mendapatkan maklum balas daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. - www.freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment